Khamis, 22 Mei 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 30


وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ
الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُونَ
Maksudnya :
Ayat 30 : Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
Penafsiran ayat 30 surah al-Baqarah.

Ayat 30

Dalam ayat ini Allah swt menyebut mengenai dialogNya dengan para Malaikat mengenai seorang khalifah yang bakal mentadbir dan menjadi pemimpin di bumi. Lafaz awal disebut “Dan ingatlah ketika” yakni menunjukkan wujudnya hubungan waktu atau masa pada ketika itu dan perbuatan atau perkara ini menunjukkan hal yang telah berlaku dan bukannya pada masa atau waktu akan datang. Ini menunjukkan Allah swt mahu mengalih permerhatian dan pemahaman kita terhadap sesuatu yang telah berlaku. Perlu juga diketahui bahawa, waktu dan masa yang telah berlalu itu tidaklah boleh disamakan dengan waktu atau masa yang berlangsung kepada manusia sekarang dan lafaz yang awal ini menunjukkan tarbiyah Allah kepada kita agar mengingat dan mengambil berat tentang kisah yang pernah berlaku sebelum manusia diciptakan lagi. Sambungan pada lafaz ini “Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat” yakni dialog yang terjadi antara Allah dan para MalaikatNya yang terjadi di suatu alam yang hanya diketahui oleh Allah swt.

Lafaz “Tuhanmu” yakni “Rabb” bermaksud al-Maalik (Raja), as-Sayyid (Tuan), al-Muslih (Yang Memperbaiki) dan al-Jabir (Yang Memaksa). Rabb juga dimaksudkan dengan pemilik dan pemimpin semesta alam. Dengan dialog ini, Nabi saw diperintah Allah swt untuk memberitahu umatnya bahawa bangsa manusia telah dipilih oleh Allah swt untuk menjadi khalifah di atas bumi ini. Lafaz “berfirman” yakni berkata, berbicara dan perlu difahami bahawa berkata dan berbicaranya Allah swt dengan para Malaikat bukan wujud huruf-huruf mahupun perkataan. Begitu juga Kalamullah swt juga tidak wujud dengan suara-suara seperti suara makhlukNya. Tidak mustahil bagi Allah swt mengurniakan ilham kepada Malaikat agar mereka memahami apa yang diperkatakan oleh Allah swt dan perkara ini terjadi secara Qodim dan bukannya bersifat baharu.

Lafaz “kepada para Malaikat” yakni makhluk yang diciptakan Allah swt daripada cahaya. Ia merupakan makhluk yang paling banyak diciptakan Allah swt. Malaikat tidak mempunyai jantina, tidak makan dan minum serta taat setia menjalankan perintah Allah swt. Malaikat juga adalah makhluk yang sungguh istimewa kerana ia boleh menukar diri mereka menjadi apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah swt. Mereka juga mempunyai kekuatan yang luar biasa dan tubuh mereka juga berjuta kali ganda besar daripada manusia. Ini juga menjadi dalil bahawa, Malaikat termasuk makhluk yang ciptakan Allah swt dan menjadi rukun serta wajib mempercayai kewujudan dan tugas-tugas mereka. Ayat ini sebagai pemberitahuan Allah swt terhadap para MalaikatNya dan bukannya untuk meminta pandangan atau bermesyuarat dengan MalaikatNya itu tentang khalifah yang akan dijadikanNya nanti.
Selanjutnya Allah swt menyebut “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”, yakni seorang khalifah atau penganti untuk memimpin dunia yang akan dijadikanNya. Ada juga ulama mengatakan bahawa, khalifah tersebut telah diciptakan Allah swt dan kemudian barulah hal itu diberitahukan kepada para MalaikatNya. Ulama menafsirkan bahawa, “bumi” yang dimaksudkan ialah Mekah kerana Mekah adalah induk atau asas bagi bumi. Diriwayatkan juga bahawa Nabi Adam a.s. adalah Nabi Allah yang pertama yang diturunkan kebumi untuk menjadi pemimpin buat manusia dan Baginda telah turun di Hindi (India) ketika itu. Lafaz “khalifah” membawa maksud orang yang mengganti orang yang sebelumnya yang telah ada dibumi yakni para Malaikat atau mungkin makhluk selain Malaikat. Ada juga yang mengatakan bahawa, bumi telah didiami oleh makhluk-makhluk daripada bangsa Jin dan akan tetapi makhluk daripada bangsa ini telah merosakkan dan melanggar aturan-aturan di bumi pada masa itu. Kemudian Allah swt menghancurkan mereka dan diganti dengan para Malaikat dan Jin yang taat untuk mendiami bumi. Maka hiduplah daripada kedua jenis makhluk ini dengan beribadah kepada Allah swt siang dan malam sehinggalah Allah swt memutuskan untuk menjadikan bangsa manusia sebagai penganti dari Malaikat dan Jin dalam urusan pentadbiran dan undang-undang di bumi. “Khalifah” yang pertama itu ialah Adam a.s.
Lafaz yang selanjutnya Allah swt menyebut, “mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah”, yakni para Malaikat bertanya kepada Allah swt untuk meminta kepastian tentang penciptaan Adam. Perlulah diketahui bahawa pertanyaan para Malaikat kepada Allah swt bukan bermaksud untuk menolak atau wujud rasa dendam dan iri hati terhadap keturunan Adam a.s. Ulama tafsir mengatakan bahawa, Malaikat bertanya kepada Allah swt soalan yang begitu kerana mereka telah melihat tabiat jin yang dicipta sebelum Adam membuat kerosakan di bumi dan mereka suka bunuh-membunuh sesama mereka. Kata Ibnu Umar r.hu, “Jin telah dicipta dua ribu tahun sebelum Adam a.s. Mereka (jin) telah membuat kerosakan dibumi dengan menumpahkan darah (bunuh-bunuhan). Kemudian Allah swt menghantar para Malaikat yang merupakan tentera-tentera Allah swt untuk mengusir mereka ke pulau-pulau.” Kata Hasan al-Basri pula, “para Malaikat telah diberi ilham mengenai hal itu, kemudian mereka meminta penjelasan”.

Dalam riwayat lain dikemukan bahawa, Allah swt telah mengkhabarkan kepada para Malaikat bahawa daripada keturunan khalifah itu ada kaum yang akan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah di bumi. Oleh kerana itulah para Malaikat pun menyatakan hal itu dan mungkin wujud rasa kehairanan dengan perbuatan Allah swt yang bakal menciptakan khalifah yang akan melakukan maksiat kepadaNya. Mungkin juga Malaikat merasa pelik dengan dua sifat yang berlawanan dan berlainan yang ada pada khalifah sebagai pengislah dan pembuat kerosakkan di bumi.

Lafaz selanjutnya Allah swt menjelaskan, “padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?”, yakni kata Malaikat bahawa mereka adalah makhluk yang sentiasa mengagungkan sifat-sifat Allah swt dan sentiasa memuji Allah swt serta sentiasa membesarkan Allah swt dalam segala hal. Para ulama tafsir khilaf mengenai tasbih para Malaikat. Dua sahabat Nabi saw iaitu Ibnu Mas`ud dan Ibnu Abbas berpendapat bahawa tasbih para Malaikat ialah solat. Ulama tafsir yang lain pula berpendapat bahawa, tasbih Malaikat ialah ucapan Subhanallah dan ini telah dimaklumi dikalangan bangsa Arab. Dalam hadis telah disebutkan bahawa Nabi saw pernah ditanya, “perkataan apakah yang paling utama?”, lalu baginda menjawap, “Apa yang telah dipilih oleh Allah swt untuk para MalaikatNya atau para hambaNya iaitu Subhanallahi wa bihamdihi”. Sahabat Nabi saw yang bernama Tholhah bin `Ubaidullah pernah bertanya kepada Nabi saw mengenai maksud Subhanallah, maka jawap baginda, “Ia bermaksud menyucikan Allah `azza wa Jalla dari segala yang buruk”, yakni membersihkan nama Allah swt daripada bersifat dengan sifat buruk.

Maksud “dengan memuji Engkau” yakni para Malaikat menambah dalam ucapan atau perbuatan tasbih dengan memuji Allah swt. Sepertimana lazimnya difahami ialah, lafaz pujian terhadap Allah swt dengan menyebut “Alhamdulillah”.

Maksud “dan mensucikan Engkau” yakni para Malaikat membesarkan, mengagungkan dan menyucikan sebutan kepada Allah swt daripada apa yang tidak layak dengan sifat-sifatNya sepertimana yang dikatakan atau yang difahami oleh orang-orang kufur. Ulama lain pula mengatkan, para Malaikat sentiasa mengharapkan keredhaan Allah swt dengan menghadapkan diri mereka terhadap Allah swt. Dalam riwayat lain, Taqdis bermaksud solat sepertimana tasbih. Dalam kitab tafsir ada juga yang menakwil dengan maksud begini, “Padahal kami tidak pernah melakukan maksiat kepadaMu dan kami tidak pernah melakukan sesuatu yang tidak Engkau sukai”. Wa Allahu `Alam.

Lafaz yang selanjutnya disebutkan “Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”, yakni mengenai urusan ilmu Allah swt. Para Malaikat Allah swt juga tidak mengetahui tentang khalifah yang dimaksudkan Allah swt. Daripada khalifah itu adanya para Nabi, Rasul, kaum yang soleh yang terdiri daripada siddiqin dan syuhada` serta penghuni syurga. Ini membawa maksud Allah swt lebih mengetahui tentang tujuan penciptaan manusia pertama sebagai khalifah di bumi daripada para Malaikat atau pengetahuan yang ada pada mereka. Dialah Allah swt yang Maha Mengetahui apa yang telah terjadi dan apa yang bakal terjadi serta apa yang terus terjadi, menunjukkan lafaz ayat ini bersifat umum. Ini menunjukkan bahawa Allah swt lebih mengetahui tentang siapakah yang sebenarnya ahli taat dan siapakah sebenarnya ahli maksiat.

Tiada ulasan: