Rabu, 14 Mei 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 24


فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا وَلَنْ تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ
(24) أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ
Maksudnya :
Ayat 24 : Maka jika kamu tidak dapat membuat(nya) - dan pasti kamu tidak akan dapat membuat(nya), peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir.
Penafsiran ayat 24
Ayat 24
Dalam ayat ini Allah swt jelaskan kepada kita bahawa sesekali puak kafir itu tidak dapat membuat atau mendatangkan apa yang dicabar oleh Allah swt terhadap mereka yakni membuat ayat seumpama apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw. Ini membawa maksud bahawa, Kalamullah itu tidak boleh direka oleh sesiapa sampai bila-bila yakni ayat ini bukan sahaja ditujukan bagi golongan kafir ketika itu sahaja tetapi berlanjutan hingga ke akhir zaman kerana apabila dipandang daripada sudut bahasa arab, lafaz “lan” bermaksud menafikan untuk selama-lamanya di masa mendatang, yakni kamu sesekali tidak akan dapat melakukannya untuk selama-lamanya walaupun kamu mengumpulkan cerdik pandai, ahli bahasa daripada kalangan kamu. Oleh itu akan wujud kegagalan setiap kali mereka mahu mereka-reka ayat-ayat al-Quran.

Hal inilah yang disebut sebagai mukjizat, yakni sesuatu yang dapat melemahkan. Bukan kalam atau perkataan manusia yang boleh melemahkan atau menjatuhkan kedudukan Kalamullah, akan tetapi Kalamullah yang berupaya melemahkan dan menjatuhkan kalam manusia. Ini membawa maksud tidak ada seorangpun daripada penduduk bumi sama ada manusia ataupun jin yang boleh melawan dan memperolehi kemenangan apabila berdebat dengan Kalamullah. Perkara ini adalah tidak mungkin dan sungguh-sungguh mustahil. Bukankah al-Quran ayat-ayatnya tersusun cantik, rapi dan dipenuhi gaya keindahan bahasa wahyu itu sendiri. Sepertimana firmanNya :
Maksudnya : Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. tidak ada yang dapat meroba- robah kalimat-kalimat-Nya dan Dia lah yang Maha Mendengar lagi Maha mengetahui. Al-An`am : 115

Bahkan Nabi saw sendiri telah dikurniakan bahasa seperti bahasa wahyu sepertimana hadistnya yang bermaksud : “Aku telah diberi wahyu dan yang seumpama dengannya”, yakni Nabi saw dikurniakan al-Quran dan bahasa seumpama bahasa al-Quran sebagai kedudukannya sebagai Nabi yang terpilih yang menjadi penghulu bagi segala bahasa dan penghulu bagi segala kehebatan. Oleh itu bagaimana boleh dikatakan Nabi saw sebagai seorang pendusta sedangkan sebelum baginda menjadi Nabi, penduduk Mekah dan setiap orang-orang yang yang mengenalinya mengiktiraf beliau sebagai seorang al-Amin (jujur, amanah dan terpecaya). Bahkan daripada kalangan orang kafir juga ada yang mengatakan Nabi Muhammad saw sebagai orang gila. Secara logik akal manusia, mustahil seorang gila dapat berbicara dengan bahasa yang luar biasa indahnya, mustahil juga bagi seorang yang gila berdakwah mengajak manusia membuat kebaikan dan mustahil bagi orang gila diangkat menjadi pemimpin tertinggi dalam peperangan, politik dan pemerintah dunia. Maka siapakah yang gila sebenarnya? Muhammad ataupun puak kafir yang ragu itu?

Lafaz ayat yang selanjutnya “Fattaqun naaro…” yakni perintah Allah swt agar manusia kembali kepada kebenaran dan menyesali segala kesalahan serta membuang segala keraguan dalam diri. Atas dasar maksud, sekiranya manusia kembali kepada kebenaran maka dengan itu dapatlah mereka menyelamatkan diri mereka daripada dimasukkan dan dibakar di dalam api neraka. Sekiranya mereka masih berminat dengan kekafiran mereka sedangkan risalah kebenaran telah disampaikan kepada mereka maka kelak di akhirat mereka akan dibakar sepertimana kayu api dibakar.

Lafaz “wal hijaroh” yakni batu yang besar yang digunakan untuk memarakkan lagi api neraka jahannam. Diriwayatkan bahawa batunya berwarna hitam, sangat keras dan sangat besar daripada batu-batu yang berada di atas dunia dan baunya sangat busuk daripada bangkai. Batu ini juga diumpakan seperti batu pemetik api. Dengan batu ini api neraka jahannam menjadi semakin marak dan semakin menganas serta memakan semua manusia dan jin yang berada disana. Bahkan disebabkan batu tadi api neraka menjadi semakin tinggi darjat kepanasannya dan penghuni neraka menjadi semakin terseksa dan semakin keras seksaannya. Lafaz “u`idat lil kafirin” yakni neraka jahannam dan batu yang disebutkan tadi dipersiapkan untuk orang-orang kafir dan menunjukkan bahawa neraka itu benar-benar wujud. Ayat ini juga sebagai khabar gembira bagi orang yang beriman bahawa neraka sekali-kali tidak disediakan bagi mereka kerana Allah swt menentukan bagi mereka dengan ganjaran syurga yang kekal abadi. Wa Allahu `Alam.

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 23


وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ
(23) وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
Maksudnya :
Ayat 23 : Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surat yang semisal dengan Al Quran itu dan ajaklah penolong-penolong kamu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.

Penafsiran ayat 23

Ayat 23

Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan kepada kita mengenai sifat puak kafir yang mengingkari apa yang dibawa oleh Nabi saw. Disebutkan disini mengenai sifat keraguan mereka terhadap apa yang telah yang diturunkan Allah swt yakni al-Quran. Ayat ini sebagai teguran bagi setiap puak kafir dan munafiq, sama ada di Mekah ataupun di Madinah. Pastinya ayat ini membawa manfaat bagi orang yang beriman, kerana orang yang beriman tidak mungkin bagi mereka meragui kebanaran al-Quran. Lafaz “`abdina” yakni hamba kami yang dimaksudkan ialah Nabi Muhammad saw. Oleh kerana itu, Allah swt mencabar puak kafir agar membuat atau datangkan satu surah yang seumpama KalamNya agar dapat menyakinkan manusia bahawa Muhammad itu bukan seorang Nabi. Sepertimana yang telah difirmanNya dalam surah al-Qosos ayat 49 :
Maksudnya : Katakanlah: "Datangkanlah olehmu sebuah kitab dari sisi Allah yang kitab itu lebih (dapat) memberi petunjuk daripada keduanya (Taurat dan Al Quran) niscaya aku mengikutinya, jika kamu sungguh orang-orang yang benar".
Ini membawa maksud bahawa jika benarlah puak kafir itu dapat membuat satu surah seumpama kehebatan Kalamullah nescaya Nabi saw pasti mengikutinya. Akan tetapi tidak ada seorangpun daripada mereka yang mampu menandingi kehebatan dan ketinggian mukjizat al-Quran. Begitu juga daripada kalangan mereka yang meminta pertolongan daripada jin sekalipun mereka tetap tidak dapat membuat ayat yang seumpama Kalamullah swt. Sepertimana firmanNya:
Maksunya : Katakanlah: "Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al Quran ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan Dia, Sekalipun sebagian mereka menjadi pembantu bagi sebagian yang lain". Al-Isra` : 88
Ada juga ulama yang menafsirkan mengenai maksud “min mislihi” yakni seorang yang bersifat seperti Muhammad saw yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis). Atas dasar maksud hendaklah seseorang yang mahu membuat ayat seperti al-Quran hendaklah dia seorang yang tidak tahu membaca dan menulis.

Maksud ayat “syuhada akum” yakni penolong-penolong kamu daripada golongan kamu sendiri. Adu juga ulama yang menafsirkan bahawa dimaksudkan dengan “syuhada akum” yakni tuhan-tuhan berhala mereka ataupun orang-orang yang ahli dalam bahasa arab, sama ada ahli syair, sajak ataupun seorang yang fasih berbahasa arab. Ayat ini Allah swt tujukan pada penduduk-penduduk musyirikin Mekah dan Madinah. Secara realitinya, tidak ada seorangpun daripada kalangan mereka yang boleh mencipta kehebatan apa yang diucapkan oleh Nabi Muhammad saw kerana baginda berbicara dengan bahasa penduduk syurga, penduduk langit dan bahasa yang paling tinggi daripada segala bahasa di dunia yakni bahasa wahyu atau disebut sebagai Kalam Wahyu (al-Quran). Oleh kerana itu mereka bukanlah orang yang benar melainkan golongan pendusta.

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 22


الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً
(22) فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ فَلاَ تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَنْدَادًا وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya :
Ayat 22 : Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui.

Penafsiran ayat 22

Ayat 22

Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa Dia sahajalah Tuhan yang telah menciptakan bumi sebagai tempat-tinggal dan pengistirehatan manusia. Lafaz “hamparan” yang dimaksudkan ialah ibarat tempat tidur, atau tikar yang dihamparkan bagi manfaat manusia agar manusia berlapik dengannya daripada benda-benda yang tidak di ingini manusia.

Maksud ayat “dan langit sebagai atap” yakni langit bagi bumi seperti atap bagi rumah-rumah di dunia. Ini bermaksud bumi diibaratkan sebagai rumah dan langit adalah atapnya. Cuma beza yang jelas antara rumah manusia dengan rumah yang dimaksudkan yakni bumi ialah, Allah swt menjadikan langit sebagai atap tanpa wujud tiang yang mengukuhkannya, berbeza dengan rumah manusia yang atapnya wujud dengan bertiang sama ada dari dalam mahupun luar rumah.

Maksud ayat “dan diturunkan daripada langit air”, yakni air hujan sebagai manfaat bagi bumi dan makhluk-makhluk dibumi sebagai sumber kehidupan yang sangat penting. Maksud “lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah,”, yakni buah-buahan sebagai makanan bagi manusia, dan larangan Allah swt kepada manusia agar bersyukur dan tidak menjadikanNya sebagai sekutu-sekutu dengan sembahan yang lain atau beriktiqad bahawa wujudnya padanan, keserupaan dan kesamaan Allah dengan yang lain. Maksud “padahal kamu mengetahui” dikalangan manusia ada yang telah mengakui bahawa Allah swt yang telah menciptakan manusia, bumi, menurunkan hujan dan memberi rezeki buat manusia, oleh itu jangan sesekali mengubah iktiqad dengan kepercayaan yang lain. Wa Allahu `Alam.


Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 21


(21) يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya :
Ayat 21 : Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa.
Penafsiran ayat 21
Ayat 21
Pada ayat-ayat yang sebelum ini, dijelaskan mengenai sifat munafiq mereka dari sudut zahir dan batin, maka dalam ayat ini dijelaskan mengenai kekufuran mereka tidak sahaja terhadap Allah sebagai Tuhan (Uluhiyyah) tetapi juga mengenai Allah sebagai pengatur dan pentadbir dalam alam ini (Rububiyah) juga mereka mengingkarinya.

Dalam ayat ini, Allah swt memulai dengan lafaz an-Nidaa` (pangilan dan seruan) dan Dia serukan panggilan tersebut kepada manusia. Oleh itu lafaz “manusia” ini menunjukkan untuk seluruh manusia, dimana dan zaman bilapun mereka berada sejak al-Quran diturunkan sehinggalah hari qiamat. Seruan ini menunjukkan seruan keimanan iaitu tunduk dan patuh kepada Tuhan Yang Maha Esa yang tiada sekutu bagiNya. Seruan Allah swt bagi manusia adalah dengan seruan perintah, yakni perintah agar menyembah Tuhan yang selayaknya untuk disembah yang telah menciptakan manusia dan Dialah Allah swt.

Oleh itu setiap manusia wajib menyahut seruan ini jika mereka benar-benar memahami dan beriman dengan risalah yang dibawa oleh Muhammad swt. Cara dan bagaimana cara untuk menyembahNya telah diaturkan oleh Allah swt dan itulah dinamakan sebagai ibadah. Telah menjadi kewajiban bagi seluruh manusia pelaksanakan dan menegakkan ibadah-ibadah yang ditentukan buat mereka.

Ada ulama tafsir yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan “manusia” pada ayat ini ialah orang-orang kafir yang tidak pernah menyembah Allah. Akan tetapi makna “manusia” itu dimaksudkan secara umum itulah yang lebih tepat yakni menunjukkan manusia seluruhnya. Maksud “sembahlah” yakni perintah untuk beribadah, taat dan tunduk segala yang telah disyariat oleh Allah swt.

Pada hujung ayat bermaksud “agar kamu bertakwa” yakni agar kamu memperolehi syurga di akhirat kelak. Maksudnya ialah Allah swt mengharapkan manusia semuanya beroleh kebahagian di akhirat. Taqwa dari sudut bahasa bermaksud memelihara yakni memelihara diri daripada melakukan dosa-dosa atau melanggar ketaatan kepada Allah swt sehingga menyebabkan si perlaku dosa itu dimasukkan kedalam neraka di akhirat dan dijauhkan daripada rahmat, berkah dan kemulian di dunia. Dari sudut istilah pula, taqwa membawa maksud sentiasa menjadikan Allah swt sebagai pemelihara, pendidik kita dalam setiap urusan-urusan kita agar setiap ketaatan dan kefahaman syariat dibantu Allah swt. Agar kita sentiasa menjadi manusia yang sentiasa tunduk patuh, ikhlas, takut dan merendah diri dibawah naunganNya.

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 20


يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا
(20) وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya :
Ayat 20 : Hampir-hampir kilat itu menyambar penglihatan mereka. Setiap kali kilat itu menyinari mereka, mereka berjalan di bawah sinar itu, dan bila gelap menimpa mereka, mereka berhenti. Jikalau Allah menghendaki, niscaya Dia melenyapkan pendengaran dan penglihatan mereka. Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu.
Penafsiran ayat 20
Ayat 20
Ayat ini masih berhubung kait dengan penafsiran pada ayat 19. Ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa kilat yang terjadi dalam sekelip mata diambil manfaat orang golongan munafiq. Dan sekiranya mereka beriman pasti mereka tidak memerlukan panduan kilat untuk perjalanan kehidupan mereka kerana iman itu adalah cahaya dan akan menyuluh kehidupan mereka.
Maksud ayat “Hampir-hampir sahaja kilat itu menyambar penglihatan mereka” yakni sambaran kilat yang menyambar penglihatan mereka benar-benar hampir dan tidak ada sesiapapun yang dapat mencegah atau menahan kilat tersebut daripada menyambar. Maksud ayat “Setiap kali kilat itu menyinari mereka, mereka berjalan di bawah sinar itu” yakni puak munafiq berjalan dengan kekuatan duniawi yang diperolehi daripada cahaya kilat kerana mereka hanya bergantung dengan cahaya-cahaya luar dari diri mereka kerana kuatnya kekufuran yang menyebabkan hati mereka menjadi gelap-gulita. Oleh sebab itu, jika kilat tidak menyambar nescaya kehidupan mereka gelap tanpa penyuluh jalan.

Disebabkan mereka sendiri berada dalam kegelapan dan mereka juga membiarkan mereka hidup tanpa panduan sebenar maka merekapun berhenti dan menunggu sekiranya sinar kilat masih wujud selepas itu sepertimana yang dimaksudkan “dan bila gelap menimpa mereka, mereka berhenti”. Pada ayat “Jikalau Allah menghendaki, niscaya Dia melenyapkan pendengaran dan penglihatan mereka” yakni Maha Kuasa Allah swt untuk menghilangkan segala fungsi bagi telinga dan mata mereka, akan tetapi Allah swt masih memberi peluang kepada mereka untuk hidup agar kelak di akhirat mereka tidak membawa sebab hilangnya fungsi telinga dan mata mereka dan wujudlah perdebatan di akhirat bahawa mereka mengatakan bahawa mereka tidak dapat mendengan seruan Muhammad saw disebabkan mereka tuli dan mereka tidak dapat melihat kebenaran pada risalah Muhammad saw kerana mereka buta. Oleh kerana itu, Allah swt tidak menghilangkan dan melenyapkan telinga dan mata mereka serta anggota-anggota yang lain agar anggota-anggota itu menjadi saksi buat mereka di akhirat. Sepertimana firmanNya yang bermaksud :
Maksudnya : Dan di antara mereka ada orang yang mendengarkan perkataanmu sehingga apabila mereka keluar dari sisimu orang-orang berkata kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan (sahabat-sahabat Nabi): "Apakah yang dikatakannya tadi?" Mereka itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka. Surah Muhammad ayat 16.

Inilah sifat puak munafiq, dengan mata yang masih lagi berfungsi tetapi tidak dapat melihat kebenaran apa yang disampaikan oleh Muhammad saw termasuklah mukjizat-mukjizatnya (al-Quran), mahupun mukjizat-mukjizat yang lain. Dengan telinga yang masih lagi mendengar akan tetapi apa yang dijelaskan Allah dan RasulNya masih tidak dapat diterima untuk dijadikan panduan dan pedoman buat kehidupan mereka. Pada hujung lafaz ayat “Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu”, yakni tidak mustahil bagi Allah swt untuk menghilangkan semua pancaindera mereka, begitu juga Allah swt Maha Berkuasa untuk mengzab atau memberi keampunan.

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 17-19


(17) مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهُ ذَهَبَ اللَّهُ بِنُورِهِمْ وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمَاتٍ لاَ يُبْصِرُونَ
(18) صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لاَ يَرْجِعُونَ

أَوْ كَصَيِّبٍ مِنَ السَّمَاءِ فِيهِ ظُلُمَاتٌ وَرَعْدٌ وَبَرْقٌ يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آَذَانِهِمْ
(19) مِنَ الصَّوَاعِقِ حَذَرَ الْمَوْتِ وَاللَّهُ مُحِيطٌ بِالْكَافِرِينَ
Maksudnya :
Ayat 17 :Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api, maka setelah api itu menerangi sekelilingnya, Allah hilangkan cahaya (yang menyinari) mereka, dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat.
Ayat 18 : Mereka tuli, bisu dan buta, maka tidaklah mereka akan kembali (ke jalan yang benar),
Ayat 19 : Atau seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit disertai gelap-gulita, guruh dan kilat; mereka menyumbat telinganya dengan anak jarinya, karena (mendengar suara) petir, sebab takut akan mati. Dan Allah meliputi pengetahuannya terhadap orang-orang yang kafir.
Penafsiran ayat 17 hingga 19 surah al-Baqarah.
Ayat 17
Dalam ayat ini masih disebutkan lagi mengenai sifat puak munafiq terhadap orang beriman di Madinah. Di jelaskan lagi bahawa Allah swt ingin mendekatkan pemahaman perbuatan dan perihal orang munafiq dengan perumpamaan. Dengan perumpamaan, orang-orang beriman dapat mengetahui erti dan peristiwa sebenar mengenai sikap dan sifat puak munafiq. Tentunya orang mukmin itu mendapat manfaat daripada apa yang dijelaskan Allah swt sepertimana firmanNya yang bermaksud :
Maksudnya :Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu. al-Ankabut : 43
Yang dimaksudkan dengan “Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api” yakni puak munafiq itu bagaikan orang yang berusaha untuk menghidupkan api dan antara tujuannya ialah untuk memanaskan tubuh di musim sejuk dan memasak, begitu juga api digunakan untuk menerangi jalan atau sebagainya. Ini membawa maksud bahawa, pada awalnya mereka berminat dengan Islam disebabkan manfaat-manfaat yang besar dalam Islam, antaranya mengenai harta warisan melalui perkahwinan, harta rampasan peperangan, keamanan pada diri dan keluarga. Akan tetapi setelah kebenaran dan hidayah Allah swt diberikan kepada mereka, dan kemudian itu mereka tidak lagi berminat dan tidak mengambil manfaat dengannya lagi. Dalam penafsiran yang lain disebutkan bahawa, api yang dinyalakan itu bermaksud cahaya keimanan yang mereka ucapkan yakni kalimah Laa ilaaha illa Allah, akan tetapi tatkala mana mereka tidak berminat lagi dengan Islam dan wujudlah kekufuran di dalam hati mereka yang menyebabkan hilangnya cahaya iman dan datangnya pula kegelapan dan kesesatan sehingga apabila mereka mati, tidak wujud kebanggaan dalam diri mereka sampai mereka dibangkitkan. Maksud ayat “maka setelah api itu menerangi sekelilingnya, Allah hilangkan cahaya (yang menyinari) mereka, dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat”, yakni setelah wujud cahaya keimanan dalam diri mereka dengan cara mereka mengistiharkan keislaman mereka dan meminati ajaran Islam, akan tetapi tatkala dunia telah mereka dan disebabkan mereka lebih berminat dengan hawa nafsu jahat dan meninggalkan keimanan yang dibawa Nabi Muhammad saw, maka Allah swt menghilangkan cahaya yang wujud disebabkan keimanan mereka dan akhirnya wujudlah pula sifat kekufuran dalam diri mereka yang menyebabkan mereka digelar munafiq dan azab Allah swt akan ditimpakan kepada mereka di akhirat. Bukan itu sahaja, di atas dunia Allah swt akan membiarkan mereka hidup dalam kesesatan dan kehampaan di atas dunia. Oleh itu, apabila seseorang telah gelap hatinya, tidak mungkin ia dapat melihat cahaya iman dan akhirnya jaDialah mereka seperti dalam ayat selanjutnya ini.

Ayat 18
Setelah Allah swt menjelaskan bahawa tatkala cahaya iman mereka telah tiada dan hilang, maka merekapun tidak dapat memahami dan melihat ayat-ayat Allah swt. Pada ayat ini Allah ingin menjelaskan kepada kita bahawa, yang hilang bukannya mata mereka, tetapi seluruh pancaindera mereka tidak lagi berfungsi. Pendengaran mereka menjadi tuli atau pekak dan bukan disebabkan kerosakan pada alat pendengaran iaitu telinga akan tetapi mereka tidak boleh lagi mendengar kebenaran. Begitu juga lidah mereka menjadi bisu dan kaku dan bukannya disebabkan itu mereka tidak dapat bercakap dan bukannya juga disebabkan telah rosak alat pertuturan, akan tetapi lidah mereka tidak boleh mengungkapkan apa yang ada di dalam hati. Mata mereka juga menjadi buta dan bukan disebabkan ini mereka tidak dapat melihat apa yang disekeling mereka tetapi mereka tidak berupaya untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah swt di alam ini. Puncanya adalah kerana kekufuran dan kemunafiqan mereka dan menyebabkan semua sarana hidayah atau petunjuk daripada Allah swt tertutup buat mereka dan tidak berfungsi lagi. Pada hujung lafaz ayat ini Allah swt mengambarkan sifat orang-orang munafiq sebagai orang yang tidak boleh kembali menjadi sihat untuk mendengar dan memahami ayat-ayat Allah swt, begitu juga mereka tidak akan menjadi orang yang petah berbicara untuk membicarakan keindahan Islam serta mereka juga tidak akan menjadi celik dan berakal terhadap tanda-tanda kekuasaan Allah swt. Begitu juga dikatakan bahawa mereka tidak dapat bertaubat dan kembali kepada Islam.

Ayat 19
Ayat ini merupakan satu lagi perumpamaan yang ditujukan buat puak munafiq. Mereka adalah kaum yang lahiriahnya kadangkala menampakkan Islam dan kadangkala mereka ragu dengannya. Hati puak munafiq ini sentiasa berada dalam keraguan, kekufuran dan kebimbangan dan semua itu diumpamakan dengan “Syoyyib” yakni hujan. “Gelap-gulita” atau kegelapan yang dimaksudkan ialah keraguan, kekufuran dan kemunafikan, manakala lafaz “guruh dan kilat” membawa maksud rasa takut yang mencengkam hati. Oleh itu jelaslah dalam ayat ini menunjukkan bahawa puak munafiq itu sentiasa berada dalam ketakutan yang sangat dan rasa ngeri sepertimana firmanNya yang bermaksud :
Maksudnya : Dan mereka (orang-orang munafik) bersumpah dengan (nama) Allah, bahwa sesungguhnya mereka termasuk golonganmu; Padahal mereka bukanlah dari golonganmu, akan tetapi mereka adalah orang-orang yang sangat takut (kepadamu). Jikalau mereka memperoleh tempat perlindunganmu atau gua-gua atau lobang-lobang (dalam tanah) niscaya mereka pergi kepadanya dengan secepat-cepatnya. At-Taubah : 56 dan 57.
Dalam penafsiran lain pula, lafaz “al-Barqu” ataupun kilat yang dimaksudkan ialah sesuatu yang berkilat yang wujud di dalam hati puak munafiq sebagai petanda cahaya iman, akan tetapi dalam waktu yang sebentar sahaja. Oleh kerana itu Allah swt menyebut dalam lafaz yang seterusnya “mereka menyumbat telinganya dengan anak jarinya, karena (mendengar suara) petir,sebab takut akan mati. . Dan Allah meliputi (Ilmu Pengetahuaannya) terhadap orang-orang yang kafir”, yakni dalam kata lain, tidak berguna sama sekali sikap waspada mereka kerana Allah swt dengan kekuasaanNya Maha Meliputi Pengetahuannya terhadap mereka dan pastinya mereka berada dibawah kehendak dan kekuasaanNya sepertimana Allah swt telah mengambarkan dalam ayat 17 hingga 20 surah al-Buruj yang bermaksud :
Maksudnya : Sudahkah datang kepadamu berita kaum-kaum penentang, (iaitu kaum) Fir'aun dan (kaum) Tsamud? Sesungguhnya orang-orang kafir selalu mendustakan, padahal Allah mengepung mereka dari belakang mereka (mereka tidak dapat lari dari kekuasaan Allah).
Wa Allahu `Alam.

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 13-16


(13) وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ آَمِنُوا كَمَا آَمَنَ النَّاسُ قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آَمَنَ السُّفَهَاءُ أَلآ إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَلَكِنْ لاَ يَعْلَمُون
(14) وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آَمَنُوا قَالُوا آَمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَى شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ
(15) اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ
(16) أُولَئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلَالَةَ بِالْهُدَى فَمَا رَبِحَتْ تِجَارَتُهُمْ وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ
Maksudnya :
Ayat 13 : Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman." Mereka menjawab: "Adakah kami akan beriman sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?" Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak tahu.
Ayat 14 : Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan: "Kami telah beriman". Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan: "Sesungguhnya kami bersama dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok."
Ayat 15 : Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terombang-ambing dalam kesesatan mereka.
Ayat 16 : Mereka Itulah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk. Maka tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk.
Penafsiran ayat 13 hingga 16 surah al-Baqarah.
Ayat 13
Ayat ini masih lagi menerangkan mereka sifat orang-orang munafiq yakni apabila datangnya orang-orang mukmin kepada mereka dengan mengatakan, “Hendaklah kaum benar-benar menjadi orang-orang yang patuh (beriman), mengukuhkan keimanan kamu kepada Allah, MalaikatNyat, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNyal, hari berbangkit sesudah mati, syurga, neraka dan sebagainya, sepertimana yang telah diberitahu oleh Muhammad saw dan sesungguhnya kami (orang-orang mukmin) telah beriman dengan apa yang dikhabarkannya dan hendaklah kamu juga beriman sepertimana kami”, atau juga dimaksudkan “Wahai puak munafiq!, benarkanlah Muhammad saw akan syariatnya sebagaimana orang-orang Muhajirin dan penduduk Madinah yang telah membenarkannya”. Akan tetapi sifat dan sikap takkbur daripada orang-orang munafiq dengan lantang menjawap terhadap apa yang disuruh oleh orang-orang mukmin, “Adakah patut dan layak bagi kami untuk beriman dengan semua yang diterangkan kamu sepertimana keimanan kamu yang mana kamu ini terdiri daripada orang-orang bodoh?”. Orang-orang bodoh yang dimaksudkan oleh puak munafiq adalah para sahabat Nabi saw. Pada hujung ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa puak munafiq adalah puak yang tidak mengetahui bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar dan tidak beriman disebabkan kebodohan mereka yang keterlaluan dan kejahilan mereka tentang risalah kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Ulama tafsir mengatakan “bodoh” itu bermaksud lemah pendapatnya dan sedikit pengetahuannya sehingga mewujudkan mudarat atau bahaya daripada pemikiran mereka.
Ayat 14
Ayat ini juga masih berkait rapat dengan ayat sebelumnya dan diantara yang disebutkan Allah swt ialah sikap puak munafiq terhadap orang-orang mukmin yakni apabila puak munafiq ini bertemu dengan orang-orang mukmin, lantas mereka berkata, “Wahai pengikut Muhammad kami adalah orang-orang yang beriman!”. Dengan cara dan tingkah-laku ini seolah-olah sikap mereka menampakkan kepada orang-orang mukmin seakan-akan diri mereka telah beriman dan berpihak atau bersahabat dengan orang-orang mukmin. Akan tetapi sikap ini hanyalah untuk mengelabui kaum mukmin agar kaum mukmin melindungi mereka dan mendapat harta ghanimah daripada orang mukmin semata-mata. Inilah sikap puak munafiq tatkala mereka berjumpa dan berhadapan dengan orang-orang beriman yang terdiri daripada sahabat-sahabat Nabi saw. Akan tetapi Allah swt menjelaskan pada lafaz ayat yang seterusnya bahawa, apabila puak munafiq ini telah berpisah atau telah pergi daripada orang-orang beriman dan menuju kepada syaitan-syaitan mereka, lantas puak munafiq berkata kepada syaitan-syaitan mereka bahawa mereka ini hanya berolok-olok atau bermain-main atas tujuan mempersendakan sahabat Nabi saw. Ulama tafsir mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan “syaitan-syaitan” pada ayat ini ialah puak Yahudi yang bermusuh dengan Nabi saw dan puak Yahudi ini juga yang menganjurkan agar puak-puak munafiq berlakon atau berolok-olok menunjukkan keimanan dihadapan sahabat-sahabat Nabi saw. Dalam penafsiran lain mengatakan “syaitan-syaitan” yang dimaksudkan ialah puak munafiq lain dan puak musyikin, bahkan mereka juga disebut sebagai panglima atau pemimpin-pemimpin munafiq dan musyrik dalam kejahatan mereka yang mana mereka juga terdiri daripada tokoh-tokoh orang-orang kafir. Oleh itu dengan cara lakonan dan olok-olokan mereka, adalah salah-satu cara untuk mereka membalas dendam dengan sahabat-sahabat Nabi saw.
Ayat 15
Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa, Dialah yang akan melakukan pembalasan terhadap puak munafiq itu kelak di akhirat sepertimana Firman Allah swt dalm surah al-Hadid ayat 13 yang bermaksud :
Maksudnya : Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman: "Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahaya kamu". Dikatakan (kepada mereka): "Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)". lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya dari situ ada siksa.

FirmanNya lagi dalam surah Ali Imran ayat 178 :
Maksudnya : Dan janganlah sekali-kali orang-orang kafir menyangka, bahwa pemberian tangguh Kami kepada mereka adalah lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya Kami memberi tangguh kepada mereka hanyalah supaya bertambah-tambah dosa mereka; dan bagi mereka azab yang menghinakan.
Hubungan kedua-dua ayat ini dengan ayat 15 di atas ialah, kelak di akhirat Allah swt akan mengazab mereka sebagai balasan terhadap ejekan, lakonan, penghinaan mereka terhadap orang-orang mukmin. Bahkan ada ulama tafsir yang mengatakan bahawa, perbuatan jahat mereka itu kembali kepada mereka sendiri ibarat barangsiapa yang mengali lubang disebabkan kejahatannya, maka dia sendiri yang akan terjerumus ke dalamnya dan akhirnya orang-orang mukmin pula yang akan mentertawakan mereka di akhirat. Manakala pada hujung ayat pula Allah swt menjelaskan bahawa Dia akan membiarkan puak munafiq dan orang-orang kafir terumbang-ambing dalam kesesatan dan kekufuran mereka ibarat perbuatan kotor dan jahat serta dosa-dosa yang mereka lakukan tidak mereka rasai. Maka kerana itu juga hiduplah mereka dalam kebingungan, tidak tenteram, kerisauan dan dipenuhi dengan pelbagai masalah-masalah dalam kehidupan mereka, dan ini juga merupakan azab kecil di dunia yang dirasai oleh mereka sampaikan keperingkat mereka tidak tahu hala-tuju dan tidak mengetahui kemana perginya hidup mereka ini. Inilah akibat kebodohan yang mereka ucapkan kepada orang-orang mukmin dan padahal kebodohan itu kembali kepada mereka sendiri.
Ayat 16 :
Dalam ayat ini, Allah swt menjelaskan bahawa, golongan puak munafiq adalah mereka yang berminat dan mengambil kesesatan sebagai cara hidup mereka dan meninggalkan hidayah atau petunjuk kebenaran daripada Allah swt. Kesesatan yang dimaksudkan adalah kekufuran atau keingkaran mereka terhadap keimanan, sehinggakan dikalangan mereka ada yang mulanya beriman akan dan kemudian mereka kembali kepada kekufuran. Sepertimana firman Allah swt terhadap kaum Tsamud yang bermaksud :
Maksudnya : Dan adapun kaum Tsamud, maka mereka telah Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai buta (kesesatan) daripada petunjuk…Fussilat : 17
Sifat puak munafiq yang dijelaskan dalam ayat ini juga ialah pada awalnya mereka ini mempunyai hidayah, namun hidayah tersebut tidak dapat mendatangkan manfaat bagi kehidupan duniawi mereka sehingga mereka meninggalkan hidayah untuk membeli kesesatan agar tercapai apa yang mereka inginkan. Pada lafaz ayat yang selanjutnya Allah swt menyatakan bahawa mereka puak munafiq ini tidak sekali-kali mendapat keuntungan daripada perniagaannya dan tidak pula mereka mendapat hidayah. Ini membawa maksud bahawa dengan sebab mereka menukar keimanan dengan kekufuran maka menjaDialah mereka sebagai orang-orang yang rugi dan akhirnya mereka menjadi hina dan dilaknat. Wujudlah diri mereka hidup dalam kesesatan, tiada petunjuk kearah kebaikan, sentiasa rasa gelisah dan ketakutan.

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 10-12


(10) فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ
(11) وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لاَ تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ
(11) أَلاَ إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَكِنْ لاَيَشْعُرُونَ
Maksudnya :
Ayat 10 : Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.
Ayat 11 : Dan apabila dikatakan kepada mereka:"Janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi". mereka menjawab: "Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan."
Ayat 12 : Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerusakan, tetapi mereka tidak sadar.
Penafsiran ayat 10 hingga 12
Ayat 10
Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan dan mengumpamakan hati orang-orang munafiq dengan penyakit dan seakan-akan hati mereka tidak memiliki kesihatan iman dan hati yang hidup segar serta tidak mempunyai kekuatan rohani dan jasmani. Hati orang-orang munafiq penuh dengan penyakit disebabkan sifat dusta dan bohong mereka kembali kepada mereka sendiri. Ibarat sifat dusta dan bohong itu merupakan kekotoran yang wujud dengan pelbagai jenis penyakit yang merbahaya dan mengancam jiwa lebih-lebih hati sehingga wujudlah sifat-sifat keraguan mereka dalam Islam dan kemudian Allah swt menambah lagi sifat keraguan itu ke dalam hati mereka. Dengan keraguan maka wujud pula rasa riak dalam diri hingga rasa riak mereka itu meletihkan diri mereka sendiri. Penyakit ini juga dikenali sebagai kejahatan dalam perbuatan mereka sehingga kejahatan itu menyebabkan mereka mengalami kesesatan dan kekufuran. Dalam hujung ayat ini dijelaskan bahawa, golongan-golongan munafiq ini bakal di azab di akhirat dengan siksaan yang amat pedih disebabkan sifat dusta mereka terhadap Islam.
Ayat 11
Dalam ayat ini dijelaskan bahawa, perintah larangan buat golongan munafiq agar jangan melakukan kekufuran dan perbuatan maksiat kerana perkara itu disamakan dengan membuat kerosakkan di muka bumi. Kekufuran dan maksiat yang dimaksudkan ialah derhaka atau mengingkari perintah-perintah Allah swt. Yang dimaksudkan dengan membuat perbaikan ialah golongan munafiq mengira bahawa merekalah yang telah berjasa bagi melakukan perdamaian antara kaum mukmin dan ahli kitab, akan tetapi apa yang mereka lakukan itu cuma dugaan mereka sahaja padahal sebaliknya.
Ayat 12
Ayat ini merupakan sambungan daripada ayat sebelum ini. Dijelaskan bahawa orang-orang munafiq telah dilarang agar tidak melakukan maksiat atau menderhaka dengan perintah-perintah daripada Allah swt, akan tetapi kemaksiatan yang mereka kerjakan bagi mereka merupakan suatu kebaikan. Akhirnya kelakukan jahat yang mereka lakukan tidak sekali-kali mereka sedari.

Ringkasan Tafsir ayat 6-9


(6) إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَأَنْذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنْذِرْهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ
(7) خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
(8) وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آَمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ
(9) يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلَّا أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ
Maksudnya :
Ayat 6
Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada Engkau beri amaran kepadanya atau Engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.
Ayat 7
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah menutup atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.
Ayat 8
Dandi antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
Ayat 9
Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang Yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.
Penafsiran ayat 6 hingga 9 surah al-Baqarah.
Ayat 6
Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan mengenai sifat ahli neraka iaitu mereka yang mengingkari risalah, wahyu dan seruan yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw yakni al-Quran. Bahkan disebutkan dalam ayat ini, walaupun telah berkali-kali telah di ingatkan kepada mereka mengenai hal keimanan, masih juga mereka menolak dan mengingkarinya, walaupun mereka terdiri daripada orang-orang yang beriman terhadap Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka. Ibnu Abbas r.hu mengatakan bahawa orang-orang kafir yang dimaksudkan adalah yahudi yang tinggal di pinggiran Madinah. Mereka adalah yahudi yang telah mengetahui kerasulan Nabi Muhammad saw akan tetapi mereka sengaja mengingkarinya. Adapun orang-orang yang mula-mula mengingkari kerasulan Nabi saw adalah para pendeta atau rahib-rahib Yahudi di Madinah dan dengan sebab itu mereka di sebut sebagai al-Kufru, yakni yang menutup atau yang menyembunyikan sifat Nabi Muhammad saw di dalam Taurat atau dalam dakwah-dakwah mereka. Ayat ini juga dikaitkan dengan firman Allah swt dalam surah Ibrahim ayat 28 dan 29 yang bermaksud :
28. Tidakkah engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang-orang kafir yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran, dan yang telah menempatkan kaum mereka dalam kebinasaan?
29. (Iaitu) neraka jahannam yang mereka akan menderita bakarannya; dan (ingatlah), seburuk-buruk tempat tetap ialah neraka jahannam.
Mereka adalah orang-orang kafir yang mati dalam peperangan badar.
Ayat 7
Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan mengenai orang-orang yang ditutup dan dikunci mati hati mereka disebabkan kekafiran mereka. Para ulama menafsirkan bahawa, hati yang ditutup itu hanyalah sekadar maklumat daripada Allah swt tentang kesombongan mereka kerana berpaling dari kebenaran agama. Sabda Nabi saw yang bermaksud : "Sesungguhnya apabila seorang mukmin melakukan dosa maka jadilah noda hitam dalam hatinya, jika ia bertaubat dan meninggalkan perbuatannya serta beristighfar maka hatinya kembali berkilau, dan jika ia menambah dosanya maka bertambahlah noda hitam tersebut dalam hatinya, dan itulah yang dimaksudkan dengan ar-Raan seperti yang disebutkan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud :
"Sebenarnya! (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan". Al-Muthoffifin : 14
Ini bermaksud, kerana dosa-dosa yang mereka lakukan secara berkekalan yang menyebabkan hati mereka menjadi hitam dan menyebabkan dosa-dosa atau noda-noda hitam itu menutupi hati mereka sehingga hati mereka tertutup untuk menerima kebenaran atau petunjuk daripada Allah swt. Oleh kerana hati yang tertutup itulah, maka pendengaran dan penglihatan mereka juga telah tertutup untuk mendengar dan melihat kebenaran agama Islam. Maka di akhirat kelak Allah swt akan mengazab mereka dengan siksaan yang besar dan dahsyat.
Ayat 8
Dalam ayat ini dijelaskan mengenai sifat dan tabiat orang-orang munafiq yang mana ucapan mereka bertentangan dengan perbuatan mereka sendiri. Disebutkankan juga keadaan dalaman atau batin mereka bertentangan dengan sikap lahiriah mereka dan kadang-kadang penampilan mereka bertentangan dengan keperibadiannya. Disebutkan di dalam kitab tafsir bahawa wujudnya golongan munafiq semasa Nabi saw berada di Madinah dan diriwayatkan bahawa golongan munafiq itu dari kabilah Aus dan Khazraj serta orang-orang yang mengikuti mereka. Telah disebutkan dalam ayat yang lain bahawa golongan munafiq adalah golongan pendusta, sepertimana yang difirmankan Allah swt dalam surah al-Munafiqun ayat 1 yang bermaksud :
Apabila orang-orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: "Kami mengakui, bahwa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah". dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul-Nya; dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta.
Orang munafiq dalam Islam bagaikan musuh di dalam selimut kerana aktiviti mereka sukar dikesan dan tidak jelas. Mereka ini berpura-pura beriman namun hatinya terdapat kekufuran dan sifat jahat dan kadang-kadang orang-orang mukmin tertipu dengan kemanisan lidah mereka. Orang munafiq ini hidup dalam ketakutan, kerisauan dan tidak tenteram kerana dikuatiri rahsia-rahsia jahat dan sifat kepura-puraan mereka di ketahui oleh orang-orang mukmin.
Ayat 9
Dalam ayat ini dijelaskan mengenai sifat golongan munafiq yang kedua iaitu sifat kebodohan dan kedangkalan fikiran mereka.Mereka mengira dan menduga bahawa dengan sifat munafiq mereka itu mereka boleh menipu Allah swt dan orang-orang yang beriman, padahal Allah swt Maha Mengetahui tentang kedudukan mereka dan tidak mustahil bagi Allah swt untuk Ia mengkhabarkan rahsia-rahsia jahat orang-orang munafiq kepada orang-orang beriman. Sifat dan tabiat golongan munafiq sebenarnya telah merugikan diri mereka sendiri kerana sifat menipu dan berdusta dengan kebenaran adalah adalah musibah besar buat mereka di dunia dan di akhirat. Walaupun kadang-kadang mereka menunjukkan kebaikan mereka akan tetapi semua itu adalah mainan dan senda-gurau mereka yang ditujukan buat orang-orang mukmin, tetapi kisah mereka dibongkar dan akhirnya mereka kebohongan dan permainan mereka kembali kepada mereka sendiri sehingga mereka sendiri tidak menyedarinya kerana kebodohan mereka.Wa Allahu `Alam.


Amalan-amalan yang berkaitan dengan ayat 1-5 al-Baqaroh

Telah berkata Ustaz Muhammad Syamsol al-Muqri` :

Memperbanyakkan bertilawatul Quran kerana ganjarannya sangat besar sepertimana hadist Nabi saw :

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لاَ أَقُولُ الـــم حَرْفٌ
وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
Maksudnya : "Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah, maka dituliskan baginya bagi satu huruf itu dengan satu kebajikan, dan satu kebajikan itu bersamaan sepuluh pahala. Tidaklah aku mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, akan tetapi Alif adalah satu huruf, Lam satu huruf dan mim juga satu huruf". Hadist sahih daripada Abdullah b. Mas`ud.

Nabi saw menjadikan lima ayat ini sebagai ayat-ayat syifa`.

Kata Abdullah b. Mas`ud : "Barangsiapa yang membaca empat ayat daripada awal surah al-Baqarah, ayat kursi dan dua ayat selepasnya dan tiga ayat terakhir dalam surah al-Baqarah, (maka) syaitan tidak dapat menghampirinya dan ahli keluarganya pada hari itu, dan tidak akan ditimpakan sesuatu yang tidak disukainya kepada ahli keluarganya dan hartanya". Disebutkan dalam hadist lain, "Barangsiapa membaca sepuluh ayat daripada surah al-Baqarah pada waktu malam, (maka) syaitan tidak akan masuk kedalam rumah itu sampai waktu subuh". Hadist riwayat ad-Darimi.

Dalam hadith dikeluarkan oleh at-Thobrani dan al-Baihaqi, bahawasanya Ibnu Umar telah mendengar Rasulullah saw memerintahkan agar dibacakan pembukaan daripada surah al-Baqarah dibahagian kepala mayat dan membaca ayat penutup daripada surah al-Baqarah di bahagian kaki mayat di tanah perkuburan. Wa Allahu `Alam.

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 1-5


سورة البقرة
بسم الله الرحمن الرحيم
(1)الم
(2) ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ
(3) الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ
(4) وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالْآَخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
(5) أُولَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksud ayat :
Alif Lam Mim (1)
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa; (2)
Iaitu orang-orang Yang beriman kepada perkara-perkara Yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada mereka. (3)
Dan juga orang-orang Yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" Yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab Yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). (4)
Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya. (5)
Ringkasan penafsiran ayat.
Ayat 1
الـم - Ibnu Abbas mengatakan bahawa ia salah satu nama-nama Allah yang Agung dan merupakan kalimah sumpah Allah swt. Ibnu Abbas juga mengatakan Alif Lam Mim bermaksud Ana Allahu `Alam ( Aku Allah Maha Mengetahui). Sahabat-sahabat Nabi saw mengatakan Alif Lam Mim merupakan huruf-huruf yang digunakan daam pembukaan kitabullah dan semuanya berasal daripada ejaan hijaiyyah nama-nama Allah . Ada juga ulama-ulama yang tidak menafsir dan menakwil akan ayat ini dan dikalangan mereka juga mengatakan huruf-huruf ini menunjukkan rahsia-rahsia kemukjizatan al-Quran. Ada juga yang menafsirkan bahawa huruf ini membawa maksud kepada nama surah tersebut.
Ayat 2
Al-kitab yang dimaksudkan adalah Al-Quran yang telah diturunkan Allah swt kepada Muhammad Bin Abdullah melalui perantaraan malaikat Jibril a.s selama lebih daripada 22 tahun. Dijelaskan dalam ayat ini bahawa, Al-Quran benar-benar datangnya daripada Allah swt dan fungsinya sebagai memberi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa. Ibnu Abbas, Murrah al-Hamdani dari Ibnu Mas`ud daripada beberapa orang sahabat Rasulullah saw mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan petunjuk itu ialah cahaya bagi orang-orang yang bertaqwa. Ibnu Abbas mengatakan, al-muttaqin itu bermaksud orang-orang mukmin yang sangat takut berbuat syirik kepada Allah dan sentiasa taat kepadaNya.
Ayat 3
Ayat ini menjelaskan bahawa tanda dan sifat orang yang beriman itu adalah membenarkan atau mempercayai perkara-perkara yang ghaib, mendirikan sembahyang yang difardhukan dengan khusyuk dan menunaikan rukun-rukunnya dan menafkahkan daripada rezeki halal yang dikurniakan Allah swt sama ada sebagai zakat, sedeqah atau sebagainya. Ulama-ulama menafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan perkara ghaib itu termasuklah para malaikat, syurga, neraka, rasul-rasulNya, kitab-kitabNya. Begitu juga mempercayai bahawa kita akan bertemu dengan Allah swt, begitu juga kehidupan selepas kematian dan hari kebangkitan setelah mati. Begitu juga perkara-perkara sam`iyat seperti arasy, kursi, lauh mahfuz, qalam, siratul muntaha dan makhluk-makhluk yang berada di langit.
Ayat 4
Ayat ini menjelaskan bahawa tanda dan sifat orang yang beriman itu juga adalah membenarkan atau mempercayai apa yang telah diturunkan Allah swt kepada Nabi Muhammad saw yakni wahyu agung atau al-Quran yang merupakan Kalamullah swt sebagai panduan bagi kehidupan manusia. Selain itu juga membenarkan apa yang turunkan Allah swt kepada para Rasul-rasul terdahulu seperti Taurat kepada Nabi Musa a.s, Zabur kepada Nabi Daus a.s., Injil kepada Nabi Isa a.s. Semua kitab-kitab itu benar-benar wahyu daripada Allah swt. Begitu juga sifat orang yang beriman ialah menyakini akan kedatangan hari akhirat atau juga disebut negara akhirat yang mana disanalah berlakunya perhimpunan seluruh makhluk-makhluk Allah swt.
Ayat 5
Ayat ini menjelaskan bahawa, barangsiapa yang telah beriman dengan apa yang disebut Allah swt mengenai perkara-perkara yang disebut pada ayat sebelum ini, maka merekalah orang-orang yang yang telah mendapat petunjuk daripada Allah swt. Kemudian Allah swt menjelaskan bahawa mereka ini adalah orang yang bakal mendapat syurga di akhirat kelak. Wa Allahu `Alam.

Ringkasan Keutamaan Surah al-Baqorah

Telah dikhabarkan olehku oleh Ustaz Muhammad Syamsol...dia berkata :
"Antara kelebihan dan keutamaan membaca surah al-Baqorah yang terkandung dalam hadist dan tersebar secara mahsyur ialah "..

KEUTAMAAN SURAH AL-BAQARAH

Nabi Muhammad saw telah bersabda :

Janganlah kamu menjadikan rumah kamu seperti kuburan. Sesungguhnya rumah yang didalamnya dibacakan surah al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan”.

Nabi saw telah menjadikan surah ini sebagai bacaan di dalam solat qiyamulail.

Diriwayatkan bahawa al-Quran akan menjadi syafaat di akhirat bagi orang yang membacanya dan surah al-Baqarah adalah surah yang awal yang akan datang di akhirat.

Sabdanya lagi : “…sesunggunya syaitan akan lari dari rumah yang didalamnya dibacakan surah al-Baqarah.

Sabdanya lagi :"…Bacalah surah al-Baqarah kerana membacanya akan mendatangkan barakah…”

Sabdanya lagi :"…belajarlah surah al-Baqarah, maka sesungguhnya mengambilnya (mempelajarinya) adalah barakah dan meninggalkannya (tidak mempelajarinya) adalah kerugian dan sihir tidak akan mengenai pembacanya.."

Abdullah bin Mas`ud r.hu mengatakan : “Barangsiapa membaca sepuluh ayat daripada surah al-Baqarah pada suatu malam, maka syaitan tidak akan masuk ke rumahnya pada malam itu. Ayatnya ialah empat ayat dari awal surah al-Baqarah, ayat kursi dan dua ayat selanjutnya serta tiga ayat terakhir dalam surah al-Baqarah.”

Anas bin Malik mengatakan :"Sekirannya seseorang telah membaca (mempelajari) surah al-Baqarah dan Ali Imran, maka kami (para sahabat) menganggapnya ia seorang yang mulia".




Keizinan untuk meringkasan Tafsir Surah al-Baqorah

Telah dikahabarkan dan disampaikan olehku oleh Ustaz Muhammad Syamsol al-Muqri dalam kuliah tafsirnya, tafsir surah al-Baqorah dan telah diberi keizinan daripadanya untuk menulis dan diringkaskan di Blog ini. Kuliah tafsir ini telah aku mendengar daripadanya pada akhir tahun 2007 dan hingga ke hari ini dan isi-isi kandungan dalam siri ini adalah daripada apa yang aku sempat tulis dan merakamkannya. Moga-moga anda dapat mendapat manfaat daripadanya.

KALAM MUQADDIMAH

KALAM MUQADDIMAH
بسم الله الرحمن الرحيم
SEGALA pujian hanya milik Allah swt yang telah membangkitkan semangat dalam jiwa manusia untuk menempuh cara menyucikannya melalui limpahan kurnian Taufiq-Nya. Sehingga dengan Taufiq-Nya itu, sifat-sifat jiwa tersebut dapat diperbaiki dan diluruskan. Allah swt adalah sumber kebahagian dan Dia-lah yang telah menggantungkan kebahagian dan kejayaan pada usaha pencian dan perlurusan tersebut, sepertimana yang disebutkan dalam Firman-Nya :
Maksudnya : Sungguh telah beruntunglah bagi orang yang dapat menyucikan jiwanya itu dan sungguh rugi dan malang bagi orang yang mengotorinya. (QS As-Syams : 9 & 10)
DIA-LAH Tuhan yang telah memuji Diri-Nya sendiri sebelum memerintahkan makhluk-Nya memuji-Nya. Segala-gala-Nya yang ditempuhi manusia ini adalah kerana Kehendak-Nya. Tidak ada seorangpun daripada kalangan manusia itu dapat menolak dan menghalang Taqdir-Nya itu. Dengan Rahmat-Nya dan Kehendak-Nya Dia telah mengingatkan manusia daripada kelengahan dan kelalaian. Dia-lah yang telah mengangkat orang-orang yang rindu bertemu dengan-Nya ke maqom yang tinggi serta meringankan beban dan dosa di bahu mereka.
YA ALLAH, KAMI MEMUJIMU..
Hanya kepada-Mu kami meminta pertolongan dan ampunan. Kami berlindung kepada-Mu dari segala keburukan diri kami dan kejelekan amalan kami. Hanya kepada-Mu kami meminta petunjuk agar kami tidak sesat. Kami mengakui sekiranya kami sesat maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi petunjuk kepada kami melainkan hanya-Mu Ya Allah.
YA ALLAH, WALAKAL HAMDU..
Ya Allah, Engkau-lah Zat penganugerah pahala yang berlimpah, pemberi tempat yang indah dan nyaman, Zat yang membuat perhitungan dengan segera, Zat yang hijab-Nya mempunyai benteng yang kukuh. Engkau ciptakan kepatuhan dan menganugerahkan kemampuan bagi orang-orang yang taat. Engkau beri mereka kekuatan dan istiqomah dalam ketaatan. Engkau ciptakan syurga dan menuntun mereka ke dalam kurnian-Mu. Engkau jadikan semua amal mempunyai keistimewaan, segala Rahmat tercurah dari-Mu, ketaatan dan pahala-Nya bersumber dari-Mu, segala sumber urusan ada di Tangan-Mu. Dari-Mu segala permulaan dan hanya kepada-Mu tempat kembali.
YA ALLAH, WALAKAS SYUKRU KULLUHU..
Pujilah Zat-Mu melalui jiwa kami, sebagaimana tercermin dalam kemulian dan kesempurnaan kesucian-Mu. Kami tersangatlah lemah untuk menyempurnakan pujian terhadap-Mu, kami tunduk terhadap Keagungan-Mu, kami sangat berharap mendapat kurniaagar selalu dekat dengan-Mu. Curahkanlah kesungguhan kepada kami untuk menggapai cita-cita. Pemberian dan kurnian-Mu sangat luas tanpa batas.
YA ALLAH...
Kami yang lemah dan miskin ini bersaksi, dengan kesaksian yang benar-benar ikhlas, bahawa Engkaulah Allah, Tiada Tuhan melainkan Engkau dan tiada sekutu bagi-Mu. Kami juga bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Nabi-Mu, Rasul-Mu, Kekasih-Mu, Akhlaq-Mu dan Hamba-Mu. Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam untuknya. Engkau telah memerintahkan kami mencintainya, menghormatinya dan menunaikan kewajiban terhadapnya agar kami dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. Dialah hamba dan Nabi-Mu yang dimuliakan melalui selawat dan salam serta memerintahkan segenap muslimin untuk mengucapkannya.
YA ALLAH...
Limpahkanlah rahmat kepada cahaya dari segala cahaya, rahsia dari segenap rahsia, penawar daripada segala kedukaan dan kebingungan, pembuka pintu kemudahan, junjungan kami, Nabi Muhammad saw yang terpilih, Nabi-Mu yang ummiy, yang dicintai, yang dirindui, yang tertinggi. Dialah Nabi akhir zaman, penghulu bagi segala kejadian, yang di utus daripada Ar-Rahman. Dialah Nabi-Mu yang agung, penawar dan buah hati kami, penyejuk hati kami dan penyinar hati kami. Ya Allah, hanya kepada-Mu kami menghadapkan jiwa raga kami, hanya kepada-Mu kami meminta, dengan berkah dan berwasilahkan Nabi-Mu ini, Nabi yang membawa rahmat, Nabi yang jujur dan amanah, agar dengan wasilah ini dapatlah kiranya Engkau kurniakan kepada kami untuk melihat wajahnya yang suci, yang mulia dan bercahaya. Kurniakanlah kepada kami untuk melihatnya walaubagaimana keadaan sekalipun. erikanlah kepadanya kedudukan yang tertinggi dan segala keistimewaan alam. Kurniakanlah kepadanya darjat dan maqom yang terpuji sepertimana yang telah Engkau janjikan.
YA ALLAH...
Kurniakan juga selawat dan salam ke atas ahli keluarganya yang mulia, yang suci dan bersih daripada sifat-sifat kekejian, terdiri daripada Ahli Bait (ahli keluarganya), Ahli Kisa` (Sayyidina Ali, Faathimah, Hasan dan Husin) dan ahli keturunannya yang sentiasa memberi sinaran. Begitu juga ke atas para sahabatnya yang telah Engkau meredhai mereka seluruhnya, dan keatas para pengikut mereka yang setia dan berlaku baik sehingga daripada kalangan kami. Amma Ba`du.
Para pengunjung yang mulia.
Yang sedang berada di hadapan anda ini adalah Blog yang berisi pelbagai manfaat buat jiwa secara amnya. Ia terdiri daripada nota-nota kuliah, ringkasan kuliah, ceramah dan apa sahaja yang sempat di catit yang dinaqolkan dan dinisbahkan kepada Ustaz Muhammad Syamsol al-Muqri` al-Hafiz. Seorang da`i yang bergiat cergas berdakwah daripada usia yang sangat muda. Menjelajah jauh semata-mata untuk berdakwah di bumi Allah. Seorang yang telah menghafaz keseluruhan al-Quran dan mengetahui sanad dan qiraat-qiraatnya. Seorang ahli tafsir yang berwibawa yang mengetahui penafsiran daripada ulama-ulama salaf dan khalaf. Seorang yang mengetahui rahsia-rahsia Kalam daripada pelbagai sudut dan jalan. Keilmuannya terserlah apabila ia menafsir al-Quran tanpa membawa kitab-kitab tafsir dan daya ingatannya yang luar biasa dengan menafsirkan ayat-ayat al-Quran sepertimana yang disebutkan dalam puluhan kitab-kitab tafsir muktabar. Dia mampu menyebut puluhan sanad-sanad dan kedudukannya dalam satu-satu ayat yang ditafsirinya tanpa berada di sisinya kitab tafsir melainkan satu mushaf al-Quran sahaja. Katanya "dengan berkat seseorang yang hadir dalam majlis ini, saya melihat kitab yang saya belajar dan baca juga hadir juga". Seorang imam di sebuah masjid, pengetua Maahad Tahfiz al-Quran dan sebagai tempat rujukan ilmu-ilmu Islam dalam masyarakatnya. Seorang pengarang dan penulis yang telah menulis banyak kitab-kitab sebagai rujukan bagi semua pelajarnya. Semua kitab-kitab akan diijazahkan setelah berlajar dan khatam dengannya. Seorang yang mempunyai pengetahuan luas dalam fiqh empat mazhab dan mazhab-mazhab salaf yang lain. Seorang pengamal fiqh empat mazhab sekaligus, sepertimana katanya, "Telah lapan tahun saya mengamalkan fiqh mazhab Hanafi dan sekarang saya akan mengamalkan fiqh mazhab Syafie kerana saya mahu merasai semua kelazatan mazhab-mazhab fiqh yang haqiqi". Seorang yang digelari sebagai ahli tasawuf dalam masyarakatnya kerana kuliah-kuliah fiqh, tafsir, hadith dan sebagainya dikaitkan dengan amalan ruhani yang membina jiwa. Seorang yang fasih, cermat dalam berbicara dan kata-katanya tersusun rapi ibarat ia sedang membaca sebuah buku dihadapannya. Seorang tenaga pengajar yang mencurahkan ilmu daripada pelbagai bidang termasuklah mengajar kitab-kitab hadist besar dan mensyarahkannya daripada sanad penulis kitab hadith sampai Rasulullah saw seperti Sahih al-Bukhary, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan at-Tirmizi, Sunan an-Nasai, Sunan Ibnu Majah, Sunan ad-Darimi, Muwatho` Imam Malik dan kitab-kitab hadit yang lain seperti Musnad Ahmad. Saya pernah betalaqqi dengannya untuk mempelajari kitab tafsir muktabar seperti at-Thobary, Ibnu Kasir, ad-Durur Mansur, al-Qurthuby dan kitab besar tawasuf seperti al-Futuhat al-Makiyyah (Ibnu Araby). Insya Allah saya akan menterjemahkan kembali kitab-kitab muktabar tersebut sepertimana yang diterima dan dipelajari daripadanya.
Saya memohon kepada-Nya agar Blog ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa sahaja yang niat ikhlas kepada-Nya. Semoga anda juga dapat memiliki semangat juang untuk menebar manfaat kepada manusia yang lain. Dengan tema tajuk Blog "Al-Futuhat Ilmiyyah" atau "al-Futuhatililmiyyah" yang bermaksud "Pembukaan kepada ilmu-ilmu" sebagai manhaj dan jalan untuk muhasabah diri, mengarahkan dan mendorong kita untuk meraih kebahagian yang berpanjangan dan keutamaan yang luhur dengan cara membangkitkan semangat menapaki cara dan jalan yang lurus. Akhir sekali, saya memohon jika ada kesilapan dalam penulisan, perbahasan dari semua sudut-sudut ilmu agar dapat menegur saya. Lebih-lebih mungkin wujud kesilapan saya dalam meng-edit apa yang tertulis dalam Blog ini.
YA ALLAH....
Tunjukkanlah kami kepada amal dan perbuatan yang baik. Tidak mungkin kami boleh beramal dan berbuat baik kecuali Engkaulah yang dapat memberi petunjuk kepada kami. Ya Allah, jauhkanlah kami dari amal dan perbuatan yang buruk. Kerana tidak ada yang boleh menjauhkan semua itu melainkan hanya Engkau. Ya Allah, Engkau Tuhan yang Maha Hidup dan Berdiri Sendiri. Wahai Tuhan yang telah mengelarkan Diri sebagai Zat yang Maha Menciptakan. Wahai Tuhan yang mempunyai Keagungan dan Kebesaran dan hanya pada-Mu kami berharap dan bermohon. Kekalkan kami agar kami sentiasa ada hubungan dan berpaut dengan-Mu. Amin Ya Robbal `Alamin.
Assalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.
Ad-Dimyathi ( miftah808@gmail.com)
Khadam Jemaah Masjid al-Firdaus, Bandar Baru Selayang.