Rabu, 14 Mei 2008

KALAM MUQADDIMAH

KALAM MUQADDIMAH
بسم الله الرحمن الرحيم
SEGALA pujian hanya milik Allah swt yang telah membangkitkan semangat dalam jiwa manusia untuk menempuh cara menyucikannya melalui limpahan kurnian Taufiq-Nya. Sehingga dengan Taufiq-Nya itu, sifat-sifat jiwa tersebut dapat diperbaiki dan diluruskan. Allah swt adalah sumber kebahagian dan Dia-lah yang telah menggantungkan kebahagian dan kejayaan pada usaha pencian dan perlurusan tersebut, sepertimana yang disebutkan dalam Firman-Nya :
Maksudnya : Sungguh telah beruntunglah bagi orang yang dapat menyucikan jiwanya itu dan sungguh rugi dan malang bagi orang yang mengotorinya. (QS As-Syams : 9 & 10)
DIA-LAH Tuhan yang telah memuji Diri-Nya sendiri sebelum memerintahkan makhluk-Nya memuji-Nya. Segala-gala-Nya yang ditempuhi manusia ini adalah kerana Kehendak-Nya. Tidak ada seorangpun daripada kalangan manusia itu dapat menolak dan menghalang Taqdir-Nya itu. Dengan Rahmat-Nya dan Kehendak-Nya Dia telah mengingatkan manusia daripada kelengahan dan kelalaian. Dia-lah yang telah mengangkat orang-orang yang rindu bertemu dengan-Nya ke maqom yang tinggi serta meringankan beban dan dosa di bahu mereka.
YA ALLAH, KAMI MEMUJIMU..
Hanya kepada-Mu kami meminta pertolongan dan ampunan. Kami berlindung kepada-Mu dari segala keburukan diri kami dan kejelekan amalan kami. Hanya kepada-Mu kami meminta petunjuk agar kami tidak sesat. Kami mengakui sekiranya kami sesat maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi petunjuk kepada kami melainkan hanya-Mu Ya Allah.
YA ALLAH, WALAKAL HAMDU..
Ya Allah, Engkau-lah Zat penganugerah pahala yang berlimpah, pemberi tempat yang indah dan nyaman, Zat yang membuat perhitungan dengan segera, Zat yang hijab-Nya mempunyai benteng yang kukuh. Engkau ciptakan kepatuhan dan menganugerahkan kemampuan bagi orang-orang yang taat. Engkau beri mereka kekuatan dan istiqomah dalam ketaatan. Engkau ciptakan syurga dan menuntun mereka ke dalam kurnian-Mu. Engkau jadikan semua amal mempunyai keistimewaan, segala Rahmat tercurah dari-Mu, ketaatan dan pahala-Nya bersumber dari-Mu, segala sumber urusan ada di Tangan-Mu. Dari-Mu segala permulaan dan hanya kepada-Mu tempat kembali.
YA ALLAH, WALAKAS SYUKRU KULLUHU..
Pujilah Zat-Mu melalui jiwa kami, sebagaimana tercermin dalam kemulian dan kesempurnaan kesucian-Mu. Kami tersangatlah lemah untuk menyempurnakan pujian terhadap-Mu, kami tunduk terhadap Keagungan-Mu, kami sangat berharap mendapat kurniaagar selalu dekat dengan-Mu. Curahkanlah kesungguhan kepada kami untuk menggapai cita-cita. Pemberian dan kurnian-Mu sangat luas tanpa batas.
YA ALLAH...
Kami yang lemah dan miskin ini bersaksi, dengan kesaksian yang benar-benar ikhlas, bahawa Engkaulah Allah, Tiada Tuhan melainkan Engkau dan tiada sekutu bagi-Mu. Kami juga bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Nabi-Mu, Rasul-Mu, Kekasih-Mu, Akhlaq-Mu dan Hamba-Mu. Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam untuknya. Engkau telah memerintahkan kami mencintainya, menghormatinya dan menunaikan kewajiban terhadapnya agar kami dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. Dialah hamba dan Nabi-Mu yang dimuliakan melalui selawat dan salam serta memerintahkan segenap muslimin untuk mengucapkannya.
YA ALLAH...
Limpahkanlah rahmat kepada cahaya dari segala cahaya, rahsia dari segenap rahsia, penawar daripada segala kedukaan dan kebingungan, pembuka pintu kemudahan, junjungan kami, Nabi Muhammad saw yang terpilih, Nabi-Mu yang ummiy, yang dicintai, yang dirindui, yang tertinggi. Dialah Nabi akhir zaman, penghulu bagi segala kejadian, yang di utus daripada Ar-Rahman. Dialah Nabi-Mu yang agung, penawar dan buah hati kami, penyejuk hati kami dan penyinar hati kami. Ya Allah, hanya kepada-Mu kami menghadapkan jiwa raga kami, hanya kepada-Mu kami meminta, dengan berkah dan berwasilahkan Nabi-Mu ini, Nabi yang membawa rahmat, Nabi yang jujur dan amanah, agar dengan wasilah ini dapatlah kiranya Engkau kurniakan kepada kami untuk melihat wajahnya yang suci, yang mulia dan bercahaya. Kurniakanlah kepada kami untuk melihatnya walaubagaimana keadaan sekalipun. erikanlah kepadanya kedudukan yang tertinggi dan segala keistimewaan alam. Kurniakanlah kepadanya darjat dan maqom yang terpuji sepertimana yang telah Engkau janjikan.
YA ALLAH...
Kurniakan juga selawat dan salam ke atas ahli keluarganya yang mulia, yang suci dan bersih daripada sifat-sifat kekejian, terdiri daripada Ahli Bait (ahli keluarganya), Ahli Kisa` (Sayyidina Ali, Faathimah, Hasan dan Husin) dan ahli keturunannya yang sentiasa memberi sinaran. Begitu juga ke atas para sahabatnya yang telah Engkau meredhai mereka seluruhnya, dan keatas para pengikut mereka yang setia dan berlaku baik sehingga daripada kalangan kami. Amma Ba`du.
Para pengunjung yang mulia.
Yang sedang berada di hadapan anda ini adalah Blog yang berisi pelbagai manfaat buat jiwa secara amnya. Ia terdiri daripada nota-nota kuliah, ringkasan kuliah, ceramah dan apa sahaja yang sempat di catit yang dinaqolkan dan dinisbahkan kepada Ustaz Muhammad Syamsol al-Muqri` al-Hafiz. Seorang da`i yang bergiat cergas berdakwah daripada usia yang sangat muda. Menjelajah jauh semata-mata untuk berdakwah di bumi Allah. Seorang yang telah menghafaz keseluruhan al-Quran dan mengetahui sanad dan qiraat-qiraatnya. Seorang ahli tafsir yang berwibawa yang mengetahui penafsiran daripada ulama-ulama salaf dan khalaf. Seorang yang mengetahui rahsia-rahsia Kalam daripada pelbagai sudut dan jalan. Keilmuannya terserlah apabila ia menafsir al-Quran tanpa membawa kitab-kitab tafsir dan daya ingatannya yang luar biasa dengan menafsirkan ayat-ayat al-Quran sepertimana yang disebutkan dalam puluhan kitab-kitab tafsir muktabar. Dia mampu menyebut puluhan sanad-sanad dan kedudukannya dalam satu-satu ayat yang ditafsirinya tanpa berada di sisinya kitab tafsir melainkan satu mushaf al-Quran sahaja. Katanya "dengan berkat seseorang yang hadir dalam majlis ini, saya melihat kitab yang saya belajar dan baca juga hadir juga". Seorang imam di sebuah masjid, pengetua Maahad Tahfiz al-Quran dan sebagai tempat rujukan ilmu-ilmu Islam dalam masyarakatnya. Seorang pengarang dan penulis yang telah menulis banyak kitab-kitab sebagai rujukan bagi semua pelajarnya. Semua kitab-kitab akan diijazahkan setelah berlajar dan khatam dengannya. Seorang yang mempunyai pengetahuan luas dalam fiqh empat mazhab dan mazhab-mazhab salaf yang lain. Seorang pengamal fiqh empat mazhab sekaligus, sepertimana katanya, "Telah lapan tahun saya mengamalkan fiqh mazhab Hanafi dan sekarang saya akan mengamalkan fiqh mazhab Syafie kerana saya mahu merasai semua kelazatan mazhab-mazhab fiqh yang haqiqi". Seorang yang digelari sebagai ahli tasawuf dalam masyarakatnya kerana kuliah-kuliah fiqh, tafsir, hadith dan sebagainya dikaitkan dengan amalan ruhani yang membina jiwa. Seorang yang fasih, cermat dalam berbicara dan kata-katanya tersusun rapi ibarat ia sedang membaca sebuah buku dihadapannya. Seorang tenaga pengajar yang mencurahkan ilmu daripada pelbagai bidang termasuklah mengajar kitab-kitab hadist besar dan mensyarahkannya daripada sanad penulis kitab hadith sampai Rasulullah saw seperti Sahih al-Bukhary, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan at-Tirmizi, Sunan an-Nasai, Sunan Ibnu Majah, Sunan ad-Darimi, Muwatho` Imam Malik dan kitab-kitab hadit yang lain seperti Musnad Ahmad. Saya pernah betalaqqi dengannya untuk mempelajari kitab tafsir muktabar seperti at-Thobary, Ibnu Kasir, ad-Durur Mansur, al-Qurthuby dan kitab besar tawasuf seperti al-Futuhat al-Makiyyah (Ibnu Araby). Insya Allah saya akan menterjemahkan kembali kitab-kitab muktabar tersebut sepertimana yang diterima dan dipelajari daripadanya.
Saya memohon kepada-Nya agar Blog ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa sahaja yang niat ikhlas kepada-Nya. Semoga anda juga dapat memiliki semangat juang untuk menebar manfaat kepada manusia yang lain. Dengan tema tajuk Blog "Al-Futuhat Ilmiyyah" atau "al-Futuhatililmiyyah" yang bermaksud "Pembukaan kepada ilmu-ilmu" sebagai manhaj dan jalan untuk muhasabah diri, mengarahkan dan mendorong kita untuk meraih kebahagian yang berpanjangan dan keutamaan yang luhur dengan cara membangkitkan semangat menapaki cara dan jalan yang lurus. Akhir sekali, saya memohon jika ada kesilapan dalam penulisan, perbahasan dari semua sudut-sudut ilmu agar dapat menegur saya. Lebih-lebih mungkin wujud kesilapan saya dalam meng-edit apa yang tertulis dalam Blog ini.
YA ALLAH....
Tunjukkanlah kami kepada amal dan perbuatan yang baik. Tidak mungkin kami boleh beramal dan berbuat baik kecuali Engkaulah yang dapat memberi petunjuk kepada kami. Ya Allah, jauhkanlah kami dari amal dan perbuatan yang buruk. Kerana tidak ada yang boleh menjauhkan semua itu melainkan hanya Engkau. Ya Allah, Engkau Tuhan yang Maha Hidup dan Berdiri Sendiri. Wahai Tuhan yang telah mengelarkan Diri sebagai Zat yang Maha Menciptakan. Wahai Tuhan yang mempunyai Keagungan dan Kebesaran dan hanya pada-Mu kami berharap dan bermohon. Kekalkan kami agar kami sentiasa ada hubungan dan berpaut dengan-Mu. Amin Ya Robbal `Alamin.
Assalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.
Ad-Dimyathi ( miftah808@gmail.com)
Khadam Jemaah Masjid al-Firdaus, Bandar Baru Selayang.

Tiada ulasan: