Selasa, 17 Jun 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 32


قَالُوا سُبْحَانَكَ لاَعِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
Maksudnya : Mereka menjawab: "Maha suci Engkau, tidak ada yang Kami ketahui melainkan dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya Engkaulah yang Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana."

Penafsirannya :

Dalam ayat ini dijelaskan bahawa para Malaikat menyanjung ketinggian Ilmu Allah swt dengan menyucikan dan membersihkanNya daripada semua ilmu pengetahuan yang dimiliki dan dikuasai oleh seseorang daripada IlmuNya. Ini membawa maksud tidaklah seseorang itu mengetahui ilmu pengetahuan melainkan apa yang diajarkan oleh Allah swt kepadanya sahaja. Sebelum manusia dijadikan, Allah swt telah mengajar kepada para MalaikatNya pelbagai jenis ilmu pengetahuan, akan tetapi ada juga sesuatu ilmu yang tidak diketahui oleh para MalaikatNya lebih-lebih lagi ilmu yang berkaitan dengan diri manusia itu sendiri.

Maksud kalimah “Subhaanaka” atau “Maha suci Engkau”, merupakan sanjungan para Malaikat kepada Allah swt yang membawa maksud “Maha suci Engkau Ya Allah daripada wujudnya seseorang selain daripada Engkau yang mengetahui perkara yang ghaib”. Kalimah ini juga bermaksud sanjungan para Malaikat kerana sifat Kemulian, Keagungan dan Maha Tinggi Ilmu pengetahuaNya daripada ilmu para makhluk ciptaanNya. Ucapan ini juga merupakan rasa terima kasih dan rasa syukur para Malaikat kepada Allah swt kerana Ia telah mengkhabarkan buat mereka rahsia disebalik kejadian Adam dan ilmunya yang mana sebelum ini masih samar-samar atas pengetahuan para Malaikat. Inilah adab bagi para hambaNya tatkala mana ia menyatakan permohonan maaf atas kelemahan dan sifat tidak mengetahui sesuatu secara rahsia dan hakikat sebenar tentang sesuatu perkara. Ini juga merupakan adab hamba kepada TuhanNya sebagai tanda kekerdilan dirinya dan sebagai tanda taubat kepadaNya. Sebagaimana firmanNya :

Maksudnya : Maka setelah Musa sedar kembali, Dia berkata: "Maha suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama sekali beriman". Al-`Araf ayat 143.

Ayat ini menjelaskan kisah taubat Nabi Musa a.s yang yang menganggap dirinya berdosa kerana memohon agar Allah swt memperlihatkan ZatNya kepada Nabi Musa a.s. FirmanNya lagi :

Maksudnya : Maha suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." Al-Anbiya` ayat 87.

Inilah ucapan Nabi Yunus a.s. sewaktu baginda berada di dalam perut ikan besar yang menyatakan kezaliman atas dirinya sendiri.


Disebutkan di dalam hadist Imam Muslim daripada riwayat `Aisyah r.ha, ia berkata :

( كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يكثر أن يقول في ركوعه وسجوده : سبحانك اللهم ربنا وبحمدك اللهم اغفر لي يتأول القرآن ) ‏{ فسبح بحمد ربك واستغفره إنه كان توابا }

Maksudnya : Adalah Rasulullah saw dalam rukuk dan sujudnya banyak membaca: "Subhaanaka allahumma rabbanaa wa bihamdika, allahummaghfir li" (Maha suci Engkau, ya Allah, ya Tuhan kami, dengan segala hanya bagiMu, Ya Allah ampunilah aku). Beliau menafsirkan perintah Alquran:

Maksudnya : Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat. An-Nashr ayat 3.

Kata Imam an-Nawawi yang telah mensyarahkan hadist ini, ia berkata, “Tasbih itu bermaksud sanjungan atas Kebesaran dan Keagungan Allah swt serta hanya Dia lah sahaja yang layak untuk dipuji dan disanjung. Oleh itu maksud “Subhana Allah” yakni membersihkan dan tidak mengaitkan bahawa Allah swt bersifat dengan sifat kekurangan dan bersifat baharu seperti makhluk”.

Kata Ibnu Abbas r.huma, “Subhana Allah” bermaksud pujian Allah terhadap diriNya sendiri yang mana Ia menyucikan diriNya daripada segala dan semua sifat keburukan”. Kata Ali r.hu, “Ia merupakan suatu kalimat yang disukai oleh Allah untuk diriNya dan Ia juga rela serta menyukai bila diucapkan”. Disebutkan dalam riwayat tafsir, “Subhana Allah” bermaksud nama untuk mengagungkan Allah dan menjauhkanNya daripada semua sifat tidak baik dan sifat keburukan. Wa Allahu `Alam.

Maksud ayat “tidak ada yang Kami ketahui melainkan dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami”, yakni sebagai jawapan para Malaikat atas firmanNya yang sebelum ini :

Maksudnya : Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu jika kamu mamang benar orang-orang yang benar!".

Kedua-dua ayat ini menjelaskan bahawa, para Malaikat tidak sekali-kali tidak berlagak tahu atau pura-pura berilmu terhadap sesuatu yang tidak diberitahukan kepada mereka mengenai hakikat sesuatu kejadian. Ini menunjukkan bahawa, tidak layak bagi seseorang mengatakan sesuatu yang belum pasti atau sesuatu yang tidak ia ketahui, maka oleh itu hendaklah ia mengatakan “Hanya Allah sahajalah yang Maha Mengetahui”.

Maksud ayat “Sesungguhnya Engkaulah yang Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana", yakni Dialah Tuhan yang Maha Mengetahui segala sesuatu, Dialah juga Tuhan yang Maha bijaksana dalam segala penciptaan dan dalam semua urusanNya dan Dialah Tuhan yang telah mengajar segala sesuatu apabila Ia kehendaki. Dialah Tuhan yang memiliki sifat kebijaksanaan dan keadilan yang sempurna.


Tiada ulasan: