Rabu, 14 Mei 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 22


الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً
(22) فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ فَلاَ تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَنْدَادًا وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya :
Ayat 22 : Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui.

Penafsiran ayat 22

Ayat 22

Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa Dia sahajalah Tuhan yang telah menciptakan bumi sebagai tempat-tinggal dan pengistirehatan manusia. Lafaz “hamparan” yang dimaksudkan ialah ibarat tempat tidur, atau tikar yang dihamparkan bagi manfaat manusia agar manusia berlapik dengannya daripada benda-benda yang tidak di ingini manusia.

Maksud ayat “dan langit sebagai atap” yakni langit bagi bumi seperti atap bagi rumah-rumah di dunia. Ini bermaksud bumi diibaratkan sebagai rumah dan langit adalah atapnya. Cuma beza yang jelas antara rumah manusia dengan rumah yang dimaksudkan yakni bumi ialah, Allah swt menjadikan langit sebagai atap tanpa wujud tiang yang mengukuhkannya, berbeza dengan rumah manusia yang atapnya wujud dengan bertiang sama ada dari dalam mahupun luar rumah.

Maksud ayat “dan diturunkan daripada langit air”, yakni air hujan sebagai manfaat bagi bumi dan makhluk-makhluk dibumi sebagai sumber kehidupan yang sangat penting. Maksud “lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah,”, yakni buah-buahan sebagai makanan bagi manusia, dan larangan Allah swt kepada manusia agar bersyukur dan tidak menjadikanNya sebagai sekutu-sekutu dengan sembahan yang lain atau beriktiqad bahawa wujudnya padanan, keserupaan dan kesamaan Allah dengan yang lain. Maksud “padahal kamu mengetahui” dikalangan manusia ada yang telah mengakui bahawa Allah swt yang telah menciptakan manusia, bumi, menurunkan hujan dan memberi rezeki buat manusia, oleh itu jangan sesekali mengubah iktiqad dengan kepercayaan yang lain. Wa Allahu `Alam.


Tiada ulasan: