Rabu, 14 Mei 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 20


يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا
(20) وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya :
Ayat 20 : Hampir-hampir kilat itu menyambar penglihatan mereka. Setiap kali kilat itu menyinari mereka, mereka berjalan di bawah sinar itu, dan bila gelap menimpa mereka, mereka berhenti. Jikalau Allah menghendaki, niscaya Dia melenyapkan pendengaran dan penglihatan mereka. Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu.
Penafsiran ayat 20
Ayat 20
Ayat ini masih berhubung kait dengan penafsiran pada ayat 19. Ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa kilat yang terjadi dalam sekelip mata diambil manfaat orang golongan munafiq. Dan sekiranya mereka beriman pasti mereka tidak memerlukan panduan kilat untuk perjalanan kehidupan mereka kerana iman itu adalah cahaya dan akan menyuluh kehidupan mereka.
Maksud ayat “Hampir-hampir sahaja kilat itu menyambar penglihatan mereka” yakni sambaran kilat yang menyambar penglihatan mereka benar-benar hampir dan tidak ada sesiapapun yang dapat mencegah atau menahan kilat tersebut daripada menyambar. Maksud ayat “Setiap kali kilat itu menyinari mereka, mereka berjalan di bawah sinar itu” yakni puak munafiq berjalan dengan kekuatan duniawi yang diperolehi daripada cahaya kilat kerana mereka hanya bergantung dengan cahaya-cahaya luar dari diri mereka kerana kuatnya kekufuran yang menyebabkan hati mereka menjadi gelap-gulita. Oleh sebab itu, jika kilat tidak menyambar nescaya kehidupan mereka gelap tanpa penyuluh jalan.

Disebabkan mereka sendiri berada dalam kegelapan dan mereka juga membiarkan mereka hidup tanpa panduan sebenar maka merekapun berhenti dan menunggu sekiranya sinar kilat masih wujud selepas itu sepertimana yang dimaksudkan “dan bila gelap menimpa mereka, mereka berhenti”. Pada ayat “Jikalau Allah menghendaki, niscaya Dia melenyapkan pendengaran dan penglihatan mereka” yakni Maha Kuasa Allah swt untuk menghilangkan segala fungsi bagi telinga dan mata mereka, akan tetapi Allah swt masih memberi peluang kepada mereka untuk hidup agar kelak di akhirat mereka tidak membawa sebab hilangnya fungsi telinga dan mata mereka dan wujudlah perdebatan di akhirat bahawa mereka mengatakan bahawa mereka tidak dapat mendengan seruan Muhammad saw disebabkan mereka tuli dan mereka tidak dapat melihat kebenaran pada risalah Muhammad saw kerana mereka buta. Oleh kerana itu, Allah swt tidak menghilangkan dan melenyapkan telinga dan mata mereka serta anggota-anggota yang lain agar anggota-anggota itu menjadi saksi buat mereka di akhirat. Sepertimana firmanNya yang bermaksud :
Maksudnya : Dan di antara mereka ada orang yang mendengarkan perkataanmu sehingga apabila mereka keluar dari sisimu orang-orang berkata kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan (sahabat-sahabat Nabi): "Apakah yang dikatakannya tadi?" Mereka itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka. Surah Muhammad ayat 16.

Inilah sifat puak munafiq, dengan mata yang masih lagi berfungsi tetapi tidak dapat melihat kebenaran apa yang disampaikan oleh Muhammad saw termasuklah mukjizat-mukjizatnya (al-Quran), mahupun mukjizat-mukjizat yang lain. Dengan telinga yang masih lagi mendengar akan tetapi apa yang dijelaskan Allah dan RasulNya masih tidak dapat diterima untuk dijadikan panduan dan pedoman buat kehidupan mereka. Pada hujung lafaz ayat “Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu”, yakni tidak mustahil bagi Allah swt untuk menghilangkan semua pancaindera mereka, begitu juga Allah swt Maha Berkuasa untuk mengzab atau memberi keampunan.

Tiada ulasan: