Khamis, 29 Mei 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 31


وَعَلَّمَ آَدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
Maksudnya :
Ayat 31 : Dan Dia mengajarkan kepada Adam Nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada Para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!"
Penafsiran ayat 31 surah al-Baqarah.

Ayat 31 :

Dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan mengenai keistimewaan dan keutamaan Adam daripada Malaikat. Ini adalah berkah disebabkan ilmu pengetahuan yang ada pada Adam yang telah diajarkan oleh Allah swt. Lafaz yang awal disebutkan, “Dan Dia mengajarkan kepada Adam Nama-nama (benda-benda) seluruhnya”, yakni Adam telah diajar oleh Allah swt dengan cara ilham yang pastinya benar atau mungkin juga Allah swt mengajarkan ilmu kepada Adam melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s. Kata Ibnu Abbas r.huma, Allah swt telah mengajarkan kepada Adam al-Asma`, yakni nama-nama yang lazimnya digunakan oleh manusia seumpama nama-nama yang terhadap pada insan (manusia) itu sendiri, haiwan dan binatang-binatangm bumi, lembah, laut dan lain-lain lagi. Ada ulama yang mengatakan bahawa, nama yang dimaksudkan ialah nama-nama Malaikat. Ulama lain mengatakan Adam diajar nama segala jenis binatang, burung dan setiap nama sesuatu benda. Dalam pendapat lain dikemukan, Adam diajar tentang nama-nama keturunan manusia. Secara umumnya, Allah swt telah mengajarkan semua nama dan hakikat kehidupannya, sama ada untuk kegunaan Adam dan keturunannya. Diriwayatkan bahawa Adam mengetahui beribu-ribu bahasa yang bakal digunakan oleh anak-anak dan cucu-cicit keturunannya nanti. Oleh kerana itu ulama tafsir juga mengatakan, Adam adalah manusia pertama yang berbicara dengan menggunakan semua bahasa. Ini juga membawa maksud bahawa, Allah swt telah mengajarkan ilmu kepada Adam dengan nama-namanya terlebih dahulu walaupun Adam sendiri tidak mengetahui kewujudannya. Kata Ibnu Abbas r.huma dan ulama-ulama yang lain, Allah swt mengajarkan kepada Adam nama-nama segala sesuatu seluruhnya, sama ada yang besar mahupun yang kecil.

Lafaz selanjutnya Allah swt menyebut “kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu”, yakni perintah Allah swt kepada Malaikat agar mereka menyebut nama-nama yang telah dipelajari Adam daripadaNya. Lafaz ini sebagai ujian Allah swt terhadap para MalaikatNya mengenai ilmu pengetahuan. Malaikat juga diuji agar mereka mengetahui bahawa walaupun mereka boleh mendapat maklumat mengenai perjalanan alam ini di Lauh Mahfuz, akan tetapi rahsia-rahsia ilmu Allah swt tidaklah mereka ketahui. Ilmu atau maklumat-maklumat di Lauh Mahfuz tidak menjadikan mereka layak dan boleh mengusai semua ilmu-ilmu di dalam alam ini. Tidaklah para Malaikat itu mengetahui sesuatu melainkan apa yang disampaikan dan diajarkan Allah swt kepada mereka. Maksud “Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu”, yakni para Malaikat mengakui tentang hal-hal yang masih mereka tidak ketahui dan tidaklah para Malaikat Allah swt akan mengada-adakan sesuatu atau menyebut sesuatu yang belum mereka ketahui. Perintah Allah swt di atas tidaklah dapat mereka penuhi melainkan mereka segera bertasbih dan mengakui bahawa ilmu yang sedia ada pada mereka hanya sedikit daripada ilmu yang diajar Allah swt buat mereka.

Lafaz pada hujung ayat Allah swt menyebut, “jika kamu memang benar orang-orang yang benar!", yakni jika para Malaikat benar-benar hambaNya yang taat, pasti mereka tidak ada mengadakan-adakan atau merasa bangga dengan ilmu mereka ada. Lafaz ayat ini bukan untuk menghina Malaikat akan tetapi sebagai dalil bahawa Adam mendapat keistimewaan dari sudut ilmu pengetahuan daripada Malaikat-malaikat Allah swt.

Khamis, 22 Mei 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 30


وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ
الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُونَ
Maksudnya :
Ayat 30 : Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
Penafsiran ayat 30 surah al-Baqarah.

Ayat 30

Dalam ayat ini Allah swt menyebut mengenai dialogNya dengan para Malaikat mengenai seorang khalifah yang bakal mentadbir dan menjadi pemimpin di bumi. Lafaz awal disebut “Dan ingatlah ketika” yakni menunjukkan wujudnya hubungan waktu atau masa pada ketika itu dan perbuatan atau perkara ini menunjukkan hal yang telah berlaku dan bukannya pada masa atau waktu akan datang. Ini menunjukkan Allah swt mahu mengalih permerhatian dan pemahaman kita terhadap sesuatu yang telah berlaku. Perlu juga diketahui bahawa, waktu dan masa yang telah berlalu itu tidaklah boleh disamakan dengan waktu atau masa yang berlangsung kepada manusia sekarang dan lafaz yang awal ini menunjukkan tarbiyah Allah kepada kita agar mengingat dan mengambil berat tentang kisah yang pernah berlaku sebelum manusia diciptakan lagi. Sambungan pada lafaz ini “Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat” yakni dialog yang terjadi antara Allah dan para MalaikatNya yang terjadi di suatu alam yang hanya diketahui oleh Allah swt.

Lafaz “Tuhanmu” yakni “Rabb” bermaksud al-Maalik (Raja), as-Sayyid (Tuan), al-Muslih (Yang Memperbaiki) dan al-Jabir (Yang Memaksa). Rabb juga dimaksudkan dengan pemilik dan pemimpin semesta alam. Dengan dialog ini, Nabi saw diperintah Allah swt untuk memberitahu umatnya bahawa bangsa manusia telah dipilih oleh Allah swt untuk menjadi khalifah di atas bumi ini. Lafaz “berfirman” yakni berkata, berbicara dan perlu difahami bahawa berkata dan berbicaranya Allah swt dengan para Malaikat bukan wujud huruf-huruf mahupun perkataan. Begitu juga Kalamullah swt juga tidak wujud dengan suara-suara seperti suara makhlukNya. Tidak mustahil bagi Allah swt mengurniakan ilham kepada Malaikat agar mereka memahami apa yang diperkatakan oleh Allah swt dan perkara ini terjadi secara Qodim dan bukannya bersifat baharu.

Lafaz “kepada para Malaikat” yakni makhluk yang diciptakan Allah swt daripada cahaya. Ia merupakan makhluk yang paling banyak diciptakan Allah swt. Malaikat tidak mempunyai jantina, tidak makan dan minum serta taat setia menjalankan perintah Allah swt. Malaikat juga adalah makhluk yang sungguh istimewa kerana ia boleh menukar diri mereka menjadi apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah swt. Mereka juga mempunyai kekuatan yang luar biasa dan tubuh mereka juga berjuta kali ganda besar daripada manusia. Ini juga menjadi dalil bahawa, Malaikat termasuk makhluk yang ciptakan Allah swt dan menjadi rukun serta wajib mempercayai kewujudan dan tugas-tugas mereka. Ayat ini sebagai pemberitahuan Allah swt terhadap para MalaikatNya dan bukannya untuk meminta pandangan atau bermesyuarat dengan MalaikatNya itu tentang khalifah yang akan dijadikanNya nanti.
Selanjutnya Allah swt menyebut “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”, yakni seorang khalifah atau penganti untuk memimpin dunia yang akan dijadikanNya. Ada juga ulama mengatakan bahawa, khalifah tersebut telah diciptakan Allah swt dan kemudian barulah hal itu diberitahukan kepada para MalaikatNya. Ulama menafsirkan bahawa, “bumi” yang dimaksudkan ialah Mekah kerana Mekah adalah induk atau asas bagi bumi. Diriwayatkan juga bahawa Nabi Adam a.s. adalah Nabi Allah yang pertama yang diturunkan kebumi untuk menjadi pemimpin buat manusia dan Baginda telah turun di Hindi (India) ketika itu. Lafaz “khalifah” membawa maksud orang yang mengganti orang yang sebelumnya yang telah ada dibumi yakni para Malaikat atau mungkin makhluk selain Malaikat. Ada juga yang mengatakan bahawa, bumi telah didiami oleh makhluk-makhluk daripada bangsa Jin dan akan tetapi makhluk daripada bangsa ini telah merosakkan dan melanggar aturan-aturan di bumi pada masa itu. Kemudian Allah swt menghancurkan mereka dan diganti dengan para Malaikat dan Jin yang taat untuk mendiami bumi. Maka hiduplah daripada kedua jenis makhluk ini dengan beribadah kepada Allah swt siang dan malam sehinggalah Allah swt memutuskan untuk menjadikan bangsa manusia sebagai penganti dari Malaikat dan Jin dalam urusan pentadbiran dan undang-undang di bumi. “Khalifah” yang pertama itu ialah Adam a.s.
Lafaz yang selanjutnya Allah swt menyebut, “mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah”, yakni para Malaikat bertanya kepada Allah swt untuk meminta kepastian tentang penciptaan Adam. Perlulah diketahui bahawa pertanyaan para Malaikat kepada Allah swt bukan bermaksud untuk menolak atau wujud rasa dendam dan iri hati terhadap keturunan Adam a.s. Ulama tafsir mengatakan bahawa, Malaikat bertanya kepada Allah swt soalan yang begitu kerana mereka telah melihat tabiat jin yang dicipta sebelum Adam membuat kerosakan di bumi dan mereka suka bunuh-membunuh sesama mereka. Kata Ibnu Umar r.hu, “Jin telah dicipta dua ribu tahun sebelum Adam a.s. Mereka (jin) telah membuat kerosakan dibumi dengan menumpahkan darah (bunuh-bunuhan). Kemudian Allah swt menghantar para Malaikat yang merupakan tentera-tentera Allah swt untuk mengusir mereka ke pulau-pulau.” Kata Hasan al-Basri pula, “para Malaikat telah diberi ilham mengenai hal itu, kemudian mereka meminta penjelasan”.

Dalam riwayat lain dikemukan bahawa, Allah swt telah mengkhabarkan kepada para Malaikat bahawa daripada keturunan khalifah itu ada kaum yang akan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah di bumi. Oleh kerana itulah para Malaikat pun menyatakan hal itu dan mungkin wujud rasa kehairanan dengan perbuatan Allah swt yang bakal menciptakan khalifah yang akan melakukan maksiat kepadaNya. Mungkin juga Malaikat merasa pelik dengan dua sifat yang berlawanan dan berlainan yang ada pada khalifah sebagai pengislah dan pembuat kerosakkan di bumi.

Lafaz selanjutnya Allah swt menjelaskan, “padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?”, yakni kata Malaikat bahawa mereka adalah makhluk yang sentiasa mengagungkan sifat-sifat Allah swt dan sentiasa memuji Allah swt serta sentiasa membesarkan Allah swt dalam segala hal. Para ulama tafsir khilaf mengenai tasbih para Malaikat. Dua sahabat Nabi saw iaitu Ibnu Mas`ud dan Ibnu Abbas berpendapat bahawa tasbih para Malaikat ialah solat. Ulama tafsir yang lain pula berpendapat bahawa, tasbih Malaikat ialah ucapan Subhanallah dan ini telah dimaklumi dikalangan bangsa Arab. Dalam hadis telah disebutkan bahawa Nabi saw pernah ditanya, “perkataan apakah yang paling utama?”, lalu baginda menjawap, “Apa yang telah dipilih oleh Allah swt untuk para MalaikatNya atau para hambaNya iaitu Subhanallahi wa bihamdihi”. Sahabat Nabi saw yang bernama Tholhah bin `Ubaidullah pernah bertanya kepada Nabi saw mengenai maksud Subhanallah, maka jawap baginda, “Ia bermaksud menyucikan Allah `azza wa Jalla dari segala yang buruk”, yakni membersihkan nama Allah swt daripada bersifat dengan sifat buruk.

Maksud “dengan memuji Engkau” yakni para Malaikat menambah dalam ucapan atau perbuatan tasbih dengan memuji Allah swt. Sepertimana lazimnya difahami ialah, lafaz pujian terhadap Allah swt dengan menyebut “Alhamdulillah”.

Maksud “dan mensucikan Engkau” yakni para Malaikat membesarkan, mengagungkan dan menyucikan sebutan kepada Allah swt daripada apa yang tidak layak dengan sifat-sifatNya sepertimana yang dikatakan atau yang difahami oleh orang-orang kufur. Ulama lain pula mengatkan, para Malaikat sentiasa mengharapkan keredhaan Allah swt dengan menghadapkan diri mereka terhadap Allah swt. Dalam riwayat lain, Taqdis bermaksud solat sepertimana tasbih. Dalam kitab tafsir ada juga yang menakwil dengan maksud begini, “Padahal kami tidak pernah melakukan maksiat kepadaMu dan kami tidak pernah melakukan sesuatu yang tidak Engkau sukai”. Wa Allahu `Alam.

Lafaz yang selanjutnya disebutkan “Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”, yakni mengenai urusan ilmu Allah swt. Para Malaikat Allah swt juga tidak mengetahui tentang khalifah yang dimaksudkan Allah swt. Daripada khalifah itu adanya para Nabi, Rasul, kaum yang soleh yang terdiri daripada siddiqin dan syuhada` serta penghuni syurga. Ini membawa maksud Allah swt lebih mengetahui tentang tujuan penciptaan manusia pertama sebagai khalifah di bumi daripada para Malaikat atau pengetahuan yang ada pada mereka. Dialah Allah swt yang Maha Mengetahui apa yang telah terjadi dan apa yang bakal terjadi serta apa yang terus terjadi, menunjukkan lafaz ayat ini bersifat umum. Ini menunjukkan bahawa Allah swt lebih mengetahui tentang siapakah yang sebenarnya ahli taat dan siapakah sebenarnya ahli maksiat.

Selasa, 20 Mei 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 29


هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَوَاتٍ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Maksudnya :
Ayat 29 : Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia beristawa di langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. dan Dia Maha mengetahui segala sesuatu.
Penafsiran ayat 29 surah al-Baqarah.

Ayat 29 :

Dalam ayat ini Allah swt telah menjelaskan bahawa, Dialah Tuhan yang telah menjadikan segala apa yang ada di bumi daripada segala nikmatnya untuk manusia. Maksud “kholaqo lakum” yakni Dia (Allah) menjadikan apa sahaja di bumi demi atau disebabkan kamu (manusia). Hikmah disebalik kejadian tersebuat adalah agar manusia sentiasa merenung bukti keEsaan dan kePerkasaan Allah swt Yang Maha Menciptakan. Tidaklah Allah swt menjadikannya melainkan untuk dimanfaatkan dengan cara aturan yang telah digariskan Allah swt di dalam agamanya. Begitu juga dengan segala ciptaan-ciptaan Allah swt tadi dapat digunakan buat manusia dalam menguatkan diri beribadah dan taat dan bukannya untuk digunakan dalam hal-hal kemaksiatan.

Begitu juga, bukan hanya bumi ini disediakan buat manusia sahaja akan tetapi Allah swt dengan rahmat dan kasih sayangNya telah menundukkan bumi ini untuk kemudahan manusia. Sepertimana firmanNya :
Maksudnya : Dan Dia telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir. Al-Jasiyah ayat 13.

Ulama juga menafsirkan dengan mamsud ayat “Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu” yakni Allah swt mengkhabarkan kepada manusia bahawa hanya Dialah sahaja Tuhan yang telah menciptakan bumi atau dunia ini buat mereka. Daripada sudut syariat dan undang-undang Islam, hal ini menjadi dalil atau bukti keEsaan Allah swt dan sedangkan bumi menjadi sarana kehidupan untuk mengabdikan diri hanya untuk Allah swt.

Daripada kalangan ulama-ulama Islam menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa “segala sesuatu pada asalnya hukumnya harus melainkan ada dalil yang menunjukkan larangannya”. Sebagai penafsirannya juga, Allah swt hanya menyebutkan ayat ini pada kedudukan pembuktian (KetuhananNya). Dengan itu ayat ini Allah swt memberikan peringatan tentang ilmu dan kekuasaanNya, bagaimana Dia mengeuruskan semua makhluk berdasarkan kepada takdir yang ditetapkanNya dan bagaimana ilmu pengetahuan itu berperanan penting sama ada memajukan atau memundurkan mengikut kehendak Allah swt. Fiman Allah swt :
Maksudnya : Katakanlah: sesungguhnya patutkah kamu kafir kepada yang menciptakan bumi dalam dua masa dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya? (yang bersifat) demikian itu adalah Rabb semesta alam. Dan Dia menciptakan di bumi itu gunung-gunung yang kokoh di atasnya. Dia memberkahinya dan Dia menentukan padanya kadar makanan-makanan (penghuni)nya dalam empat masa. (Penjelasan itu sebagai jawaban) bagi orang-orang yang bertanya. Fussilat ayat 9 dan 10.

Jadi jelaslah bahawa Dialah Tuhan yang telah menciptakan bumi ini buat manusia. Dialah yang telah menjadikan bukit-bukau sebagai pasak bagi bumi dan Dialah juga yang telah memberkahi terhadap apa yang di telah ciptakan serta penentuan bahan-bahan keperluan yang mencakupi aneka jenis makanan berupa buah-buahan, bijirin-bijirin, tumbuh-tumbuhan, haiwan-haiwan dan sebagainya. Sesungguhnya Allah swt menjadikan semua itu untuk manusia sebagai langkah awal memenuhi keperluan dan persediaan mereka untuk menutupi kefakiran mereka.

Maksud “segala yang ada di bumi” yakni apa yang telah dilihat, disentuh, digunakan, dikaji, baik di laut mahupun di daratan adalah untuk kehendak dan keperluan manusia dan Allah swt tidak memerlukan semua itu dan Dialah yang bermurah hati memberikan semua itu kepada manusia tanpa terlebih dahulu manusia meminta padaNya. Ini menunjukkan bahawa kehidupan di dunia telah dipermudahkan buat manusia seluruhnya dan mereka juga telah dibekali dengan akal fikiran untuk memahami aturan atau tata cata penggunaanya mengikut garis-garis panduan dalam manhaj agama Allah swt agar sesuatu yang digunakan itu tidak wujud mudarat (bahaya), kerugian dan penindasan sesama manusia.

Ayat ini senada dengan ayat 4 dalam surah as-Sajdah, yakni firmanNya :
Maksudnya : Allahlah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy.
Kaitan antara ayat 29 dalam surah al-Baqorah dengan ayat 4 dalam surah as-Sajdah ialah :

1. Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan mengenai sifat KeagunganNya (Jalal al-Muthlaq) dan sifat KeindahanNya (Jamal al-Jamal) yang telah menciptakan makhluk yang bernama langit dan bumi serta Dialah juga Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk yang wujud di antara langit dan bumi. Ayat ini menunjukkan juga sifat Wahdaniyah (Zat Yang Maha Tunggal) yang menciptakan makhluk dengan wujud zahir dan batin, yang terlihat dan yang ghaib. Inilah juga yang disebut sebagai risalah Tauhid yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw sewaktu berdakwah dan ayat ini sebagai dalil atau bukti bahawa Dialah Allah yang telah menciptakan apa yang dipijak oleh manusia yakni bumi dan apa yang dilihat manusia mengenai keindahan di langit dan perubahannya (siang dan malam).
2. Allah swt juga telah menamakan DiriNya dengan Zat Yang Maha Berkuasa Menciptakan (Al-Khaliq) dan yang diwujudkan oleh Al-Khaliq adalah dipanggil makhluk. Ayat ini mengajar manusia agar sentiasa menghayati sifat Allah swt Yang Maha Bijaksana yang telah menciptakan sesuatu tanpa rujukan tetapi berwujud pelbagai rupa keindahan yang sungguh menakjubkan. Inilah sifat Kebesaran Allah swt yang telah diperlihatkan kepada makhlukNya. Maka selayaknya bagi Al-Khaliq itu mendapat pujian daripada makhlukNya sepertimana firmanNya :

Maksudnya : Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

3. Dalam ayat ini Allah swt menyebut langit menyebut dengan lafaz "as-samaawaati" yakni langit-langit dengan lafaz jamak. Ini bermaksud jumlah langit yang dicipta Allah swt ialah sebanyak tujuh lapis. Sepertimana firmanNya :
Maksudnya : Dia lah Yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit Yang berlapis-lapis. Al-Mulk : 3

FirmanNya lagi :
Maksudnya : Dan demi sesungguhnya, Kami telah menciptakan tujuh jalan di atas kamu (tujuh lapis langit). Al-mukminun : 17
FirmanNya lagi :
Maksudnya : Allah lah yang telah menciptakan tujuh petala langit dan (ia menciptakan) bumi seperti itu.

4. Allah swt telah menghubungkan pada penciptaan langit itu wujudnya hubungan antara makhluk di bumi dengan langit tersebut. Dalam ayat-ayat al-Quran, Allah swt menjelaskan bahawa langit membawa erti yang sungguh bermakna bagi orang-orang yang mahu memikirkannya. Antaranya dari langitlah diturunkan akan wahyu al-Quran, tentera-tentera Allah, berkah, rahmat, hujan dan sebagainya.
5. Selanjutnya pada lafaz yang selanjutnya Allah swt menyebut mengenai penciptaan bumi. Ini menunjukkan bahawa bumi dan langit saling berkaitan. Maha Bijaksana dan Maha Kuasa Allah swt kerana makhluk yang pertama yang dicipta Allah swt untuk KhalifahNya adalah bumi dan langit. Bumi adalah tempat tinggal bagi manusia, disitulah ia hidup dan disitu juga ia akan mati serta di situ jugalah ia akan dibangkitkan. Bumi yang dihamparkan Allah swt buat manusia mengalami perubahan mengenai kesuburannya. Disini langit mengambil peranan untuk menyuburkan bumi yang kering dengan diturunkan air hujan daripada langit.

Antara perbezaan antara dua-dua ayat ini ialah, di dalam ayat 29 surah al-Baqorah Allah swt tidak menyebut mengenai lafaz “langit” dan dalam surah as-Sajdah lafaz “langit” disebutkan untuk menunjukkan hubungan terhadap penciptaan langit dan bumi dalam kehidupan manusia. Perbezaannya lagi ialah mengenai “beristawa” ke langit dan “beristawa” di atas `Arasy. Insya Allah akan dijelaskan.
Maksud pada lafaz “dan Dia beristawa di langit” atau “kemudian Allah beristawa ke langit”, yakni ayat ini menunjukkan mengenai ayat mutasyabihat (samara-samar penafsirannya). Ia termasuk ayat yang sukar untuk difahami dan sukar ditafsirkan dan kebanyakkan ulama-ulama berpendapat bahawa kita hanya perlu membaca dan beriman dengannya tetapi tidak perlu menafsirkannya. Kata Imam Malik, “Beristawa itu lumrah difahami ramai, kaedahnya tidak dapat ditanggapi akal, namun beriman dengannya adalah wajib, manakala bertanya mengenai adalah bid`ah (bid`ah mazmumah – perbuatan yang tercela)”. Daripada sudut aqidah ahli sunnah wal jama`ah, “istawa” dalam ayat ini membawa maksud “berkehendak untuk membuatnya”, atas dasar maksud jika ditafsirkan “kemudian Allah swt berkehendak untuk menciptakan langit”.

Dalam penafsiran yang lain, “istawa” membawa maksud menuju, yakni lafaz “summa” untuk susunan pemberitahuan dan jika ditafsirkan ia membawa maksud “Dan (Dia) berkehendak menuju ke langit”. Daripada sudut bahasa “istawa” membawa maksud “naik dan tinggi di atas sesuatu”. Dalam penafsiran yang lain, “istawa” bermaksud “menuju”, kerana bermaksud atau berkehendak menciptakan langit dan penafsiran ini jelas jika disifatkan kepada sifat-sifat Allah swt (al-Qashdu) bermaksud dan (al-Iradah) berkehendak. Jika penafsirannya ialah “Kemudian (Dia) berkehendak menuju ke langit”. Dalam penafsiran yang lain, “istawa” bermaksud “naik”, yakni jika ditafsirkan ia bermaksud “kemudian (Dia) naik ke langit”. Di kalangan ulama tafsir juga berbeza pendapat mengenai penafsiran yang dikaitkan dengan maksud “tinggi dan naik”. Persoalannya, siapakah yang tinggi (menunjukkan tempat) dan naik (menunjukkan perbuatan) di sini?, dikalangan mereka mengatakan bahawa yang tinggi dan naik ke langit itu adalah Allah swt dan pendapat yang lain mengatakan yang tinggi dan naik ke langit itu adalah asap yang dijadikan Allah swt sebagai langit bagi bumi. Di kalangan orang arab sendiri, semua maksud dan takwil di atas boleh sahaja digunakannya. Bahkan “istawa” atau maksud asal kalimahnya “al-istiwa” boleh dimaksudkan sebagai stabil atau keadaan yang lurus daripada keadaan bengkok. Dalam maksud lain di ertikan dengan “seseorang yang telah berada di puncaknya”. Ada ulama yang menyebutnya dengan maksud menguasai. Apapun hal ini jika dikaitkan dengan ayat di atas, maka akan wujud penakwilan. At-Thobary mengatakan bahawa, penakwilan yang tepat ialah “kemudian (Dia) naik dan berada tinggi ke atasnya lalu menguasainya dengan kekuasaanNya dan menciptakannya menjadi tujuh lapis langit”. Perlu difahami juga bahawa penakwilan dalam ayat ini bukan menunjukkan bahawa Dia (Allah) naik ke atas langit itu bukan menunjukkan kepada perbuatan tetapi secara penguasaan dan peraturan yang di merupakan daripada Sifat-sifat Allah swt.

Dalam ayat ini juga menunjukkan bahawa Allah swt telah menciptakan bumi terlebih dahulu daripada langit. Telah berkata di kalangan sahabat Nabi saw, sesungguhnya Arsy Allah swt berada di atas air dan Allah swt tidak tidaklah Allah swt menciptakan sesuatu sebelum air. Kemudian apabila Allah swt berkehendak untuk menciptakan makhlukNya maka Dia telah mengeluarkan asap daripada air tadi. Daripada asap tadi lalu ia beredar ke atas ibarat menjadi bumbung yang tinggi di atas air. Maka oleh kerana itulah langit dinamai dengan “as-samaa`” yakni atap atau bumbung dalam keadaan tinggi ke atas). Kemudian Allah swt memisahkan bumi ibarat dipecahkan menjadi tujuh lapis dalam 2 hari dan disebutkan hal itu berlaku pada hari Ahad dan Isnin. Diceritakan lagi bahawa sewaktu itu bumi diletakkan di atas seekor ikan besar yang bernama Huut. Huut ini merupakan sejenis ikan besar yang telah disebutkan Allah swt dalam awal surah al-Qolam dan ia berada di dalam air dan manakala air itu berada di atas sebuah batu besar yang bersinar. Batu itu pula berada di atas seorang malaikat dan malaikat itu pula berada di atas sebuah batu yang lebih besar lagi. Selanjutnya diceritakan lagi, batu yang besar itu berada di atas angina dan batu besar ini yang dikatakan oleh Luqman al-Hakim “Batu besar ini tidak berada di langit mahupun di bumi”. Kemudian Huut ini bergerak dan menyebabkan bumi turut bergerak dan bergegar. Maka Allah swt menjadikan gunung-ganang, bukit-bukau di bumi dan ketika itu juga bumi berhenti bergerak dan bergegar (bergoncang), sepertimana yang difirmankan oleh Allah swt dalam surah an-Nahl ayat 15 yang bermaksud “Dan Dialah Allah yang telah memasakkan gunung-gunung di bumi agar bumi itu tidak bergerak dan bergoncang bersama kamu”. Kemudian disebutkan juga sambungannya dalam sebuah hadist yang panjang yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.huma dari Murrah al-Hamdani dari Ibnu Mas`ud r.hu dan dalam riwayat lain daripada Ibnu Abbas r.huma sendiri.

Lafaz selanjutnya di sebutkan “lalu dijadikan-Nya tujuh langit”, yakni kemudian Allah swt menyempurnakan penciptaan langit dengan wujud tujuh lapis dan setiap lapis-lapis itu telah ditetapkan dan di atus urusan lapisan langit masing-masing. Telah menjadi sepakatan umat Islam bahawa, langit telah diciptakan Allah swt sebanyak tujuh tingkat atau tujuh lapis. Disebutkan bahawa jarak antara satu langit ke satu langit yang lain ialah kira-kira 500 tahun perjalanan. Telah disebutkan juga bahawa, langit diciptakan sebagai atap bagi bumi tanpa bertiang dan wujud cahaya serta langit juga akan turut binasa bersama bumi ketika terjadinya kiamat.
Lafaz yang berada di hujung ayat disebutkan “dan Dia Maha mengetahui segala sesuatu”, yakni ilmu pengetahuan Allah swt meliputi terhadap seluruh makhluk yang diciptakanNya. “Al-Alim” adalah salah satu daripada nama-nama Allah swt yang Agung. Di dalam al-Quran disebutkan lebih daripada lima puluh ayat. Perkataan “al-Alim” di ambil daripada perkataan “Alima” yakni yang menunjukkan bahawa ilmu itu itu tersangatlah tinggi dan tidak dapat dicapai oleh makhluk ciptaanNya. Firman Allah swt dalam surah al-An`am ayat 59:
Maksudnya : Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)".

Dalam ayat ini Allah swt telah menyifatkan diriNya sebagai “Alim” yakni yang Maha Mengetahui dan Dia tidak menyifati diriNya dengan “Arif” kerana ma`rifah didahului dengan ketidaktahuan sebelumnya sedangkan Allah adalah bersifat Qodim. Para ulama juga menyebut bahawa, sifat Maha Mengetahui Allah swt tidak berubah mengikut perubahan maklumat, begitu juga Allah swt tidak menyibukkan diriNya dengan ilmu dan Maha Mengetahui Allah tanpa wujud had dan halangan.

Sabtu, 17 Mei 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 28


كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنْتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Maksudnya :
Ayat 28 : Mengapa kamu kafir kepada Allah, padahal kamu tadinya mati, lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkanNya kembali, kemudian kepadaNyalah kamu dikembalikan?
Penafsiran ayat 28 surah al-Baqarah.

Ayat 28 :

Dalam ayat ini Allah swt memulai dengan menyebut lafaz istifham (pertanyaan). Allah swt menyebut “kaifa” yakni “mengapa atau bagaimana”, lafaz ini dikaitkan untuk menanyakan sesuatu keadaan. Perlu diketahui bahawa Allah swt menyebut lafaz pertanyaan dalam ayat ini bukan untuk mengetahui sesuatu keadaan, akan tetapi Allah swt meminta penjelasan kepada yang di tanya mengenai tindakan dan perbuatan mereka. Mereka yang di tanya itu adalah orang-orang kafir dari kalangan ahli kitab (yahudi dan nasrani) kerana Allah swt telah menyebut “Mengapa kamu kafir kepada Allah”, yakni lafaz ini menunjukkan wujudnya manusia yang mengingkari dan menolak agama Islam yang suci yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Mereka tidak menyakini tentang Nabi Muhammad saw sebagai Rasul Allah, begitu juga tidak membenarkan apa yang dibawa oleh baginda saw. Mereka telah menjadi kafir kerana tidak menyakini bahawa al-Quran itu datangnya daripada Allah swt. Oleh itu, barangsiapa yang menolak al-Quran maka ia telah menyekutukan Allah swt dan menjadi orang yang melanggar perjanjian sepertimana dalam ayat ke 27 sebelum ini.

Maksud ayat “Mengapa kamu kafir kepada Allah”, yakni bagaimanakah kamu boleh mengingkari kewujudan dan kekuasaan Allah swt?, sedangkan Dialah yang telah menciptakan kamu, bumi, langit dan seluruh alam ini. Bagaimanakah kamu boleh mencari sembahan-sembahan selain daripada Allah?, sedangkan dikalangan kamu ada seorang Rasul yang menerangkan kebenaran dan menjelaskan kitab wahyu al-Quran. Sepertimana firmanNya :
Maksudnya : Wahai ahli Kitab, mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah, padahal kamu mengetahui (kebenarannya).
Ali Imran ayat 70.

Ayat-ayat Allah yang dimaksudkan ialah al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dan puak yahudi dan nasrani telah mengingkarinya. FirmanNya lagi :

Maksudnya : Bagaimanakah kamu (sampai) menjadi kafir, padahal ayat-ayat Allah dibacakan kepada kamu, dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu? Barangsiapa yang berpegang teguh kepada (agama) Allah, Maka Sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus. Ali Imran ayat 101.

Lafaz yang selanjutnya Allah swt menyebut, “padahal kamu tadinya mati, lalu Allah menghidupkan kamu”, yakni kata Ibnu Abbas r.huma, mati yang dimaksudkan ialah sebelum manusia dijadikan mereka hanya wujud sebagai benih-benih yang berada di dalam tulang sulbi ayah mereka, kemudian tatkala manusia diciptakan hasil persenyawaan benih-benih tadi maka wujudlah makhluk yang bernama manusia dan ini yang dimaksudkan dengan “lalu Allah menghidupkan kamu” yakni menjadi manusia. Inilah juga yang disebutkan Allah swt dalam surah al-Insan ayat 1,
Maksudnya : Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut?.
Ayat ini menjelaskan mengenai keadaan manusia bahawa Dialah Tuhan yang telah menciptakan dan mengadakan manusia (yakni menghidupkan manusia) kea lam dunia ini, padahal sebelumnya manusia bukanlah merupakan sesuatu yang disebut-sebut kerana terlalu hina dan sangat lemah (wujud berupa benih dalam tulang sulbi).

Allah swt juga telah berfirman,
Maksudnya : Mereka menjawab: "Ya Tuhan Kami Engkau telah mematikan Kami dua kali dan telah menghidupkan Kami dua kali (pula), lalu Kami mengakui dosa-dosa kami. Al-Mukmin ayat 11.
Disebutkan oleh Ibnu Abbas r.huma, bahawasanya sebelum manusia diciptakan mereka wujud dalam keadaan tanah dan hal ini dinilai sebagai satu kematian. Kemudian Allah swt menciptakan manusia dan ini dinilai sebagai satu kehidupan. Inilah yang dimaksudkan ayat “padahal kamu tadinya mati, lalu Allah menghidupkan kamu”.

Lafaz selanjutnya Allah swt menyebut, “kemudian kamu dimatikan dan dihidupkanNya kembali”, yakni setelah diciptakan manusia dan hiduplah manusia dengan jangka masa yang ditetapkan oleh Allah swt di dunia ini, maka manusia akan dimatikan. Setelah manusia dimatikan mereka akan berada di alam kubur yang dinamai sebagai alam barzakh yakni alam yang memisahkan dengan alam akhirat. Allah swt mematikan manusia dengan dicabut ruh pada jasad manusia. Maka ketika itu jasad tidak akan berfungsi dan akhirnya hancur menjadi tanah kembali sepertimana asal kejadiannya. Setelah beberapa ketika manusia di alam barzakh, maka Allah swt membangkitkan kembali mereka semuanya untuk dihitung akan amalan-amalan mereka di padang mahsyar dan inilah dinamai dengan alam akhirat. Ini juga yang dijelaskan Allah swt, “dan dihidupkanNya kembali”. Inilah juga yang difirmankan oleh Allah swt,
Maksudnya : Katakanlah: Allah-lah yang menghidupkan kamu kemudian mematikan kamu, setelah itu mengumpulkan kamu pada hari kiamat yang tidak ada keraguan padanya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Al-Jasiyah ayat 26.

Selanjutnya Allah swt menyebut, “kemudian kepadaNyalah kamu dikembalikan”, yakni Allah swt membangkitkan manusia pada hari qiyamat untuk diminta pertanggungjawapan. Ayat ini sebagai penawar dan penyejut hati orang yang beriman kerana orang beriman bakal bertemu Allah swt. Di dalam pertemuan itu juga Allah swt akan membalas dengan semua amalan kebaikan yang dilakukan dengan balasan syurga. Orang yang beriman akan merasai nikmat-nikmat syurga yang telah dijanjikan oleh Allah swt buat mereka. Tidaklah hal ini terjadi melainkan terlebih dahulu Allah swt membangkitkan dan membawa manusia untuk di hisab di padang mahsyar. Ini juga membawa maksud, kita ini datang daripada Allah swt dan hanya kepadaNya kita akan kembali sepertimana yang disebutkanNya, “kemudian kepadaNyalah kamu dikembalikan”. Manakala kaum kafir, kaum anti Tuhan dan ahli falsafah sesat merupakan kaum yang mengingkari hari kebangkitan. Kereka ini tidak mempercayai bahawa manusia diciptakan atau dihidupkan semula setelah mati. Tentunya bagi kaum yang anti Tuhan pasti mengingkari hari pertemuan manusia dengan Tuhan kerana mereka mengingkari wujudnya Tuhan. Sebenarnya mereka tidak memiliki alasan baru kerana apa yang difahami mereka adalah sama seperti apa yang pernah dikatakan oleh kaum-kaum bodoh (jahiliah) atau arab musyrikin pertama. Sepertimana firman Allah swt dalam surah Al-Jasiyah ayat 24 :
Maksudnya : Dan mereka berkata: Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia saja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang akan membinasakan kita selain masa dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu. Mereka tidak lain hanyalah menduga-duga saja.

Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan mengenai kaum anti Tuhan atau dinamakan dengan Dahriyyah dari kalangan puak kafir dan puak arab musyrikin arab yang mengingkari hari berbangkit dan pertemuan manusia dengan Allah swt. Mereka mengatakan Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia saja”, yakni mereka berpendapat bahawa tiada kehidupan melainkan kehidupan di dunia sahaja. Anggapan mereka bahawa ada kaum yang mati dan ada kaum yang hidup dan tidak ada hari kemudian (bangkit daripada alam barzakh) serta tidak ada hari yang dinamakan akhirat. Bahkan mereka berpendapat bahawa setiap tiga puluh enam ribu tahun segala sesuatu akan kembali seperti semula dan mereka menduga bahawa hal ini berlaku berulang-ulang tanpa batas. Mereka membesarkan akal dan hanya berhujah dengan akal semata-mata serta menolak firman-firman Allah swt melalui Rasul yang diutusNya. Oleh kerana itulah mereka mengatakan “dan tidak ada yang akan membinasakan kita selain masa”. Ini membawa maksud bahawa mereka adalah kaum yang telah mencaci masa yang telah diciptakan Allah swt. Sepertiman sabda Nabi saw, “Puak jahiliyah telah mengatakan bahawa : “sesungguhnya yang membinasakan kita adalah malam dan siang (masa)”. Sabda Nabi saw lagi, “Allah swt telah berfirman, Anak Adam menyakitiKu, mereka telah mencaci masa, padahal Akulah yang menciptakan masa, di tangan (kekuasaanKu) urusan itu, Akulah yang menggilirkan malam dan siang harinya”. Sabdanya lagi, “Janganlah kamu mencaci masa kerana sesungguhnya Allah swt yang menciptakan masa itu”. Allah swt juga telah berfirman,
Maksudnya : Dan Dialah yang menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan)nya kembali, dan menghidupkan kembali itu adalah lebih mudah bagi-Nya. dan bagi-Nyalah sifat yang Maha Tinggi di langit dan di bumi; dan Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Ar-Rum ayat 27.

Ayat ini jelas menunjukkan kebenaran hari berbangkit dan hal sangat mudah bagi Allah swt untuk menghidupkan kembali manusia di akhirat kelak.

Lafaz ayat “kamu dikembalikan”, mempunyai dua maksud. Pertama: Jika dibaca huruf ta` dengan baris hadapan (turja`un), ertinya manusia dipaksa untuk kembali kepada Allah swt tapa ada keinginan darinya dan bacaan ini dikhususkan untuk orang-orang kafir. Kedua: Jika dibaca huruf ta` dengan baris atas (tarji`un), ertinya manusia kembali dengan keinginan sendiri dan bacaan ini dikhususkan untuk orang yang beriman. Wa Allahu `alam.

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 27


الَّذِينَ يَنْقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ أُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Maksudnya :
Ayat 27 : Ayat 27 : (yaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerusakan di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi.

Penafsiran ayat 27 surah al-Baqarah.

Ayat 27 :
Setelah Allah swt menerangkan kepada kita pengertian iman yang hakiki, kemudian ia menjelaskan kepada kita bahawasanya orang fasiq ialah orang-orang yang jauh dari manhajNya, maka pada ayat ini Allah swt menerangkan kepada kita sifat-sifat orang fasiq. Sifat-sifat mereka dalam ayat ini ayat tiga, yakni:

Pertama : “(yaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh”.
Kedua : “dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya”.
Ketiga : “dan membuat kerusakan di muka bumi”.

Dengan sifat-sifat fasiq ini menjadikan mereka sebagai orang-orang yang rugi dalam kehidupan mereka dan akhirnya di akhirat mereka akan di azab dengan siksaan pedih di neraka. Ini membawa maksud kehidupan mereka secara hakikatnya tidak membuahkan hasil yang menguntungkan walaupun secara zahirnya mereka adalah manusia yang bersusah-payah dan berusaha untuk mendapat kejayaan dalam hidup mereka. Usaha dan kerja keras mereka tidak mendatang manfaat buat mereka di dunia dan akhirat.
Maksud ayat “(yaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh”, yakni orang-orang fasiq telah melanggar perjanjian asal mereka dengan Allah swt. Ini telah disebutkan oleh ulama aqidah mengenai bab perjanjian Adam dan anak cucunya kepada Allah sebelum mereka Dialahirkan. Sepertimana firmanNya :

Maksudnya : Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah aku ini Tuhanmu?" mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuban kami), Kami menjadi saksi". (kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya Kami (Bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)". Al-`Araf ayat 172.

Dalam ayat ini. Allah swt mengkhabarkan bahawa Dia telah mengeluarkan anak cucu Adam dari sulbi-sulbi mereka sambil mempersaksikan atas diri mereka sendiri bahawa Allah swt adalah Tuhan (Rabb) dan pemilik mereka dan bahawasanya tidak ada yang berhak di ibadahi melainkan hanya Allah swt.

Ada juga ulama tafsir yang berpendapat bahawa, perjanjian yang dimaksudkan ialah wasiat Allah swt kepada makhluknya agar mereka mentaati perintahNya dan larangan buat mereka agar jangan melakukan maksiat sepertimana yang telah termaktub di dalam kitab-kitabNya.

Begitu juga ada ulama tafsir yang berpendapat perjanjian itu ialah janji yang diambil Allah swt dari orang-orang yang telah diberi Kitab. Janji buat mereka agar jangan menyembunyikan kebenaran kerasulan Nabi Muhammad saw. Allah swt telah mengambil janji dari mereka agar tidak mengingkari Nabi saw sepertimana Allah swt juga telah mengambil janji buat para Nabi dan orang-orang yang mengikuti mereka. Sepertimana yang difirmankanNya :

Maksudnya : Dan (ingatlah), ketika Allah mengambil Perjanjian dari Para nabi: "Sungguh, apa saja yang aku berikan kepadamu berupa kitab dan Hikmah kemudian datang kepadamu seorang Rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, niscaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya". Allah berfirman: "Apakah kamu mengakui dan menerima perjanjian-Ku terhadap yang demikian itu?" mereka menjawab: "Kami mengakui". Allah berfirman: "Kalau begitu saksikanlah (hai Para Nabi) dan aku menjadi saksi (pula) bersama kamu". Ali Imran ayat 81.

Ayat ini menjelaskan bahawa para Nabi berjanji kepada Allah s.w.t. bahawa apabila telah datang seorang Rasul bernama Muhammad mereka akan beriman kepadanya dan menolongnya. Perjanjian Nabi-nabi ini mengikat pula para ummatnya. Daripada uslub bahawa dalam ayat ini, ayat ini menunjukkan sifat bagi orang kafir dan bukannya orang mukmin. Kerana seorang yang mukmin tidak akan melanggar segala perintah larangan Allah swt dan beramal soleh dalam melaksanakan segala perintah suruhanNya.

Ayat ini juga dapat dikaitkan dengan ayat 25 dalam surah ar-Rad dengan firmanNya :

Maksudnya : Orang-orang yang merusak janji Allah setelah diikrarkan dengan teguh dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan mengadakan kerusakan di bumi, orang-orang. Itulah yang memperoleh kutukan dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk (Jahannam).

Ulama menafsirkan bahawa, ayat ini dikaitkan dengan semua orang kafir, orang musyrik dan orang munafiq. Janji Allah swt buat mereka adalah mengenai masalah Tauhid, masalah perintah dan laranganNya serta mengenai masalah Rasul yang wajib buat mereka beriman dan mengikutinya. Oleh itu, barangsiapa yang mengingkari dan menolak perkara tersebuat maka di akhirat kelak mereka akan dimasukkan kedalam neraka dan mendapat kutukan di atas dunia lagi.

Secara kesimpulannya, maksud ayat “(yaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh”, sifat orang fasiq sentiasa melanggar dan mengkhianati manhaj agama Allah swt. Oleh itu orang mukmin tidak dapat menerima dan mempercayai mereka buat selama-lamanya.

Maksud ayat “dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya”, yakni silaturahim atau hubungan manusia sesama manusia, sepertimana sabda Nabi saw, “Kamu seluruhnya adalah anak Adam dan Adam diciptakan daripada tanah”. Hadis ini menjadi panduan buat manusia bahawa, manusia mempunyai ikatan antara satu sama lain. Oleh itu Allah swt mahu manusia ini mempunyai hubungan persaudaraan agar sesama manusia dapat memperingatkan tentang kebenaran dan risalah Wahyu. Dengan wujudnya hubungan silaturahim maka manusia akan saling bantu-membantu dan memudahkan hubungan kemasyarakatan. Akan tetapi ayat ini jelas menunjukkan sifat orang fasiq yang menolak hubungan silaturahim ini diwujudkan. Mereka menolaknya dengan alasan bahawa kehidupan ini wujud mengikut aturan sendiri tanpa perlu mengikut aturan Allah swt. Ada juga ulama yang mengatakan bahawa, mereka yang mengingkari kebenaran telah memutuskan hubungan kerabat (keluarga) mereka sendiri sepertimana yang difirman Allah swt :

Maksudnya : Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan?. Surah Muhammad ayat 22.

Menurut pendapat yang lain, ayat ini menjelaskan lafaz maksud secara umum yakni mencakupi semua perkara yang diperintahkan Allah swt agar menghubungkan dan mengerjakannya, akan tetapi sifat orang fasiq tetap menutuskan dan meninggalkannya. Ada juga ulama yang mengatakan bahawa, Allah swt memerintahkan agar manusia menyambung perkataan dengan amalan. Akan tetapi di kalangan manusia telah memutuskan antara keduanya dengan hanya mengatakan tetapi tidak mengamalkan apa yang mereka katakan itu.

Maksud ayat “dan membuat kerusakan di muka bumi” yakni mereka telah menyembah selain Allah swt dan melampaui batas dalam perbuatan disebabkan mereka lebih berminat menolak kebenaran menurut hawa nafsu mereka sendiri. Oleh kerana itu, barangsiapa yang membuat maksiat dan kejahatan di bumi Allah swt ini, maka ia termasuk di kalangan orang yang telah membuat kerosakkan di bumi ini. Oleh itu, kerosakkan dan keburukan yang wujud dan berlaku di bumi ini adalah disebabkan perbuatan jahat yang dilakukan oleh manusia sendiri, sepertimana firmanNya :

Maksudnya : Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia…Ar-Rum ayat 41.

Maksud ayat “Mereka itulah orang-orang yang rugi”, yakni perbuatan yang mereka lakukan adalah sia-sia, tidak mempunyai keuntungan buat mereka di dunia dan di akhirat. Ulama juga mengatakan bahawa kerugian buat mereka adalah buat selama-lamanya dan seumur hidup mereka. Pastinya orang yang rugi tidak mendapat kebahagian hidup di dunia dan di akhirat. Mereka hidup tanpa berkah dan rahmat daripada Allah swt. Di akhirat pula mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Ini menunjukkan orang-orang yang rugi pasti mendapat kecelakaan dan kebinasaan di akhirat. Mereka adalah golongan yang menolak dan berminat mencari agama selain dari Islam. Sepertimana firmanNya :

Maksud : Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, Maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu)daripadanya, dan Dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. Ali Imran ayat 85.

Begitu juga barangsiapa yang taat kepada orang-orang kafir nescaya ia akan menjadi orang yang rugi. FirmanNya :

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang yang kafir itu, niscaya mereka mengembalikan kamu ke belakang (kepada kekafiran), lalu jaDialah kamu orang-orang yang rugi. Ali Imran ayat 149.

Oleh itu, barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab ketaatannya) maka dia lah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi. Orang yang rugi pasti akan hilang segala-galanya, sama ada kebahagian mahupun ketenteraman diri. Wa Allahu `Alam.


Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 26


إِنَّ اللَّهَ لاَيَسْتَحْيِي أَنْ يَضْرِبَ مَثَلًا مَا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا فَأَمَّا الَّذِينَ آَمَنُوا فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَذَا مَثَلًا يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا وَمَا يُضِلُّ بِهِ إلاَّ الْفَاسِقِينَ
Maksudnya :
Ayat 26 : Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, Maka mereka yakin bahwa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: "Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?." dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberi-Nya petunjuk. dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasiq.
Penafsiran ayat 26 surah al-Baqarah.

Ayat 26 :

Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa Dia tidak keberatan untuk membuat perumpaan dengan seekor nyamuk dan seumpamanya, sama ada kecil atau lebih kecil lagi. Justeru itu, kehebatan sebenarnya terletak pada satu perkara iaitu keupayaan dan kuasa mencipta. Perumpamaan hanyalah ditampilkan untuk menjelaskan suatu mesej dan pengertian melalui apa yang diketahui dan disaksikan. Sabda Nabi saw : “Sesungguhnya al-Quran itu turun dengan lima aspek, iaitu yang halal, yang haram, yang muhkam (yang mudah difahami), yang mutasyabihat (yang sukar difahami) dan perumpamaan-perumpamaan. Maka kerjakanlah yang halal dan jauhilah yang haram. Ikutilah yang muhkam dan percayalah pada yang mutasyabihat dan ambillah pelajaran dari perumpamaan-perumpamaannya”. Firman Allah swt :
Maksudnya : Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu. al-`Ankabut ayat 43.
Yakni tiadalah yang dapat memahami hikmah disebalik setiap perumpamaan ayat-ayat al-Quran melainkan orang-orang yang mendalami ilmu pengetahuan mengenai Kitabullah. Pastinya setiap daripada perumpamaan itu perlu direnungi untuk di ambil pengiktibaran daripadanya. Dikatakan juga bahawa, dengan perumpamaan seseorang itu akan mendapat manfaat yang besar dan sangat-sangat berguna buat kehidupan. Tentunya orang-orang yang berilmu itu adalah orang yang benar kefahaman dan sentiasa mengikut petunjuk kebenaran.

Allah swt menyebut “Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk….” , yakni Allah membuat perumpamaan buat mengambarkan dunia. Kata ulama tafsir, nyamuk tetap hidup selagi dalam keadaan lapar tetapi apabil aia telah kekenyangan maka ia pun mati. Demikian buat kaum yang lalai dengan harta benda mereka. Dengan kata lain, apabila mereka merasa puas dengan harta dunia yang melimpah itu, maka saat itulah Allah swt mengazab mereka. Sepertimana Firman Allah swt,
Maksudnya : Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kamipun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekeras-kerasnya. Maka ketika itu mereka terdiam berputus asa. Al-`An`am ayat 44.

Disebutkan bahawa, ketika Allah swt membuat perumpamaan berupa nyamuk, kaum kafir memahaminya dengan pengertian tersurat tanpa memahami maksud yang tersirat, maka mereka berkata : “Apa maksud dan tujuan perumpamaan yang dikaitkan dengan nyamuk yang kecil, yang bila dipukul maka akan matilah nyamuk itu. Mengapa tidak buat perumpamaan binatang yang lebih besar dan kuat?”. Ini juga membawa maksud bahawa orang-orang kafir itu merendah-rendahkan dan meremehkan apa yang dibawa oleh Nabi saw padahal yang disampaikan dan dibacakan Nabi saw itu adalah Kitabullah saw. Dari sudut bahawa “malu” bermaksud, berasa aib, hina dan rendah kerana membuat sesuatu yg salah atau yg tidak sopan. Akan tetapi tidak mungkin Allah swt bersifat aib dan rendah dan membuat yang salah. Oleh itu ayat ini untuk panduan manusia seluruhnya.
Disebutkan dalam ayat lain yang berkaitan seperti ayat ini, firman Allah swt :
Maksudnya : Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalatpun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah. Al-Haj ayat 74.

Dalam ayat ini disebutkan “Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan” yakni tentang apa yang disembah oleh orang-orang yang mempersekutukanNya, “maka dengarlah olehmu perumpamaan itu”, yakni perhatikanlah dan dengarkanlah baik-baik serta fahamilah dengan benar. Maksud “Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalatpun, walaupun mereka bersatu menciptakannya” yakni sekalipun semua berhala yang disembah mereka itu bersatu untuk menciptakan seekor lalat nescaya mereka tidak akan mampu melakukannya. Maksud “dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu”, yakni mereka tidak akan mampu menciptakan seekor lalat pun. Bahkan lebih jelas daripada itu mereka tidak mampu mempertahankan diri lalat itu dan tidak dapat menolong dirinya sendiri seandainya lalat itu merampas sesuatu yang ada padanya. Maksud “Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah”, yakni amat lemahlah puak musyrikin yang menyembah berhala-berhala itu dan begitu juga amat lemahlah berhala-berhala yang mereka jadikan Tuhan.

Dalam hadith al-Bukhari dan Muslim, Nabi saw telah bersabda, “Allah swt telah berfirman : Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang sengaja menciptakan sesuatu seperti ciptaanKu?, maka hendaklah mereka menciptakan semut kecil dan hendaklah mereka menciptakan sebiji gandum”.

Lafaz yang selanjutnya Allah swt menyebut, Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahwa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka”, sifat orang beriman sentiasa membenarkan apa yang disampaikan oleh Nabi saw, lebih-lebih lagi berupa wahyu Allah swt yakni al-Quran. Orang-orang beriman sentiasa yakin dan percaya bahawa Allah swt itu pencipta semua makhluk, sama ada yang kecil mahupun yang besar. Pastinya setiap perumpamaan yang dibuat Allah swt pasti mempunyai hikmah dan tujuan bagi meningkatkan lagi keimanan dan kepercayaan mengenai sifat kebesaran dan keagungan Allah swt.

Pada lafaz “tetapi mereka yang kafir mengatakan: Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?”, yakni sikap orang-orang kafir yang memandang hina terhadap perumpamaan Allah swt dengan benda-benda kecil dan remeh. Mereka mempertikai serta mempersoalkannya, sambil berkata: Apakah yang Allah mahu dengan kiasan kepada benda-benda yang remeh ini?. Mereka adalah orang-orang yang keliru dan akhirnya mereka menjadi semakin kufur dan rugi. Mereka tidak memahami rahsia dan hikmah di sebaliknya sepertimana orang-orang beriman. Allah swt berfirman dalam surah a-Mudatsir ayat 31.
Maksudnya : Supaya orang-orang yang diberi Al-Kitab menjadi yakin dan supaya orang yang beriman bertambah imannya dan supaya orang-orang yang diberi Al kitab dan orng-orang mukmin itu tidak ragu-ragu dan supaya orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan orang-orang kafir (mengatakan): "Apakah yang dikehendaki Allah dengan bilangan ini sebagai suatu perumpamaan?.

Lafaz yang seterusnya disebutkan “dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberi-Nya petunjuk”, yakni dengan perumpamaan banyak orang munafiq dan orang kafir semakin bertambahnya kekufuran dan kesesatan mereka dan orang-orang mukmin semakin bertambah keimanan mereka. Kufur dan iman bukanlah satu warisan tetapi ia dari kemahuan dan pilihan bebas atas bimbingan akal. Ia rentetan penggunaan segala pancaindera, perasaan dan pemikiran manusia. Tidak mungkin Allah swt membuat suatu perumpamaan untuk mempecah-belahkan manusia.

Lafaz yang terakhir Allah swt menyebut “dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasiq”, tatkala Allah swt membuat perumpamaan, segolongan manusia menjadi sesat dan segolongan yang lain pula mendapat petunjuk, perumpamaan tersebut secara tidak langsung menjadi sebab sebahagian manusia menjadi sesat dan segolongan yang lain mendapat petunjuk. Namun disebabkan kesesatan mereka sebenar ialah sifat fasiq, yakni mereka telah memilih untuk keluar daripada petunjuk Allah swt dan enggan tunduk kepada tuntutan sunahNya (aturan dan undang-undang Allah swt). Orang fasiq juga disebutkan sebagai orang yang telah melanggar perjanjian Allah swt. Mereka digelar sebagai fasiq kerana mereka telah keluar daripada manhaj agama Allah swt, oleh kerana itulah orang-orang fasiq mudah menjadi sesat akibat tidak berpegang teguh terhadap jalanNya. Fasiq bukan semata-mata dengan perkataan akan tetapi dengan perbuatan. Perbuatan mereka menyembah berhala-berhala menjadi bukti atas perbuatan fasiq mereka. Wa Allahu `lam.

Khamis, 15 Mei 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 25


وَبَشِّرِ الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ رِزْقًا قَالُوا هَذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ وَأُتُو بِهِ مُتَشَابِهًا وَلَهُمْ فِيهَا
(25) أَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ وَهُمْ فِيهَا خَالِدُونَ



Maksudnya :
Ayat 25 : Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahwa bagi mereka disediakan surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezki buah-buahan dalam surga-surga itu, mereka mengatakan : "Inilah yang pernah diberikan kepada Kami dahulu." mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya.

Penafsiran
Ayat 25

Lazimnya ayat-ayat al-Quran mempunyai dua uslub yang berbeza, sepertimana dalam ayat-ayat sebelum ini, ganjaran siksaan keras dengan neraka bagi puak musyrikin dan puak munafiq, mereka musuh-musuh Allah. Akan tetapi dalam ayat ini Allah swt menerangkan mengenai ganjaran bahagia dan kenikmatan dengan syurga bagi golongan mukmin yang bertaqwa diakhirat. Berita atau ganjaran siksa disebut sebagai “ayat-ayat peringatan dengan ancaman azab” dan ganjaran syurga disebut sebagai “ayat-ayat berita gembira”. Inilah tugas Nabi saw yang diperintah oleh Allah swt untuk menyampaikannya kepada setiap manusia. Firman Allah swt :
Maksudnya : Dan demikianlah Kami menurunkan Al Quran dalam bahasa Arab, dan Kami telah menerangkan dengan berulang kali, di dalamnya sebahagian dari ancaman, agar mereka bertakwa atau (agar) Al Quran itu menimbulkan pengajaran bagi mereka. Surah Thoha ayat 113.
FirmanNya lagi :
Maksudnya : Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan. Al-Furqan ayat 56.

Dalam hadith sahih Muslim disebutkan :
Hadist riwayat Ibnu Abbas Radhiyallahu 'anhu , ia berkata:Ketika diturunkan ayat ini:
Surah asy-Syu`ara` ayat 214
Dan berilah peringatan berbentuk ancaman kepada kaum kerabatmu yang terdekat”, yaitu kaum kerabatmu yang benar-benar ikhlas. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam keluar dan naik ke bukit Shafa, lalu berteriak: Hati-hatilah! Orang-orang saling bertanya: Siapa yang berteriak? Di antara mereka berkata: Muhammad! Mereka pun berkumpul mengerumuni beliau. Beliau bersabda: Wahai Bani fulan! Wahai Bani fulan! Wahai Bani fulan! Wahai Bani Abdi Manaf! Wahai Bani Abdul Muthalib! Mereka mengerumuni beliau. Lalu beliau bersabda: Apa pendapat kalian seandainya aku beritahu kalian bahwa pasukan berkuda akan keluar di kaki gunung ini. Apakah kalian mempercayaiku? Orang-orang menjawab: Kami telah buktikan engkau tidak pernah berbohong. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: Aku peringatkan kalian akan siksa yang sangat pedih. Mendengar itu Abu Lahab berkata: Celaka engkau! Hanya untuk inikah engkau mengumpulkan kami? Kemudian ia pergi. Lalu turunlah surat ini,
Surah al-Lahab ayat 1
Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan ia benar-benar binasa”.
Hadith diatas membawa contoh mengenai “peringatan dengan ancaman azab”. Manakala hadith yang membaca contoh dengan “berita gembira” ialah seperti hadith yang diriwayatkan Muslim dalam Sahihnya :
Hadist riwayat Abdullah bin Abu Aufa Shallallahu 'alaihi wa sallam : ia berkata:Dari Ismail ia berkata: Aku bertanya kepada Abdullah bin Abu Aufa: Apakah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam pernah menyampaikan kabar gembira kepada Khadijah dengan sebuah rumah di surga? Dia menjawab: Betul. Beliau pernah menyampaikan kabar gembira kepada istrinya itu dengan sebuah rumah di surga yang terbuat dari mutiara di dalamnya tidak ada hiruk-pikuk dan kesusahan.
Dalam hadith lain :
Hadist riwayat Abu Zar Radhiyallahu 'anhu , ia berkata:Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: Jibril 'Alaihissallam mendatangiku dengan membawa kabar gembira bahwa barang siapa di antara umatmu meninggal dalam keadaan tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, maka ia masuk surga. Aku (Abu Dzar) bertanya: Meskipun ia berzina dan mencuri? Nabi menjawab: Meskipun ia berzina dan mencuri. Sahih Muslim.

Dalam ayat ini Allah swt memulai dengan menyebut “Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik”, yakni sampaikanlah berita gembira yang benar-benar ada dan menunjukkan pengkhabaran yang akan datang kepada hamba-hambaNya yang menyakini bahawa hanya Allah swt sahajalah sebagai Tuhan yang satu dan mereka mempercayai setiap apa yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad saw dan pastinya mereka sentiasa melakukan setiap apa yang diperintah Allah swt. “Berbuat baik” yang dimaksudkan ialah perbuatan baik yang dilakukan dan dilaksanakan dengan daya tubuh, daya fikir, daya qalbu dan daya hidup mereka selari dengan apa yang diajar oleh Nabi saw. Pastinya amalan kebaikan yang dilakukan adalah sesuatu yang baik dan sesuai dengan manhaj Islam. Maksudnya, Allah swt memerintahkan Nabi Muhammad saw dan para pewarisnya dari kalangan ulama` agar menyampaikan berita gembira ini kepada orang-orang mukmin. Pastinya orang-orang yang mukmin juga akan mengamalkan segala amalan baik secara istiqomah sepertimana amalan Nabi saw. Dalam hadith Sahih Muslim disebutkan : Hadist riwayat Aisyah Radhiyallahu 'anha : ia berkata:Dari Masruq, ia berkata: Aku bertanya kepada Aisyah tentang amal yang dilakukan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam, dia menjawab: Beliau senang beramal yang berkesinambungan. Yakni amalan secara istiqomah. Dalam hadith yang lain disebutkan : Dari Anas Radhiyallahu 'anhu , katanya: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam itu adalah sebaik-baik manusia dalam hal budipekertinya."
Oleh kerana itu, beriman tanpa beramal soleh adalah tidak sempurna bagi seorang hamba Allah swt. Ibarat dikatakan, “beriman tanpa wujud ketaatan adalah sesuatu yang tidak sempurna”.
Orang-orang yang beriman pastinya mereka mempercayai kedatangan hari akhirat dan mereka beramal soleh sebagai bekal mereka di sana. Mereka disebut Nabi saw sebagai orang-orang yang cerdik. Sepertimana sabdanya : "Orang yang cerdik - berakal - ialah orang yang memperhitungkan keadaan dirinya dan suka beramal untuk mencari bekal sesudah matinya, sedangkan orang yang lemah ialah orang yang dirinya selalu mengikuti hawanafsunya dan mengharap-harapkan kemurahan atas Allah - yakni mengharap-harapkan kebahagiaan dan pengampunan di akhirat, tanpa beramal shalih." Hadith at-Tirmizi.
Sesungguhnya berbuat baik dalam segala keadaan adalah sesuatu yang telah diwajibkan oleh Allah swt. Berbuat baik bukan sahaja pada perbuatan akan tetapi pada setiap gerak kerja dan langkah pada anggota tubuh manusia seperti pertuturan, hukuman dan hubungan sesama manusia. Sepertimana sabda Nabi saw : "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tamunya". Hadith Sahih al-Bukhari dan Muslim. Sabda Nabi saw lagi : Hadist riwayat Ibnu Abbas Radhiyallahu 'anhu : ia berkata: Dari Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam tentang apa yang diriwayatkan dari Allah Taala bahwa Allah berfirman: “Sesungguhnya Allah mencatat kebaikan dan kejelekan. Kemudian beliau (Rasulullah) menerangkan: Barang siapa yang berniat melakukan kebaikan, tetapi tidak jadi mengerjakannya, maka Allah mencatat niat itu sebagai satu kebaikan penuh di sisi-Nya. Jika ia meniatkan perbuatan baik dan mengerjakannya, maka Allah mencatat di sisi-Nya sebagai sepuluh kebaikan sampai tujuh ratus kali lipat hingga kelipatan yang sangat banyak. Kalau ia berniat melakukan perbuatan jelek, tetapi tidak jadi melakukannya, maka Allah mencatat hal itu sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Jika ia meniatkan perbuatan jelek itu, lalu melaksanakannya, maka Allah mencatatnya sebagai satu kejelekan”. Hadith Sahih Muslim.

Pada lafaz selanjutnya Allah swt menyebut “bahwa bagi mereka disediakan surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya”, yakni ganjaran yang dijanjikan buat mereka yang beriman ialah dengan taman-taman istimewa dan sungai-sungai yang mengalirkan air yang sungguh lazat. Inilah yang disebut sebagai syurga. Sepertimana FirmanNya dalam surah al-Qomar yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu di dalam taman-taman dan sungai-sungai”. Syurga adalah makhluk yang diciptakan Allah swt sebelum Dia menjadikan manusia. Bahkan disebutkan syurga terlebih dahulu diciptakan Allah sebelum terciptanya langit dan bumi. Dalam hadith qudsi disebutkan : Hadist riwayat Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu : ia berkata : Dari Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam , beliau bersabda: Allah berfirman: “Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang saleh sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terbesit dalam hati manusia”. Bukti kebenaran itu terdapat dalam Alquran:

Maksudnya : Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka yaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyenangkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan. Surah as-Sajdah ayat 17.

Disebutkan bahawa syurga mempunyai banyak tingkat-tingkatnya dan begitu juga nama-namanya. Disebutkan syurga itu bermacam-macam dan diantaranya ada yang dinamai sebagai al-Firdaus, `Adnin, Na`im, Darul Khuldi, Darussalam, al-Ma`wa, Darul Qoror dan Darul Jalal. Sabda nabi saw : “Syurga itu mempunyai seratus tingkat. Jarak setiap tingkat itu sama seperti antara langit dan bumi”. Hadith Sahih al-Bukhari. Sabdanya lagi : “Syurga ada seratus tingkat. Sekiranya dikumpulkan seluruh alam ini lalu dimuatkan dalam tingkat yang lain, nescaya ia masih lapang”. Hadith at-Tirmizi.

Dari sudut aqidah ahli sunnah wal jama`ah, telah sepakat ulama-ulama aqidah kita bahawa syurga adalah makhluk ciptaannya yang tidak pernah punah atau binasa sejak ia diciptakan dan syurga itu telah ada sekarang ini. Dalilnya ialah sewaktu Nabi saw berMi`raj, Nabi saw pernah masuk kedalam syurga dan menyaksikan keindahannya. Dalam hadith Sahih al-Bukhari dan Muslim disebutkan, sabda Nabi saw : “Lalu Jibril pergi bersamaku sampai ke Sidratul Muntaha dan Sidratul Muntaha itu tertutup oleh warna-warna yang aku tidak mengetahui apakah itu sebenarnya? Aku lalu dimasukkan ke surga. Tiba-tiba di sana ada bangunan-bangunan dari mutiara dan debunya berbau kasturi”.

Mengenai “mengalir sungai-sungai di dalamnya” yakni mengalirnya beberapa sungai di dalam syurga. Sabda Nabi saw, “Sungai-sungai di syurga akan mengalir dari bawah anak bukit atau gunung yang beraroma kasturi”. Hadith al-Iraqi. Sabdanya lagi, “Ada empat gunung yang termasuk gunung syurga dan ada empat sungai yang termasuk empat sungai syurga, serta ada empat peperangan yang termasuk tempat peperangan di syurga”. Seorang sahabat bertanya, “Gunung apa itu”?, baginda menjawap, “Gunung Uhud yang ia mencintai kita dan kita pun mencintai, gunung Thur, gunung Libanon dan gunung Jaudi. Sungai-sungai ialah sungai Nil, sungai Eurat, sungai Saihan dan sungai Jaihan. Tempat-tempat peperangan itu ialah Badar, Uhud, Khandaq dan Khaibar”. Hadith at-Thobroni. Nabi saw juga bersabda, “Sesungguhnya di syurga terdapat sebuah lautan air, lautan susu, lautan madu dan lautan anggur. Kemudian sungai-sungai itu dialirkan setelah penghuni syurga memasukinya”. Hadith at-Tirmizi. Firman Allah swt dalam surah Muhammad ayat 15 yang bermaksud, “(Apakah) perumpamaan (penghuni) jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak beubah rasanya, sungai-sungai dari khamar yang lezat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring; dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Rabb mereka...”.

Dalam ayat ini Allah swt menyebut bahawa sungai-sungai di syurga itu airnya tidak mengalami perubahan pada rasa dan baunya. Begitu juga diriwayatkan bahawa sungai-sungainya juga adalah jernih dan tidak mengalami kekeruhan. Begitu juga rasa manis lagi berlemak dan tidak sama seperti air susu pada haiwan-haiwan ternakan. Manakala air anggurnya (khamar) tidak sama dengan di atas dunia, dimana rasanya manis dan lazat, begitu juga pada warna, bau, rasa dan pengaruh bagi yang meminumnya serta tidaklah mereka mabuk kerananya. Disebutkan juga bahawa sungai anggur itu bewarna puteh bersih. Di salam syurga juga terdapat sungai dari madu yang disaring dan bukanlah madu tersebut keluar daripada perut lebah melainkan sifat airnya lebih pekat, lebih manis, lebih jernih dan lebih wangi daripada madu di dunia.

Disebutkan juga bahawa sungai-sungai di syurga itu dipacarkan atau mengalir daripada beberapa syurga dan diantaranya yang disebutkan Nabi saw ialah hadith Ibnu Murdawaih, sabda Nabi saw, “Sungai-sungai ini (syurga) mengalir daripada syurga `Adn dari mata air yang ada didalamnya, kemudian terbelah menjadi banyak sungai sesudahnya”. Sabdanya lagi, “Apabila kamu meminta kepada Allah, mintalah syurga Firdaus kepadaNya kerana sesungguhnya Firdaus adalah syurga yang paling tengah dan paling tinggi, darinya mengalir semua sungai disyurga dan di atasnya terdapat `Arsy Tuhan yang Maha Pemurah”. Kata Anas bin Malik r.hu, “Sesungguhnya sungai-sungai syurga itu mengalir bebas di permukaan tanah (syurga), kedua sisinya adalah kubah-kubah dari mutiara dan tanahnya adalah minyak kasturi yang harum sekali”. Yakni sungai-sungai di syurga itu tidak mengalir sepertimana sungai-sungai di bumi yang wujud seperti parit-parit atau seumpamanya. Hadith Ibnu Abi ad-Dunya. Sabda Nabi saw, “Barangsiapa yang minum khamar (air anggur yang disebut arak) di dunia kemudian dia tidak bertaubat kerananya, maka Allah mengharamkannya (minum) diakhirat”. Oleh kerana itu barangsiapa yang dimasukkan oleh Allah swt ke dalam syurga nescaya ia akan merasai kesemua jenis-jenis air yang disebutkan di dalam al-Quran dan hadith Nabi saw. Mereka itulah golongan orang mukmin yang mendapat keberuntungan yang besar dan itulah sebaik-baik pahala bagi golongan yang beriman yang beramal soleh. Sepertimana FirmanNya,
Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh, sesungguhnya akan Kami tempatkan mereka pada tempat-tempat yang tinggi di dalam syurga, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, mereka kekal di dalamnya. Itulah sebaik-baik pembalasan bagi orang-orang yang beramal. Al-`Ankabut ayat 58.

FirmanNya lagi,
Maksudnya : Supaya dia memasukkan orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan supaya Dia menutupi kesalahan-kesalahan mereka. dan yang demikian itu adalah keberuntungan yang besar di sisi Allah. Al-Fath ayat 5. Maksud ayat “Dia menutupi kesalahan-kesalahan mereka” yakni Allah swt yang Maha Pemurah mengampunkan dosa-dosa dan kekeliruan mereka. Allah swt tidak menghukum mereka atas hal tersebut, bahkan memaafkannya, mengampuni dan menutupi aib serta mengasihani mereka.

Selanjutnya Allah swt berfirman, “Setiap mereka diberi rezki buah-buahan dalam surga-surga itu, mereka mengatakan : "Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu”. Yakni setiap penduduk syurga akan diberi rezeki berupa buah-buahan sepertimana buah-buahan di dunia dan ketika penduduk dunia melihat buah-buahan itu mirip dengan buah-buahan di dunia maka mereka mengatakan, “inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu (di dunia)”. Ada juga ulama tafsir yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan “Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu”, yakni inilah yang telah dijanjikan kepada kami di dunia”. Ada juga ulama yang berpendapat bahawa maksud “Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu” yakni di dalam syurga, kerana disana mereka diberi dan terus diberi, Apabila disajikan makanan dan buah-buhan kepada mereka pada awal siang, lalu merekapun memakannya, kemudian disajikan kembali kepada mereka seperti di waktu akhir siang, mereka berkata, “Inilah yang pernah diberikan kepada kami sebelumnya”.

Disebutkan dalam kitab-kitab tafsir bahawa, buah-buahan yang dikurniakan kepada penduduk syurga itu lebih kurang sama sahaja bentuknya sepertimana buah-buahan di syurga, walaupun begitu rasanya lebih lazat, lebih manis dan baunya lebih harum daripada kasturi. Begitu juga penduduk syurga akan dihidangkan dengan buah-buahan yang lain yang tidak pernah dilihat dan wujud di atas dunia. Inilah juga yang disebutkan Allah swt pada lafaz yang selanjutnya, “mereka diberi buah-buahan yang serupa”, yakni bentuk seakan-akan buah-buahan di dunia tetapi berbeza dari sudut rasanya. Ada juga ulama tafsir yang berpendapat bahawa, penduduk syurga akan dihidangkan dengan buah-buahan yang sama warna dan bentuknya akan tetapi wujud perbezaan rasa diantara buah-buahan itu. Begitu juga warna, kualiti dan bentuknya sangat-sangat bagus dan cantik, tidak seperti buah-buahan di dunia yang wujud dengan sifat yang baik dan buruk. Kata Ibnu Abbas r.hu, “Tiada sesuatupun di syurga yang menyerupai sesuatu di dunia, hanya namanya sahaja yang serupa”. Yakni buah-buahan syurga itu seakan-akan serupa dengan buah-buahan di dunia. Dalam surah al-Waqiah Allah swt berfirman,
Maksudnya : Dan buah-buahan dari apa yang mereka pilih. Yakni penduduk syurga akan terlebih dahulu memilih buah-buahan ketika dihidangkan kepada mereka sebelum memakannya. Dalam riwayat yang lain, mereka bebas memetik mana satupun buah-buahan yang mereka sukai. Sabda Nabi saw, “Sesungguhnya apabila seseorang itu memetik suatu buah dari syurga, maka dari tempat yang dipetiknya itu akan muncul lagi buah yang lainnya”. Diriwayatkan juga, Nabi saw menyebut bahawa di dalam syurga ada pohon yang dinamai dengan pohon bidara yang tidak berduri yang mengeluarkan buah-buahan yang mempunyai tujuh puluh dua rasa yang masing-masingnya berbeza antara satu sama lain. Dalam hadith Muslim disebutkan, Nabi saw bersabda, “Sesungguhnya tadi aku melihat syurga lalu aku menerima setandan saja buahnya dan seandainya aku mengambil semuanya, nescaya cukup untuk kamu makan selama masih di dunia”.

Disebutkan juga bahawa, pohon-pohon yang mengeluarkan buah-buahan di syurga itu dinamai dengan pohon Thuba, pohon kurma, pohon pisang, pohon tin, pohon semangka dan labu. Sabda Nabi saw, “Tidak ada pohon di syurga kecuali batangnya berasal daripada emas”. Sabdanya lagi, “Pohon kurma di syurga batangnya adalah zamrud berwarna hijau, dahannya adalah emas merah dan pelepahnya adalah pakaian penghuni syurga, buahnya sebesar kendi dan sedangkan warnanya seputeh susu, rasanya semanis madu, lembutnya selembut keju dan di dalamnya tidak ada isi”. Semua nama-nama pohon ini dinamai dengan nama pohon di dunia kecuali pohon Thuba, sepertimana sabda Nabi saw, “Tidak ada satu pohon pun dibumi yang menyerupainya”. Kata Anas bin Malik r.hu, “Di dunia ini, tidak ada buah yang menyerupai buah di syurga kecuali buah pisang”, sepertimana FirmanNya dalam surah al-Waqiah ayat 29.
Maksudnya : Dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya).


Nabi saw pernah membaca surah ash-Shaffat ayat 146,
Maksudnya : Dan Kami tumbuhkan untuk Dia sebatang pohon dari jenis labu.
Lalu beliau bersabda, “Labu dan semangka adalah buah dari syurga”.

Inilah juga yang firmanNya dalam surah al-Qaqiah ayat 27 hingga 33,
27. Dan golongan kanan, Alangkah bahagianya golongan kanan itu.
28. Berada di antara pohon bidara yang tak berduri,
29. Dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya),
30. Dan naungan yang terbentang luas,
31. Dan air yang tercurah,
32. Dan buah-buahan yang banyak,
33. Yang tidak berhenti (berbuah) dan tidak terlarang mengambilnya.

Pada ayat selanjutnya Allah swt menyebut “dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya”, yakni yang dimaksudkan ialah bidadari-bidadari yang disediakan buat suami-suami yang beriman dan beramal soleh di syurga. Ulama menafsirkan bahwa para bidadari itu sentiasa dalam keadaan suci dan wujud hal-hal menjijikan atau kotor kepada mereka. Mereka adalah makhluk-makhluk Allah swt yang mendiami syurga dan menjadi pasangan buat lelaki yang soleh di syurga. Mereka ini tidak pernah haid, nifas, tidak ludah, tidak pernah buang air besar atau kecil, tidak pernah melahirkan anak dan tidak wujud juga sifat-sifat aib dan buruk sepertimana manusia. Mereka adalah makhluk Allah yang sentiasa suci bersih pada zahir dan batin mereka. Inilah yang difirmankan Allah swt :
Maksudnya : Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas dipan-dipan (tempat duduk istimewa). Al-Hijr ayat 47
Yakni di akhirat kelak, seorang isteri itu suci dari segala sesuatu yang dibenci oleh suaminya sewaktu di dunia. Oleh itu, di akhirat orang-orang mukmin itu suci dari segala kekurangan dan kesusahan yang terjadi di dunia.

Kata “azwaj” yakni isteri yang menjadi sumber kesenangan suami di dunia apabila ia solehah dan sumber kesengsaraan apbila ia tidak solehah. Bagi seorang lelaki di syurga akan mendapat pasangan yang terbaik dan solehah dengan bidadari-bidadari syurga yang menjadi penawar dan penyejuk hati suami. Lafaz “azwaj” menunjukkan lafaz jama` yakni seorang lelaki akan mendapat lebih seorang isteri di syurga.

Disebutkan juga dalam kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab hadist, bahawa terdapat riwayat yang menyatakan bahawa wanita mukminah di dunia berstatus lebih baik daripada bidadari syurga, sepertimana yang dijelaskan Allah swt di dalam surah al-Waqi`ah ayat 35 hingga 38. FirmanNya :

35. Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (Bidadari-bidadari) dengan langsung

36. Dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan.
37. Penuh cinta lagi sebaya umurnya.
38. (Kami ciptakan mereka) untuk golongan kanan.

Diriwayatkan dalam hadist a-Tirmizi, daripada Ummu Salamah r.ha bahawa saya bertanya : Ya Rasulullah, perempuan dunia lebih baik atau bidadari syurga? Baginda saw menjawap : “Bahkan perempuan dunia lebih baik daripada bidadari syurga seperti pakaian luar berbanding pakaian dalam”. Aku bertanya lagi : Ya Rasulullah mengapa mereka lebih baik? Baginda menjawap : “Kerana solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah `Azza wajalla”. Disebutkan dalam hadist sahih juga bahawa seorang lelaki akan mempunyai dua orang isteri dan para ulama berpendapat bahawa salah seorang daripadanya adalah perempuan dunia (isteri di dunia) dan seorang lain adalah perempuan syurga (bidadari syurga).

Nabis saw pernah di tanya mengenai penciptaan bidadari, maka baginda saw menjawap : “Daripada tiga hal, bahagian bawah daripada kasturi, bahagian tengah daripada anbar dan bahagian atas daripada kapur barus. Rambut dan alis mereka yang hitam tebal terbuat daripada cahaya”. Hadist al-Tirmizi. Nabi saw juga bersabda : “Aku bertanya kepada JIbril, ceritakan kepadaku bagaimana Allah menciptakan bidadari”. Jibril berkata kepadaku : Hai Muhammad, Allah menciptakan mereka dari potongan dahan anbar dan za`faran. Mereka ada tanda-tanda khusus. Pertama-tama sekali Allah swt menciptakan dada mereka dari kasturi putih yang sangat harum dan bahagian inilah yang memperindah tubuh.

Kata Ibnu Abbas r.hu : “Allah menciptakan bidadari dari hujung jari-jari kaki sampai lutut terbuat daripada za`rafan, dari lutut sampai dada terbuat dari kasturi yang sangat harum, dari dada sampai leher terbuat daripada anbar kelabu dan dari leher sampai kepala terbuat daripada kapur barus putih. Di kepalanya terpasang tujuh puluh ribu perhiasan dari tumbuh-tumbuhan syaqiq nu`man”. Firman Allah swt :

22. Dan ada bidadari-bidadari bermata jeli,
23. Laksana mutiara yang tersimpan baik.

Yakni penampilan mereka seakan-akan seperti mutiara kerana sangat putihnya dan kejernihannya sepertimana yang disebutkan dalam tafsir surah as-Saffat ayat 49, “seakan-akan mereka adalah telur (burung unta) yang tersimpan dengan baik”.

Maksudnya : Di sisi mereka ada bidadari-bidadari yang tidak liar pandangannya dan jelita matanya. As-Saffat ayat 48.
Ulama menafsirkan bahawa, mereka ini adalah para bidadari yang sentiasa menjaga kehormatannya dan tidaklah mereka ini memandang melainkan suami mereka sahaja. Sabda Nabi saw : “Tiada seorang hamba masuk syurga kecuali akan duduk di sebelah kaki dan kepalanya dua orang bidadari yang bermata jeltai, mereka bernyanyi dengan kemerduan suaranya, yang belum pernah jin dan manusia mendengar suara semerdu itu, mereka tidak menyanyikan rayuan-rayuan syaitan, namun berisi pembacaan tasbih dan pujian kepada Tuhannya”.

Lafaz yang selanjutnya Allah swt menyebut, “dan mereka kekal di dalamnya”, yakni inilah ganjaran buat mereka yang beriman dan beramal soleh, mereka akan duduk tinggal selama-lamanya di syurga dengan merasai pelbagai kenikmatan kehidupan di sana, bersama isteri yang bidadari yang tidak akan tua melainkan umur yang sebaya dengan suamimereka untuk selama-lamanya. Inilah yang disebutkan syurga akhirat yang wujud dan kekal abadi. Wa Allahu `alam.

Rabu, 14 Mei 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 24


فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا وَلَنْ تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ
(24) أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ
Maksudnya :
Ayat 24 : Maka jika kamu tidak dapat membuat(nya) - dan pasti kamu tidak akan dapat membuat(nya), peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir.
Penafsiran ayat 24
Ayat 24
Dalam ayat ini Allah swt jelaskan kepada kita bahawa sesekali puak kafir itu tidak dapat membuat atau mendatangkan apa yang dicabar oleh Allah swt terhadap mereka yakni membuat ayat seumpama apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw. Ini membawa maksud bahawa, Kalamullah itu tidak boleh direka oleh sesiapa sampai bila-bila yakni ayat ini bukan sahaja ditujukan bagi golongan kafir ketika itu sahaja tetapi berlanjutan hingga ke akhir zaman kerana apabila dipandang daripada sudut bahasa arab, lafaz “lan” bermaksud menafikan untuk selama-lamanya di masa mendatang, yakni kamu sesekali tidak akan dapat melakukannya untuk selama-lamanya walaupun kamu mengumpulkan cerdik pandai, ahli bahasa daripada kalangan kamu. Oleh itu akan wujud kegagalan setiap kali mereka mahu mereka-reka ayat-ayat al-Quran.

Hal inilah yang disebut sebagai mukjizat, yakni sesuatu yang dapat melemahkan. Bukan kalam atau perkataan manusia yang boleh melemahkan atau menjatuhkan kedudukan Kalamullah, akan tetapi Kalamullah yang berupaya melemahkan dan menjatuhkan kalam manusia. Ini membawa maksud tidak ada seorangpun daripada penduduk bumi sama ada manusia ataupun jin yang boleh melawan dan memperolehi kemenangan apabila berdebat dengan Kalamullah. Perkara ini adalah tidak mungkin dan sungguh-sungguh mustahil. Bukankah al-Quran ayat-ayatnya tersusun cantik, rapi dan dipenuhi gaya keindahan bahasa wahyu itu sendiri. Sepertimana firmanNya :
Maksudnya : Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. tidak ada yang dapat meroba- robah kalimat-kalimat-Nya dan Dia lah yang Maha Mendengar lagi Maha mengetahui. Al-An`am : 115

Bahkan Nabi saw sendiri telah dikurniakan bahasa seperti bahasa wahyu sepertimana hadistnya yang bermaksud : “Aku telah diberi wahyu dan yang seumpama dengannya”, yakni Nabi saw dikurniakan al-Quran dan bahasa seumpama bahasa al-Quran sebagai kedudukannya sebagai Nabi yang terpilih yang menjadi penghulu bagi segala bahasa dan penghulu bagi segala kehebatan. Oleh itu bagaimana boleh dikatakan Nabi saw sebagai seorang pendusta sedangkan sebelum baginda menjadi Nabi, penduduk Mekah dan setiap orang-orang yang yang mengenalinya mengiktiraf beliau sebagai seorang al-Amin (jujur, amanah dan terpecaya). Bahkan daripada kalangan orang kafir juga ada yang mengatakan Nabi Muhammad saw sebagai orang gila. Secara logik akal manusia, mustahil seorang gila dapat berbicara dengan bahasa yang luar biasa indahnya, mustahil juga bagi seorang yang gila berdakwah mengajak manusia membuat kebaikan dan mustahil bagi orang gila diangkat menjadi pemimpin tertinggi dalam peperangan, politik dan pemerintah dunia. Maka siapakah yang gila sebenarnya? Muhammad ataupun puak kafir yang ragu itu?

Lafaz ayat yang selanjutnya “Fattaqun naaro…” yakni perintah Allah swt agar manusia kembali kepada kebenaran dan menyesali segala kesalahan serta membuang segala keraguan dalam diri. Atas dasar maksud, sekiranya manusia kembali kepada kebenaran maka dengan itu dapatlah mereka menyelamatkan diri mereka daripada dimasukkan dan dibakar di dalam api neraka. Sekiranya mereka masih berminat dengan kekafiran mereka sedangkan risalah kebenaran telah disampaikan kepada mereka maka kelak di akhirat mereka akan dibakar sepertimana kayu api dibakar.

Lafaz “wal hijaroh” yakni batu yang besar yang digunakan untuk memarakkan lagi api neraka jahannam. Diriwayatkan bahawa batunya berwarna hitam, sangat keras dan sangat besar daripada batu-batu yang berada di atas dunia dan baunya sangat busuk daripada bangkai. Batu ini juga diumpakan seperti batu pemetik api. Dengan batu ini api neraka jahannam menjadi semakin marak dan semakin menganas serta memakan semua manusia dan jin yang berada disana. Bahkan disebabkan batu tadi api neraka menjadi semakin tinggi darjat kepanasannya dan penghuni neraka menjadi semakin terseksa dan semakin keras seksaannya. Lafaz “u`idat lil kafirin” yakni neraka jahannam dan batu yang disebutkan tadi dipersiapkan untuk orang-orang kafir dan menunjukkan bahawa neraka itu benar-benar wujud. Ayat ini juga sebagai khabar gembira bagi orang yang beriman bahawa neraka sekali-kali tidak disediakan bagi mereka kerana Allah swt menentukan bagi mereka dengan ganjaran syurga yang kekal abadi. Wa Allahu `Alam.

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 23


وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ
(23) وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
Maksudnya :
Ayat 23 : Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surat yang semisal dengan Al Quran itu dan ajaklah penolong-penolong kamu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.

Penafsiran ayat 23

Ayat 23

Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan kepada kita mengenai sifat puak kafir yang mengingkari apa yang dibawa oleh Nabi saw. Disebutkan disini mengenai sifat keraguan mereka terhadap apa yang telah yang diturunkan Allah swt yakni al-Quran. Ayat ini sebagai teguran bagi setiap puak kafir dan munafiq, sama ada di Mekah ataupun di Madinah. Pastinya ayat ini membawa manfaat bagi orang yang beriman, kerana orang yang beriman tidak mungkin bagi mereka meragui kebanaran al-Quran. Lafaz “`abdina” yakni hamba kami yang dimaksudkan ialah Nabi Muhammad saw. Oleh kerana itu, Allah swt mencabar puak kafir agar membuat atau datangkan satu surah yang seumpama KalamNya agar dapat menyakinkan manusia bahawa Muhammad itu bukan seorang Nabi. Sepertimana yang telah difirmanNya dalam surah al-Qosos ayat 49 :
Maksudnya : Katakanlah: "Datangkanlah olehmu sebuah kitab dari sisi Allah yang kitab itu lebih (dapat) memberi petunjuk daripada keduanya (Taurat dan Al Quran) niscaya aku mengikutinya, jika kamu sungguh orang-orang yang benar".
Ini membawa maksud bahawa jika benarlah puak kafir itu dapat membuat satu surah seumpama kehebatan Kalamullah nescaya Nabi saw pasti mengikutinya. Akan tetapi tidak ada seorangpun daripada mereka yang mampu menandingi kehebatan dan ketinggian mukjizat al-Quran. Begitu juga daripada kalangan mereka yang meminta pertolongan daripada jin sekalipun mereka tetap tidak dapat membuat ayat yang seumpama Kalamullah swt. Sepertimana firmanNya:
Maksunya : Katakanlah: "Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al Quran ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan Dia, Sekalipun sebagian mereka menjadi pembantu bagi sebagian yang lain". Al-Isra` : 88
Ada juga ulama yang menafsirkan mengenai maksud “min mislihi” yakni seorang yang bersifat seperti Muhammad saw yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis). Atas dasar maksud hendaklah seseorang yang mahu membuat ayat seperti al-Quran hendaklah dia seorang yang tidak tahu membaca dan menulis.

Maksud ayat “syuhada akum” yakni penolong-penolong kamu daripada golongan kamu sendiri. Adu juga ulama yang menafsirkan bahawa dimaksudkan dengan “syuhada akum” yakni tuhan-tuhan berhala mereka ataupun orang-orang yang ahli dalam bahasa arab, sama ada ahli syair, sajak ataupun seorang yang fasih berbahasa arab. Ayat ini Allah swt tujukan pada penduduk-penduduk musyirikin Mekah dan Madinah. Secara realitinya, tidak ada seorangpun daripada kalangan mereka yang boleh mencipta kehebatan apa yang diucapkan oleh Nabi Muhammad saw kerana baginda berbicara dengan bahasa penduduk syurga, penduduk langit dan bahasa yang paling tinggi daripada segala bahasa di dunia yakni bahasa wahyu atau disebut sebagai Kalam Wahyu (al-Quran). Oleh kerana itu mereka bukanlah orang yang benar melainkan golongan pendusta.

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 22


الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً
(22) فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ فَلاَ تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَنْدَادًا وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya :
Ayat 22 : Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui.

Penafsiran ayat 22

Ayat 22

Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa Dia sahajalah Tuhan yang telah menciptakan bumi sebagai tempat-tinggal dan pengistirehatan manusia. Lafaz “hamparan” yang dimaksudkan ialah ibarat tempat tidur, atau tikar yang dihamparkan bagi manfaat manusia agar manusia berlapik dengannya daripada benda-benda yang tidak di ingini manusia.

Maksud ayat “dan langit sebagai atap” yakni langit bagi bumi seperti atap bagi rumah-rumah di dunia. Ini bermaksud bumi diibaratkan sebagai rumah dan langit adalah atapnya. Cuma beza yang jelas antara rumah manusia dengan rumah yang dimaksudkan yakni bumi ialah, Allah swt menjadikan langit sebagai atap tanpa wujud tiang yang mengukuhkannya, berbeza dengan rumah manusia yang atapnya wujud dengan bertiang sama ada dari dalam mahupun luar rumah.

Maksud ayat “dan diturunkan daripada langit air”, yakni air hujan sebagai manfaat bagi bumi dan makhluk-makhluk dibumi sebagai sumber kehidupan yang sangat penting. Maksud “lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah,”, yakni buah-buahan sebagai makanan bagi manusia, dan larangan Allah swt kepada manusia agar bersyukur dan tidak menjadikanNya sebagai sekutu-sekutu dengan sembahan yang lain atau beriktiqad bahawa wujudnya padanan, keserupaan dan kesamaan Allah dengan yang lain. Maksud “padahal kamu mengetahui” dikalangan manusia ada yang telah mengakui bahawa Allah swt yang telah menciptakan manusia, bumi, menurunkan hujan dan memberi rezeki buat manusia, oleh itu jangan sesekali mengubah iktiqad dengan kepercayaan yang lain. Wa Allahu `Alam.