Rabu, 14 Mei 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 24


فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا وَلَنْ تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ
(24) أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ
Maksudnya :
Ayat 24 : Maka jika kamu tidak dapat membuat(nya) - dan pasti kamu tidak akan dapat membuat(nya), peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir.
Penafsiran ayat 24
Ayat 24
Dalam ayat ini Allah swt jelaskan kepada kita bahawa sesekali puak kafir itu tidak dapat membuat atau mendatangkan apa yang dicabar oleh Allah swt terhadap mereka yakni membuat ayat seumpama apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw. Ini membawa maksud bahawa, Kalamullah itu tidak boleh direka oleh sesiapa sampai bila-bila yakni ayat ini bukan sahaja ditujukan bagi golongan kafir ketika itu sahaja tetapi berlanjutan hingga ke akhir zaman kerana apabila dipandang daripada sudut bahasa arab, lafaz “lan” bermaksud menafikan untuk selama-lamanya di masa mendatang, yakni kamu sesekali tidak akan dapat melakukannya untuk selama-lamanya walaupun kamu mengumpulkan cerdik pandai, ahli bahasa daripada kalangan kamu. Oleh itu akan wujud kegagalan setiap kali mereka mahu mereka-reka ayat-ayat al-Quran.

Hal inilah yang disebut sebagai mukjizat, yakni sesuatu yang dapat melemahkan. Bukan kalam atau perkataan manusia yang boleh melemahkan atau menjatuhkan kedudukan Kalamullah, akan tetapi Kalamullah yang berupaya melemahkan dan menjatuhkan kalam manusia. Ini membawa maksud tidak ada seorangpun daripada penduduk bumi sama ada manusia ataupun jin yang boleh melawan dan memperolehi kemenangan apabila berdebat dengan Kalamullah. Perkara ini adalah tidak mungkin dan sungguh-sungguh mustahil. Bukankah al-Quran ayat-ayatnya tersusun cantik, rapi dan dipenuhi gaya keindahan bahasa wahyu itu sendiri. Sepertimana firmanNya :
Maksudnya : Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. tidak ada yang dapat meroba- robah kalimat-kalimat-Nya dan Dia lah yang Maha Mendengar lagi Maha mengetahui. Al-An`am : 115

Bahkan Nabi saw sendiri telah dikurniakan bahasa seperti bahasa wahyu sepertimana hadistnya yang bermaksud : “Aku telah diberi wahyu dan yang seumpama dengannya”, yakni Nabi saw dikurniakan al-Quran dan bahasa seumpama bahasa al-Quran sebagai kedudukannya sebagai Nabi yang terpilih yang menjadi penghulu bagi segala bahasa dan penghulu bagi segala kehebatan. Oleh itu bagaimana boleh dikatakan Nabi saw sebagai seorang pendusta sedangkan sebelum baginda menjadi Nabi, penduduk Mekah dan setiap orang-orang yang yang mengenalinya mengiktiraf beliau sebagai seorang al-Amin (jujur, amanah dan terpecaya). Bahkan daripada kalangan orang kafir juga ada yang mengatakan Nabi Muhammad saw sebagai orang gila. Secara logik akal manusia, mustahil seorang gila dapat berbicara dengan bahasa yang luar biasa indahnya, mustahil juga bagi seorang yang gila berdakwah mengajak manusia membuat kebaikan dan mustahil bagi orang gila diangkat menjadi pemimpin tertinggi dalam peperangan, politik dan pemerintah dunia. Maka siapakah yang gila sebenarnya? Muhammad ataupun puak kafir yang ragu itu?

Lafaz ayat yang selanjutnya “Fattaqun naaro…” yakni perintah Allah swt agar manusia kembali kepada kebenaran dan menyesali segala kesalahan serta membuang segala keraguan dalam diri. Atas dasar maksud, sekiranya manusia kembali kepada kebenaran maka dengan itu dapatlah mereka menyelamatkan diri mereka daripada dimasukkan dan dibakar di dalam api neraka. Sekiranya mereka masih berminat dengan kekafiran mereka sedangkan risalah kebenaran telah disampaikan kepada mereka maka kelak di akhirat mereka akan dibakar sepertimana kayu api dibakar.

Lafaz “wal hijaroh” yakni batu yang besar yang digunakan untuk memarakkan lagi api neraka jahannam. Diriwayatkan bahawa batunya berwarna hitam, sangat keras dan sangat besar daripada batu-batu yang berada di atas dunia dan baunya sangat busuk daripada bangkai. Batu ini juga diumpakan seperti batu pemetik api. Dengan batu ini api neraka jahannam menjadi semakin marak dan semakin menganas serta memakan semua manusia dan jin yang berada disana. Bahkan disebabkan batu tadi api neraka menjadi semakin tinggi darjat kepanasannya dan penghuni neraka menjadi semakin terseksa dan semakin keras seksaannya. Lafaz “u`idat lil kafirin” yakni neraka jahannam dan batu yang disebutkan tadi dipersiapkan untuk orang-orang kafir dan menunjukkan bahawa neraka itu benar-benar wujud. Ayat ini juga sebagai khabar gembira bagi orang yang beriman bahawa neraka sekali-kali tidak disediakan bagi mereka kerana Allah swt menentukan bagi mereka dengan ganjaran syurga yang kekal abadi. Wa Allahu `Alam.

Tiada ulasan: