Selasa, 17 Jun 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 32


قَالُوا سُبْحَانَكَ لاَعِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
Maksudnya : Mereka menjawab: "Maha suci Engkau, tidak ada yang Kami ketahui melainkan dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya Engkaulah yang Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana."

Penafsirannya :

Dalam ayat ini dijelaskan bahawa para Malaikat menyanjung ketinggian Ilmu Allah swt dengan menyucikan dan membersihkanNya daripada semua ilmu pengetahuan yang dimiliki dan dikuasai oleh seseorang daripada IlmuNya. Ini membawa maksud tidaklah seseorang itu mengetahui ilmu pengetahuan melainkan apa yang diajarkan oleh Allah swt kepadanya sahaja. Sebelum manusia dijadikan, Allah swt telah mengajar kepada para MalaikatNya pelbagai jenis ilmu pengetahuan, akan tetapi ada juga sesuatu ilmu yang tidak diketahui oleh para MalaikatNya lebih-lebih lagi ilmu yang berkaitan dengan diri manusia itu sendiri.

Maksud kalimah “Subhaanaka” atau “Maha suci Engkau”, merupakan sanjungan para Malaikat kepada Allah swt yang membawa maksud “Maha suci Engkau Ya Allah daripada wujudnya seseorang selain daripada Engkau yang mengetahui perkara yang ghaib”. Kalimah ini juga bermaksud sanjungan para Malaikat kerana sifat Kemulian, Keagungan dan Maha Tinggi Ilmu pengetahuaNya daripada ilmu para makhluk ciptaanNya. Ucapan ini juga merupakan rasa terima kasih dan rasa syukur para Malaikat kepada Allah swt kerana Ia telah mengkhabarkan buat mereka rahsia disebalik kejadian Adam dan ilmunya yang mana sebelum ini masih samar-samar atas pengetahuan para Malaikat. Inilah adab bagi para hambaNya tatkala mana ia menyatakan permohonan maaf atas kelemahan dan sifat tidak mengetahui sesuatu secara rahsia dan hakikat sebenar tentang sesuatu perkara. Ini juga merupakan adab hamba kepada TuhanNya sebagai tanda kekerdilan dirinya dan sebagai tanda taubat kepadaNya. Sebagaimana firmanNya :

Maksudnya : Maka setelah Musa sedar kembali, Dia berkata: "Maha suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama sekali beriman". Al-`Araf ayat 143.

Ayat ini menjelaskan kisah taubat Nabi Musa a.s yang yang menganggap dirinya berdosa kerana memohon agar Allah swt memperlihatkan ZatNya kepada Nabi Musa a.s. FirmanNya lagi :

Maksudnya : Maha suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." Al-Anbiya` ayat 87.

Inilah ucapan Nabi Yunus a.s. sewaktu baginda berada di dalam perut ikan besar yang menyatakan kezaliman atas dirinya sendiri.


Disebutkan di dalam hadist Imam Muslim daripada riwayat `Aisyah r.ha, ia berkata :

( كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يكثر أن يقول في ركوعه وسجوده : سبحانك اللهم ربنا وبحمدك اللهم اغفر لي يتأول القرآن ) ‏{ فسبح بحمد ربك واستغفره إنه كان توابا }

Maksudnya : Adalah Rasulullah saw dalam rukuk dan sujudnya banyak membaca: "Subhaanaka allahumma rabbanaa wa bihamdika, allahummaghfir li" (Maha suci Engkau, ya Allah, ya Tuhan kami, dengan segala hanya bagiMu, Ya Allah ampunilah aku). Beliau menafsirkan perintah Alquran:

Maksudnya : Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat. An-Nashr ayat 3.

Kata Imam an-Nawawi yang telah mensyarahkan hadist ini, ia berkata, “Tasbih itu bermaksud sanjungan atas Kebesaran dan Keagungan Allah swt serta hanya Dia lah sahaja yang layak untuk dipuji dan disanjung. Oleh itu maksud “Subhana Allah” yakni membersihkan dan tidak mengaitkan bahawa Allah swt bersifat dengan sifat kekurangan dan bersifat baharu seperti makhluk”.

Kata Ibnu Abbas r.huma, “Subhana Allah” bermaksud pujian Allah terhadap diriNya sendiri yang mana Ia menyucikan diriNya daripada segala dan semua sifat keburukan”. Kata Ali r.hu, “Ia merupakan suatu kalimat yang disukai oleh Allah untuk diriNya dan Ia juga rela serta menyukai bila diucapkan”. Disebutkan dalam riwayat tafsir, “Subhana Allah” bermaksud nama untuk mengagungkan Allah dan menjauhkanNya daripada semua sifat tidak baik dan sifat keburukan. Wa Allahu `Alam.

Maksud ayat “tidak ada yang Kami ketahui melainkan dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami”, yakni sebagai jawapan para Malaikat atas firmanNya yang sebelum ini :

Maksudnya : Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu jika kamu mamang benar orang-orang yang benar!".

Kedua-dua ayat ini menjelaskan bahawa, para Malaikat tidak sekali-kali tidak berlagak tahu atau pura-pura berilmu terhadap sesuatu yang tidak diberitahukan kepada mereka mengenai hakikat sesuatu kejadian. Ini menunjukkan bahawa, tidak layak bagi seseorang mengatakan sesuatu yang belum pasti atau sesuatu yang tidak ia ketahui, maka oleh itu hendaklah ia mengatakan “Hanya Allah sahajalah yang Maha Mengetahui”.

Maksud ayat “Sesungguhnya Engkaulah yang Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana", yakni Dialah Tuhan yang Maha Mengetahui segala sesuatu, Dialah juga Tuhan yang Maha bijaksana dalam segala penciptaan dan dalam semua urusanNya dan Dialah Tuhan yang telah mengajar segala sesuatu apabila Ia kehendaki. Dialah Tuhan yang memiliki sifat kebijaksanaan dan keadilan yang sempurna.


Khamis, 29 Mei 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 31


وَعَلَّمَ آَدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
Maksudnya :
Ayat 31 : Dan Dia mengajarkan kepada Adam Nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada Para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!"
Penafsiran ayat 31 surah al-Baqarah.

Ayat 31 :

Dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan mengenai keistimewaan dan keutamaan Adam daripada Malaikat. Ini adalah berkah disebabkan ilmu pengetahuan yang ada pada Adam yang telah diajarkan oleh Allah swt. Lafaz yang awal disebutkan, “Dan Dia mengajarkan kepada Adam Nama-nama (benda-benda) seluruhnya”, yakni Adam telah diajar oleh Allah swt dengan cara ilham yang pastinya benar atau mungkin juga Allah swt mengajarkan ilmu kepada Adam melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s. Kata Ibnu Abbas r.huma, Allah swt telah mengajarkan kepada Adam al-Asma`, yakni nama-nama yang lazimnya digunakan oleh manusia seumpama nama-nama yang terhadap pada insan (manusia) itu sendiri, haiwan dan binatang-binatangm bumi, lembah, laut dan lain-lain lagi. Ada ulama yang mengatakan bahawa, nama yang dimaksudkan ialah nama-nama Malaikat. Ulama lain mengatakan Adam diajar nama segala jenis binatang, burung dan setiap nama sesuatu benda. Dalam pendapat lain dikemukan, Adam diajar tentang nama-nama keturunan manusia. Secara umumnya, Allah swt telah mengajarkan semua nama dan hakikat kehidupannya, sama ada untuk kegunaan Adam dan keturunannya. Diriwayatkan bahawa Adam mengetahui beribu-ribu bahasa yang bakal digunakan oleh anak-anak dan cucu-cicit keturunannya nanti. Oleh kerana itu ulama tafsir juga mengatakan, Adam adalah manusia pertama yang berbicara dengan menggunakan semua bahasa. Ini juga membawa maksud bahawa, Allah swt telah mengajarkan ilmu kepada Adam dengan nama-namanya terlebih dahulu walaupun Adam sendiri tidak mengetahui kewujudannya. Kata Ibnu Abbas r.huma dan ulama-ulama yang lain, Allah swt mengajarkan kepada Adam nama-nama segala sesuatu seluruhnya, sama ada yang besar mahupun yang kecil.

Lafaz selanjutnya Allah swt menyebut “kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu”, yakni perintah Allah swt kepada Malaikat agar mereka menyebut nama-nama yang telah dipelajari Adam daripadaNya. Lafaz ini sebagai ujian Allah swt terhadap para MalaikatNya mengenai ilmu pengetahuan. Malaikat juga diuji agar mereka mengetahui bahawa walaupun mereka boleh mendapat maklumat mengenai perjalanan alam ini di Lauh Mahfuz, akan tetapi rahsia-rahsia ilmu Allah swt tidaklah mereka ketahui. Ilmu atau maklumat-maklumat di Lauh Mahfuz tidak menjadikan mereka layak dan boleh mengusai semua ilmu-ilmu di dalam alam ini. Tidaklah para Malaikat itu mengetahui sesuatu melainkan apa yang disampaikan dan diajarkan Allah swt kepada mereka. Maksud “Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu”, yakni para Malaikat mengakui tentang hal-hal yang masih mereka tidak ketahui dan tidaklah para Malaikat Allah swt akan mengada-adakan sesuatu atau menyebut sesuatu yang belum mereka ketahui. Perintah Allah swt di atas tidaklah dapat mereka penuhi melainkan mereka segera bertasbih dan mengakui bahawa ilmu yang sedia ada pada mereka hanya sedikit daripada ilmu yang diajar Allah swt buat mereka.

Lafaz pada hujung ayat Allah swt menyebut, “jika kamu memang benar orang-orang yang benar!", yakni jika para Malaikat benar-benar hambaNya yang taat, pasti mereka tidak ada mengadakan-adakan atau merasa bangga dengan ilmu mereka ada. Lafaz ayat ini bukan untuk menghina Malaikat akan tetapi sebagai dalil bahawa Adam mendapat keistimewaan dari sudut ilmu pengetahuan daripada Malaikat-malaikat Allah swt.

Khamis, 22 Mei 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 30


وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ
الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُونَ
Maksudnya :
Ayat 30 : Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
Penafsiran ayat 30 surah al-Baqarah.

Ayat 30

Dalam ayat ini Allah swt menyebut mengenai dialogNya dengan para Malaikat mengenai seorang khalifah yang bakal mentadbir dan menjadi pemimpin di bumi. Lafaz awal disebut “Dan ingatlah ketika” yakni menunjukkan wujudnya hubungan waktu atau masa pada ketika itu dan perbuatan atau perkara ini menunjukkan hal yang telah berlaku dan bukannya pada masa atau waktu akan datang. Ini menunjukkan Allah swt mahu mengalih permerhatian dan pemahaman kita terhadap sesuatu yang telah berlaku. Perlu juga diketahui bahawa, waktu dan masa yang telah berlalu itu tidaklah boleh disamakan dengan waktu atau masa yang berlangsung kepada manusia sekarang dan lafaz yang awal ini menunjukkan tarbiyah Allah kepada kita agar mengingat dan mengambil berat tentang kisah yang pernah berlaku sebelum manusia diciptakan lagi. Sambungan pada lafaz ini “Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat” yakni dialog yang terjadi antara Allah dan para MalaikatNya yang terjadi di suatu alam yang hanya diketahui oleh Allah swt.

Lafaz “Tuhanmu” yakni “Rabb” bermaksud al-Maalik (Raja), as-Sayyid (Tuan), al-Muslih (Yang Memperbaiki) dan al-Jabir (Yang Memaksa). Rabb juga dimaksudkan dengan pemilik dan pemimpin semesta alam. Dengan dialog ini, Nabi saw diperintah Allah swt untuk memberitahu umatnya bahawa bangsa manusia telah dipilih oleh Allah swt untuk menjadi khalifah di atas bumi ini. Lafaz “berfirman” yakni berkata, berbicara dan perlu difahami bahawa berkata dan berbicaranya Allah swt dengan para Malaikat bukan wujud huruf-huruf mahupun perkataan. Begitu juga Kalamullah swt juga tidak wujud dengan suara-suara seperti suara makhlukNya. Tidak mustahil bagi Allah swt mengurniakan ilham kepada Malaikat agar mereka memahami apa yang diperkatakan oleh Allah swt dan perkara ini terjadi secara Qodim dan bukannya bersifat baharu.

Lafaz “kepada para Malaikat” yakni makhluk yang diciptakan Allah swt daripada cahaya. Ia merupakan makhluk yang paling banyak diciptakan Allah swt. Malaikat tidak mempunyai jantina, tidak makan dan minum serta taat setia menjalankan perintah Allah swt. Malaikat juga adalah makhluk yang sungguh istimewa kerana ia boleh menukar diri mereka menjadi apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah swt. Mereka juga mempunyai kekuatan yang luar biasa dan tubuh mereka juga berjuta kali ganda besar daripada manusia. Ini juga menjadi dalil bahawa, Malaikat termasuk makhluk yang ciptakan Allah swt dan menjadi rukun serta wajib mempercayai kewujudan dan tugas-tugas mereka. Ayat ini sebagai pemberitahuan Allah swt terhadap para MalaikatNya dan bukannya untuk meminta pandangan atau bermesyuarat dengan MalaikatNya itu tentang khalifah yang akan dijadikanNya nanti.
Selanjutnya Allah swt menyebut “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”, yakni seorang khalifah atau penganti untuk memimpin dunia yang akan dijadikanNya. Ada juga ulama mengatakan bahawa, khalifah tersebut telah diciptakan Allah swt dan kemudian barulah hal itu diberitahukan kepada para MalaikatNya. Ulama menafsirkan bahawa, “bumi” yang dimaksudkan ialah Mekah kerana Mekah adalah induk atau asas bagi bumi. Diriwayatkan juga bahawa Nabi Adam a.s. adalah Nabi Allah yang pertama yang diturunkan kebumi untuk menjadi pemimpin buat manusia dan Baginda telah turun di Hindi (India) ketika itu. Lafaz “khalifah” membawa maksud orang yang mengganti orang yang sebelumnya yang telah ada dibumi yakni para Malaikat atau mungkin makhluk selain Malaikat. Ada juga yang mengatakan bahawa, bumi telah didiami oleh makhluk-makhluk daripada bangsa Jin dan akan tetapi makhluk daripada bangsa ini telah merosakkan dan melanggar aturan-aturan di bumi pada masa itu. Kemudian Allah swt menghancurkan mereka dan diganti dengan para Malaikat dan Jin yang taat untuk mendiami bumi. Maka hiduplah daripada kedua jenis makhluk ini dengan beribadah kepada Allah swt siang dan malam sehinggalah Allah swt memutuskan untuk menjadikan bangsa manusia sebagai penganti dari Malaikat dan Jin dalam urusan pentadbiran dan undang-undang di bumi. “Khalifah” yang pertama itu ialah Adam a.s.
Lafaz yang selanjutnya Allah swt menyebut, “mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah”, yakni para Malaikat bertanya kepada Allah swt untuk meminta kepastian tentang penciptaan Adam. Perlulah diketahui bahawa pertanyaan para Malaikat kepada Allah swt bukan bermaksud untuk menolak atau wujud rasa dendam dan iri hati terhadap keturunan Adam a.s. Ulama tafsir mengatakan bahawa, Malaikat bertanya kepada Allah swt soalan yang begitu kerana mereka telah melihat tabiat jin yang dicipta sebelum Adam membuat kerosakan di bumi dan mereka suka bunuh-membunuh sesama mereka. Kata Ibnu Umar r.hu, “Jin telah dicipta dua ribu tahun sebelum Adam a.s. Mereka (jin) telah membuat kerosakan dibumi dengan menumpahkan darah (bunuh-bunuhan). Kemudian Allah swt menghantar para Malaikat yang merupakan tentera-tentera Allah swt untuk mengusir mereka ke pulau-pulau.” Kata Hasan al-Basri pula, “para Malaikat telah diberi ilham mengenai hal itu, kemudian mereka meminta penjelasan”.

Dalam riwayat lain dikemukan bahawa, Allah swt telah mengkhabarkan kepada para Malaikat bahawa daripada keturunan khalifah itu ada kaum yang akan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah di bumi. Oleh kerana itulah para Malaikat pun menyatakan hal itu dan mungkin wujud rasa kehairanan dengan perbuatan Allah swt yang bakal menciptakan khalifah yang akan melakukan maksiat kepadaNya. Mungkin juga Malaikat merasa pelik dengan dua sifat yang berlawanan dan berlainan yang ada pada khalifah sebagai pengislah dan pembuat kerosakkan di bumi.

Lafaz selanjutnya Allah swt menjelaskan, “padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?”, yakni kata Malaikat bahawa mereka adalah makhluk yang sentiasa mengagungkan sifat-sifat Allah swt dan sentiasa memuji Allah swt serta sentiasa membesarkan Allah swt dalam segala hal. Para ulama tafsir khilaf mengenai tasbih para Malaikat. Dua sahabat Nabi saw iaitu Ibnu Mas`ud dan Ibnu Abbas berpendapat bahawa tasbih para Malaikat ialah solat. Ulama tafsir yang lain pula berpendapat bahawa, tasbih Malaikat ialah ucapan Subhanallah dan ini telah dimaklumi dikalangan bangsa Arab. Dalam hadis telah disebutkan bahawa Nabi saw pernah ditanya, “perkataan apakah yang paling utama?”, lalu baginda menjawap, “Apa yang telah dipilih oleh Allah swt untuk para MalaikatNya atau para hambaNya iaitu Subhanallahi wa bihamdihi”. Sahabat Nabi saw yang bernama Tholhah bin `Ubaidullah pernah bertanya kepada Nabi saw mengenai maksud Subhanallah, maka jawap baginda, “Ia bermaksud menyucikan Allah `azza wa Jalla dari segala yang buruk”, yakni membersihkan nama Allah swt daripada bersifat dengan sifat buruk.

Maksud “dengan memuji Engkau” yakni para Malaikat menambah dalam ucapan atau perbuatan tasbih dengan memuji Allah swt. Sepertimana lazimnya difahami ialah, lafaz pujian terhadap Allah swt dengan menyebut “Alhamdulillah”.

Maksud “dan mensucikan Engkau” yakni para Malaikat membesarkan, mengagungkan dan menyucikan sebutan kepada Allah swt daripada apa yang tidak layak dengan sifat-sifatNya sepertimana yang dikatakan atau yang difahami oleh orang-orang kufur. Ulama lain pula mengatkan, para Malaikat sentiasa mengharapkan keredhaan Allah swt dengan menghadapkan diri mereka terhadap Allah swt. Dalam riwayat lain, Taqdis bermaksud solat sepertimana tasbih. Dalam kitab tafsir ada juga yang menakwil dengan maksud begini, “Padahal kami tidak pernah melakukan maksiat kepadaMu dan kami tidak pernah melakukan sesuatu yang tidak Engkau sukai”. Wa Allahu `Alam.

Lafaz yang selanjutnya disebutkan “Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”, yakni mengenai urusan ilmu Allah swt. Para Malaikat Allah swt juga tidak mengetahui tentang khalifah yang dimaksudkan Allah swt. Daripada khalifah itu adanya para Nabi, Rasul, kaum yang soleh yang terdiri daripada siddiqin dan syuhada` serta penghuni syurga. Ini membawa maksud Allah swt lebih mengetahui tentang tujuan penciptaan manusia pertama sebagai khalifah di bumi daripada para Malaikat atau pengetahuan yang ada pada mereka. Dialah Allah swt yang Maha Mengetahui apa yang telah terjadi dan apa yang bakal terjadi serta apa yang terus terjadi, menunjukkan lafaz ayat ini bersifat umum. Ini menunjukkan bahawa Allah swt lebih mengetahui tentang siapakah yang sebenarnya ahli taat dan siapakah sebenarnya ahli maksiat.

Selasa, 20 Mei 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 29


هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَوَاتٍ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Maksudnya :
Ayat 29 : Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia beristawa di langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. dan Dia Maha mengetahui segala sesuatu.
Penafsiran ayat 29 surah al-Baqarah.

Ayat 29 :

Dalam ayat ini Allah swt telah menjelaskan bahawa, Dialah Tuhan yang telah menjadikan segala apa yang ada di bumi daripada segala nikmatnya untuk manusia. Maksud “kholaqo lakum” yakni Dia (Allah) menjadikan apa sahaja di bumi demi atau disebabkan kamu (manusia). Hikmah disebalik kejadian tersebuat adalah agar manusia sentiasa merenung bukti keEsaan dan kePerkasaan Allah swt Yang Maha Menciptakan. Tidaklah Allah swt menjadikannya melainkan untuk dimanfaatkan dengan cara aturan yang telah digariskan Allah swt di dalam agamanya. Begitu juga dengan segala ciptaan-ciptaan Allah swt tadi dapat digunakan buat manusia dalam menguatkan diri beribadah dan taat dan bukannya untuk digunakan dalam hal-hal kemaksiatan.

Begitu juga, bukan hanya bumi ini disediakan buat manusia sahaja akan tetapi Allah swt dengan rahmat dan kasih sayangNya telah menundukkan bumi ini untuk kemudahan manusia. Sepertimana firmanNya :
Maksudnya : Dan Dia telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir. Al-Jasiyah ayat 13.

Ulama juga menafsirkan dengan mamsud ayat “Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu” yakni Allah swt mengkhabarkan kepada manusia bahawa hanya Dialah sahaja Tuhan yang telah menciptakan bumi atau dunia ini buat mereka. Daripada sudut syariat dan undang-undang Islam, hal ini menjadi dalil atau bukti keEsaan Allah swt dan sedangkan bumi menjadi sarana kehidupan untuk mengabdikan diri hanya untuk Allah swt.

Daripada kalangan ulama-ulama Islam menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa “segala sesuatu pada asalnya hukumnya harus melainkan ada dalil yang menunjukkan larangannya”. Sebagai penafsirannya juga, Allah swt hanya menyebutkan ayat ini pada kedudukan pembuktian (KetuhananNya). Dengan itu ayat ini Allah swt memberikan peringatan tentang ilmu dan kekuasaanNya, bagaimana Dia mengeuruskan semua makhluk berdasarkan kepada takdir yang ditetapkanNya dan bagaimana ilmu pengetahuan itu berperanan penting sama ada memajukan atau memundurkan mengikut kehendak Allah swt. Fiman Allah swt :
Maksudnya : Katakanlah: sesungguhnya patutkah kamu kafir kepada yang menciptakan bumi dalam dua masa dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya? (yang bersifat) demikian itu adalah Rabb semesta alam. Dan Dia menciptakan di bumi itu gunung-gunung yang kokoh di atasnya. Dia memberkahinya dan Dia menentukan padanya kadar makanan-makanan (penghuni)nya dalam empat masa. (Penjelasan itu sebagai jawaban) bagi orang-orang yang bertanya. Fussilat ayat 9 dan 10.

Jadi jelaslah bahawa Dialah Tuhan yang telah menciptakan bumi ini buat manusia. Dialah yang telah menjadikan bukit-bukau sebagai pasak bagi bumi dan Dialah juga yang telah memberkahi terhadap apa yang di telah ciptakan serta penentuan bahan-bahan keperluan yang mencakupi aneka jenis makanan berupa buah-buahan, bijirin-bijirin, tumbuh-tumbuhan, haiwan-haiwan dan sebagainya. Sesungguhnya Allah swt menjadikan semua itu untuk manusia sebagai langkah awal memenuhi keperluan dan persediaan mereka untuk menutupi kefakiran mereka.

Maksud “segala yang ada di bumi” yakni apa yang telah dilihat, disentuh, digunakan, dikaji, baik di laut mahupun di daratan adalah untuk kehendak dan keperluan manusia dan Allah swt tidak memerlukan semua itu dan Dialah yang bermurah hati memberikan semua itu kepada manusia tanpa terlebih dahulu manusia meminta padaNya. Ini menunjukkan bahawa kehidupan di dunia telah dipermudahkan buat manusia seluruhnya dan mereka juga telah dibekali dengan akal fikiran untuk memahami aturan atau tata cata penggunaanya mengikut garis-garis panduan dalam manhaj agama Allah swt agar sesuatu yang digunakan itu tidak wujud mudarat (bahaya), kerugian dan penindasan sesama manusia.

Ayat ini senada dengan ayat 4 dalam surah as-Sajdah, yakni firmanNya :
Maksudnya : Allahlah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy.
Kaitan antara ayat 29 dalam surah al-Baqorah dengan ayat 4 dalam surah as-Sajdah ialah :

1. Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan mengenai sifat KeagunganNya (Jalal al-Muthlaq) dan sifat KeindahanNya (Jamal al-Jamal) yang telah menciptakan makhluk yang bernama langit dan bumi serta Dialah juga Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk yang wujud di antara langit dan bumi. Ayat ini menunjukkan juga sifat Wahdaniyah (Zat Yang Maha Tunggal) yang menciptakan makhluk dengan wujud zahir dan batin, yang terlihat dan yang ghaib. Inilah juga yang disebut sebagai risalah Tauhid yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw sewaktu berdakwah dan ayat ini sebagai dalil atau bukti bahawa Dialah Allah yang telah menciptakan apa yang dipijak oleh manusia yakni bumi dan apa yang dilihat manusia mengenai keindahan di langit dan perubahannya (siang dan malam).
2. Allah swt juga telah menamakan DiriNya dengan Zat Yang Maha Berkuasa Menciptakan (Al-Khaliq) dan yang diwujudkan oleh Al-Khaliq adalah dipanggil makhluk. Ayat ini mengajar manusia agar sentiasa menghayati sifat Allah swt Yang Maha Bijaksana yang telah menciptakan sesuatu tanpa rujukan tetapi berwujud pelbagai rupa keindahan yang sungguh menakjubkan. Inilah sifat Kebesaran Allah swt yang telah diperlihatkan kepada makhlukNya. Maka selayaknya bagi Al-Khaliq itu mendapat pujian daripada makhlukNya sepertimana firmanNya :

Maksudnya : Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

3. Dalam ayat ini Allah swt menyebut langit menyebut dengan lafaz "as-samaawaati" yakni langit-langit dengan lafaz jamak. Ini bermaksud jumlah langit yang dicipta Allah swt ialah sebanyak tujuh lapis. Sepertimana firmanNya :
Maksudnya : Dia lah Yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit Yang berlapis-lapis. Al-Mulk : 3

FirmanNya lagi :
Maksudnya : Dan demi sesungguhnya, Kami telah menciptakan tujuh jalan di atas kamu (tujuh lapis langit). Al-mukminun : 17
FirmanNya lagi :
Maksudnya : Allah lah yang telah menciptakan tujuh petala langit dan (ia menciptakan) bumi seperti itu.

4. Allah swt telah menghubungkan pada penciptaan langit itu wujudnya hubungan antara makhluk di bumi dengan langit tersebut. Dalam ayat-ayat al-Quran, Allah swt menjelaskan bahawa langit membawa erti yang sungguh bermakna bagi orang-orang yang mahu memikirkannya. Antaranya dari langitlah diturunkan akan wahyu al-Quran, tentera-tentera Allah, berkah, rahmat, hujan dan sebagainya.
5. Selanjutnya pada lafaz yang selanjutnya Allah swt menyebut mengenai penciptaan bumi. Ini menunjukkan bahawa bumi dan langit saling berkaitan. Maha Bijaksana dan Maha Kuasa Allah swt kerana makhluk yang pertama yang dicipta Allah swt untuk KhalifahNya adalah bumi dan langit. Bumi adalah tempat tinggal bagi manusia, disitulah ia hidup dan disitu juga ia akan mati serta di situ jugalah ia akan dibangkitkan. Bumi yang dihamparkan Allah swt buat manusia mengalami perubahan mengenai kesuburannya. Disini langit mengambil peranan untuk menyuburkan bumi yang kering dengan diturunkan air hujan daripada langit.

Antara perbezaan antara dua-dua ayat ini ialah, di dalam ayat 29 surah al-Baqorah Allah swt tidak menyebut mengenai lafaz “langit” dan dalam surah as-Sajdah lafaz “langit” disebutkan untuk menunjukkan hubungan terhadap penciptaan langit dan bumi dalam kehidupan manusia. Perbezaannya lagi ialah mengenai “beristawa” ke langit dan “beristawa” di atas `Arasy. Insya Allah akan dijelaskan.
Maksud pada lafaz “dan Dia beristawa di langit” atau “kemudian Allah beristawa ke langit”, yakni ayat ini menunjukkan mengenai ayat mutasyabihat (samara-samar penafsirannya). Ia termasuk ayat yang sukar untuk difahami dan sukar ditafsirkan dan kebanyakkan ulama-ulama berpendapat bahawa kita hanya perlu membaca dan beriman dengannya tetapi tidak perlu menafsirkannya. Kata Imam Malik, “Beristawa itu lumrah difahami ramai, kaedahnya tidak dapat ditanggapi akal, namun beriman dengannya adalah wajib, manakala bertanya mengenai adalah bid`ah (bid`ah mazmumah – perbuatan yang tercela)”. Daripada sudut aqidah ahli sunnah wal jama`ah, “istawa” dalam ayat ini membawa maksud “berkehendak untuk membuatnya”, atas dasar maksud jika ditafsirkan “kemudian Allah swt berkehendak untuk menciptakan langit”.

Dalam penafsiran yang lain, “istawa” membawa maksud menuju, yakni lafaz “summa” untuk susunan pemberitahuan dan jika ditafsirkan ia membawa maksud “Dan (Dia) berkehendak menuju ke langit”. Daripada sudut bahasa “istawa” membawa maksud “naik dan tinggi di atas sesuatu”. Dalam penafsiran yang lain, “istawa” bermaksud “menuju”, kerana bermaksud atau berkehendak menciptakan langit dan penafsiran ini jelas jika disifatkan kepada sifat-sifat Allah swt (al-Qashdu) bermaksud dan (al-Iradah) berkehendak. Jika penafsirannya ialah “Kemudian (Dia) berkehendak menuju ke langit”. Dalam penafsiran yang lain, “istawa” bermaksud “naik”, yakni jika ditafsirkan ia bermaksud “kemudian (Dia) naik ke langit”. Di kalangan ulama tafsir juga berbeza pendapat mengenai penafsiran yang dikaitkan dengan maksud “tinggi dan naik”. Persoalannya, siapakah yang tinggi (menunjukkan tempat) dan naik (menunjukkan perbuatan) di sini?, dikalangan mereka mengatakan bahawa yang tinggi dan naik ke langit itu adalah Allah swt dan pendapat yang lain mengatakan yang tinggi dan naik ke langit itu adalah asap yang dijadikan Allah swt sebagai langit bagi bumi. Di kalangan orang arab sendiri, semua maksud dan takwil di atas boleh sahaja digunakannya. Bahkan “istawa” atau maksud asal kalimahnya “al-istiwa” boleh dimaksudkan sebagai stabil atau keadaan yang lurus daripada keadaan bengkok. Dalam maksud lain di ertikan dengan “seseorang yang telah berada di puncaknya”. Ada ulama yang menyebutnya dengan maksud menguasai. Apapun hal ini jika dikaitkan dengan ayat di atas, maka akan wujud penakwilan. At-Thobary mengatakan bahawa, penakwilan yang tepat ialah “kemudian (Dia) naik dan berada tinggi ke atasnya lalu menguasainya dengan kekuasaanNya dan menciptakannya menjadi tujuh lapis langit”. Perlu difahami juga bahawa penakwilan dalam ayat ini bukan menunjukkan bahawa Dia (Allah) naik ke atas langit itu bukan menunjukkan kepada perbuatan tetapi secara penguasaan dan peraturan yang di merupakan daripada Sifat-sifat Allah swt.

Dalam ayat ini juga menunjukkan bahawa Allah swt telah menciptakan bumi terlebih dahulu daripada langit. Telah berkata di kalangan sahabat Nabi saw, sesungguhnya Arsy Allah swt berada di atas air dan Allah swt tidak tidaklah Allah swt menciptakan sesuatu sebelum air. Kemudian apabila Allah swt berkehendak untuk menciptakan makhlukNya maka Dia telah mengeluarkan asap daripada air tadi. Daripada asap tadi lalu ia beredar ke atas ibarat menjadi bumbung yang tinggi di atas air. Maka oleh kerana itulah langit dinamai dengan “as-samaa`” yakni atap atau bumbung dalam keadaan tinggi ke atas). Kemudian Allah swt memisahkan bumi ibarat dipecahkan menjadi tujuh lapis dalam 2 hari dan disebutkan hal itu berlaku pada hari Ahad dan Isnin. Diceritakan lagi bahawa sewaktu itu bumi diletakkan di atas seekor ikan besar yang bernama Huut. Huut ini merupakan sejenis ikan besar yang telah disebutkan Allah swt dalam awal surah al-Qolam dan ia berada di dalam air dan manakala air itu berada di atas sebuah batu besar yang bersinar. Batu itu pula berada di atas seorang malaikat dan malaikat itu pula berada di atas sebuah batu yang lebih besar lagi. Selanjutnya diceritakan lagi, batu yang besar itu berada di atas angina dan batu besar ini yang dikatakan oleh Luqman al-Hakim “Batu besar ini tidak berada di langit mahupun di bumi”. Kemudian Huut ini bergerak dan menyebabkan bumi turut bergerak dan bergegar. Maka Allah swt menjadikan gunung-ganang, bukit-bukau di bumi dan ketika itu juga bumi berhenti bergerak dan bergegar (bergoncang), sepertimana yang difirmankan oleh Allah swt dalam surah an-Nahl ayat 15 yang bermaksud “Dan Dialah Allah yang telah memasakkan gunung-gunung di bumi agar bumi itu tidak bergerak dan bergoncang bersama kamu”. Kemudian disebutkan juga sambungannya dalam sebuah hadist yang panjang yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.huma dari Murrah al-Hamdani dari Ibnu Mas`ud r.hu dan dalam riwayat lain daripada Ibnu Abbas r.huma sendiri.

Lafaz selanjutnya di sebutkan “lalu dijadikan-Nya tujuh langit”, yakni kemudian Allah swt menyempurnakan penciptaan langit dengan wujud tujuh lapis dan setiap lapis-lapis itu telah ditetapkan dan di atus urusan lapisan langit masing-masing. Telah menjadi sepakatan umat Islam bahawa, langit telah diciptakan Allah swt sebanyak tujuh tingkat atau tujuh lapis. Disebutkan bahawa jarak antara satu langit ke satu langit yang lain ialah kira-kira 500 tahun perjalanan. Telah disebutkan juga bahawa, langit diciptakan sebagai atap bagi bumi tanpa bertiang dan wujud cahaya serta langit juga akan turut binasa bersama bumi ketika terjadinya kiamat.
Lafaz yang berada di hujung ayat disebutkan “dan Dia Maha mengetahui segala sesuatu”, yakni ilmu pengetahuan Allah swt meliputi terhadap seluruh makhluk yang diciptakanNya. “Al-Alim” adalah salah satu daripada nama-nama Allah swt yang Agung. Di dalam al-Quran disebutkan lebih daripada lima puluh ayat. Perkataan “al-Alim” di ambil daripada perkataan “Alima” yakni yang menunjukkan bahawa ilmu itu itu tersangatlah tinggi dan tidak dapat dicapai oleh makhluk ciptaanNya. Firman Allah swt dalam surah al-An`am ayat 59:
Maksudnya : Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)".

Dalam ayat ini Allah swt telah menyifatkan diriNya sebagai “Alim” yakni yang Maha Mengetahui dan Dia tidak menyifati diriNya dengan “Arif” kerana ma`rifah didahului dengan ketidaktahuan sebelumnya sedangkan Allah adalah bersifat Qodim. Para ulama juga menyebut bahawa, sifat Maha Mengetahui Allah swt tidak berubah mengikut perubahan maklumat, begitu juga Allah swt tidak menyibukkan diriNya dengan ilmu dan Maha Mengetahui Allah tanpa wujud had dan halangan.

Sabtu, 17 Mei 2008

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 28


كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنْتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Maksudnya :
Ayat 28 : Mengapa kamu kafir kepada Allah, padahal kamu tadinya mati, lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkanNya kembali, kemudian kepadaNyalah kamu dikembalikan?
Penafsiran ayat 28 surah al-Baqarah.

Ayat 28 :

Dalam ayat ini Allah swt memulai dengan menyebut lafaz istifham (pertanyaan). Allah swt menyebut “kaifa” yakni “mengapa atau bagaimana”, lafaz ini dikaitkan untuk menanyakan sesuatu keadaan. Perlu diketahui bahawa Allah swt menyebut lafaz pertanyaan dalam ayat ini bukan untuk mengetahui sesuatu keadaan, akan tetapi Allah swt meminta penjelasan kepada yang di tanya mengenai tindakan dan perbuatan mereka. Mereka yang di tanya itu adalah orang-orang kafir dari kalangan ahli kitab (yahudi dan nasrani) kerana Allah swt telah menyebut “Mengapa kamu kafir kepada Allah”, yakni lafaz ini menunjukkan wujudnya manusia yang mengingkari dan menolak agama Islam yang suci yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Mereka tidak menyakini tentang Nabi Muhammad saw sebagai Rasul Allah, begitu juga tidak membenarkan apa yang dibawa oleh baginda saw. Mereka telah menjadi kafir kerana tidak menyakini bahawa al-Quran itu datangnya daripada Allah swt. Oleh itu, barangsiapa yang menolak al-Quran maka ia telah menyekutukan Allah swt dan menjadi orang yang melanggar perjanjian sepertimana dalam ayat ke 27 sebelum ini.

Maksud ayat “Mengapa kamu kafir kepada Allah”, yakni bagaimanakah kamu boleh mengingkari kewujudan dan kekuasaan Allah swt?, sedangkan Dialah yang telah menciptakan kamu, bumi, langit dan seluruh alam ini. Bagaimanakah kamu boleh mencari sembahan-sembahan selain daripada Allah?, sedangkan dikalangan kamu ada seorang Rasul yang menerangkan kebenaran dan menjelaskan kitab wahyu al-Quran. Sepertimana firmanNya :
Maksudnya : Wahai ahli Kitab, mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah, padahal kamu mengetahui (kebenarannya).
Ali Imran ayat 70.

Ayat-ayat Allah yang dimaksudkan ialah al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dan puak yahudi dan nasrani telah mengingkarinya. FirmanNya lagi :

Maksudnya : Bagaimanakah kamu (sampai) menjadi kafir, padahal ayat-ayat Allah dibacakan kepada kamu, dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu? Barangsiapa yang berpegang teguh kepada (agama) Allah, Maka Sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus. Ali Imran ayat 101.

Lafaz yang selanjutnya Allah swt menyebut, “padahal kamu tadinya mati, lalu Allah menghidupkan kamu”, yakni kata Ibnu Abbas r.huma, mati yang dimaksudkan ialah sebelum manusia dijadikan mereka hanya wujud sebagai benih-benih yang berada di dalam tulang sulbi ayah mereka, kemudian tatkala manusia diciptakan hasil persenyawaan benih-benih tadi maka wujudlah makhluk yang bernama manusia dan ini yang dimaksudkan dengan “lalu Allah menghidupkan kamu” yakni menjadi manusia. Inilah juga yang disebutkan Allah swt dalam surah al-Insan ayat 1,
Maksudnya : Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut?.
Ayat ini menjelaskan mengenai keadaan manusia bahawa Dialah Tuhan yang telah menciptakan dan mengadakan manusia (yakni menghidupkan manusia) kea lam dunia ini, padahal sebelumnya manusia bukanlah merupakan sesuatu yang disebut-sebut kerana terlalu hina dan sangat lemah (wujud berupa benih dalam tulang sulbi).

Allah swt juga telah berfirman,
Maksudnya : Mereka menjawab: "Ya Tuhan Kami Engkau telah mematikan Kami dua kali dan telah menghidupkan Kami dua kali (pula), lalu Kami mengakui dosa-dosa kami. Al-Mukmin ayat 11.
Disebutkan oleh Ibnu Abbas r.huma, bahawasanya sebelum manusia diciptakan mereka wujud dalam keadaan tanah dan hal ini dinilai sebagai satu kematian. Kemudian Allah swt menciptakan manusia dan ini dinilai sebagai satu kehidupan. Inilah yang dimaksudkan ayat “padahal kamu tadinya mati, lalu Allah menghidupkan kamu”.

Lafaz selanjutnya Allah swt menyebut, “kemudian kamu dimatikan dan dihidupkanNya kembali”, yakni setelah diciptakan manusia dan hiduplah manusia dengan jangka masa yang ditetapkan oleh Allah swt di dunia ini, maka manusia akan dimatikan. Setelah manusia dimatikan mereka akan berada di alam kubur yang dinamai sebagai alam barzakh yakni alam yang memisahkan dengan alam akhirat. Allah swt mematikan manusia dengan dicabut ruh pada jasad manusia. Maka ketika itu jasad tidak akan berfungsi dan akhirnya hancur menjadi tanah kembali sepertimana asal kejadiannya. Setelah beberapa ketika manusia di alam barzakh, maka Allah swt membangkitkan kembali mereka semuanya untuk dihitung akan amalan-amalan mereka di padang mahsyar dan inilah dinamai dengan alam akhirat. Ini juga yang dijelaskan Allah swt, “dan dihidupkanNya kembali”. Inilah juga yang difirmankan oleh Allah swt,
Maksudnya : Katakanlah: Allah-lah yang menghidupkan kamu kemudian mematikan kamu, setelah itu mengumpulkan kamu pada hari kiamat yang tidak ada keraguan padanya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Al-Jasiyah ayat 26.

Selanjutnya Allah swt menyebut, “kemudian kepadaNyalah kamu dikembalikan”, yakni Allah swt membangkitkan manusia pada hari qiyamat untuk diminta pertanggungjawapan. Ayat ini sebagai penawar dan penyejut hati orang yang beriman kerana orang beriman bakal bertemu Allah swt. Di dalam pertemuan itu juga Allah swt akan membalas dengan semua amalan kebaikan yang dilakukan dengan balasan syurga. Orang yang beriman akan merasai nikmat-nikmat syurga yang telah dijanjikan oleh Allah swt buat mereka. Tidaklah hal ini terjadi melainkan terlebih dahulu Allah swt membangkitkan dan membawa manusia untuk di hisab di padang mahsyar. Ini juga membawa maksud, kita ini datang daripada Allah swt dan hanya kepadaNya kita akan kembali sepertimana yang disebutkanNya, “kemudian kepadaNyalah kamu dikembalikan”. Manakala kaum kafir, kaum anti Tuhan dan ahli falsafah sesat merupakan kaum yang mengingkari hari kebangkitan. Kereka ini tidak mempercayai bahawa manusia diciptakan atau dihidupkan semula setelah mati. Tentunya bagi kaum yang anti Tuhan pasti mengingkari hari pertemuan manusia dengan Tuhan kerana mereka mengingkari wujudnya Tuhan. Sebenarnya mereka tidak memiliki alasan baru kerana apa yang difahami mereka adalah sama seperti apa yang pernah dikatakan oleh kaum-kaum bodoh (jahiliah) atau arab musyrikin pertama. Sepertimana firman Allah swt dalam surah Al-Jasiyah ayat 24 :
Maksudnya : Dan mereka berkata: Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia saja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang akan membinasakan kita selain masa dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu. Mereka tidak lain hanyalah menduga-duga saja.

Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan mengenai kaum anti Tuhan atau dinamakan dengan Dahriyyah dari kalangan puak kafir dan puak arab musyrikin arab yang mengingkari hari berbangkit dan pertemuan manusia dengan Allah swt. Mereka mengatakan Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia saja”, yakni mereka berpendapat bahawa tiada kehidupan melainkan kehidupan di dunia sahaja. Anggapan mereka bahawa ada kaum yang mati dan ada kaum yang hidup dan tidak ada hari kemudian (bangkit daripada alam barzakh) serta tidak ada hari yang dinamakan akhirat. Bahkan mereka berpendapat bahawa setiap tiga puluh enam ribu tahun segala sesuatu akan kembali seperti semula dan mereka menduga bahawa hal ini berlaku berulang-ulang tanpa batas. Mereka membesarkan akal dan hanya berhujah dengan akal semata-mata serta menolak firman-firman Allah swt melalui Rasul yang diutusNya. Oleh kerana itulah mereka mengatakan “dan tidak ada yang akan membinasakan kita selain masa”. Ini membawa maksud bahawa mereka adalah kaum yang telah mencaci masa yang telah diciptakan Allah swt. Sepertiman sabda Nabi saw, “Puak jahiliyah telah mengatakan bahawa : “sesungguhnya yang membinasakan kita adalah malam dan siang (masa)”. Sabda Nabi saw lagi, “Allah swt telah berfirman, Anak Adam menyakitiKu, mereka telah mencaci masa, padahal Akulah yang menciptakan masa, di tangan (kekuasaanKu) urusan itu, Akulah yang menggilirkan malam dan siang harinya”. Sabdanya lagi, “Janganlah kamu mencaci masa kerana sesungguhnya Allah swt yang menciptakan masa itu”. Allah swt juga telah berfirman,
Maksudnya : Dan Dialah yang menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan)nya kembali, dan menghidupkan kembali itu adalah lebih mudah bagi-Nya. dan bagi-Nyalah sifat yang Maha Tinggi di langit dan di bumi; dan Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Ar-Rum ayat 27.

Ayat ini jelas menunjukkan kebenaran hari berbangkit dan hal sangat mudah bagi Allah swt untuk menghidupkan kembali manusia di akhirat kelak.

Lafaz ayat “kamu dikembalikan”, mempunyai dua maksud. Pertama: Jika dibaca huruf ta` dengan baris hadapan (turja`un), ertinya manusia dipaksa untuk kembali kepada Allah swt tapa ada keinginan darinya dan bacaan ini dikhususkan untuk orang-orang kafir. Kedua: Jika dibaca huruf ta` dengan baris atas (tarji`un), ertinya manusia kembali dengan keinginan sendiri dan bacaan ini dikhususkan untuk orang yang beriman. Wa Allahu `alam.

Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 27


الَّذِينَ يَنْقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ أُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Maksudnya :
Ayat 27 : Ayat 27 : (yaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerusakan di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi.

Penafsiran ayat 27 surah al-Baqarah.

Ayat 27 :
Setelah Allah swt menerangkan kepada kita pengertian iman yang hakiki, kemudian ia menjelaskan kepada kita bahawasanya orang fasiq ialah orang-orang yang jauh dari manhajNya, maka pada ayat ini Allah swt menerangkan kepada kita sifat-sifat orang fasiq. Sifat-sifat mereka dalam ayat ini ayat tiga, yakni:

Pertama : “(yaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh”.
Kedua : “dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya”.
Ketiga : “dan membuat kerusakan di muka bumi”.

Dengan sifat-sifat fasiq ini menjadikan mereka sebagai orang-orang yang rugi dalam kehidupan mereka dan akhirnya di akhirat mereka akan di azab dengan siksaan pedih di neraka. Ini membawa maksud kehidupan mereka secara hakikatnya tidak membuahkan hasil yang menguntungkan walaupun secara zahirnya mereka adalah manusia yang bersusah-payah dan berusaha untuk mendapat kejayaan dalam hidup mereka. Usaha dan kerja keras mereka tidak mendatang manfaat buat mereka di dunia dan akhirat.
Maksud ayat “(yaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh”, yakni orang-orang fasiq telah melanggar perjanjian asal mereka dengan Allah swt. Ini telah disebutkan oleh ulama aqidah mengenai bab perjanjian Adam dan anak cucunya kepada Allah sebelum mereka Dialahirkan. Sepertimana firmanNya :

Maksudnya : Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah aku ini Tuhanmu?" mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuban kami), Kami menjadi saksi". (kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya Kami (Bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)". Al-`Araf ayat 172.

Dalam ayat ini. Allah swt mengkhabarkan bahawa Dia telah mengeluarkan anak cucu Adam dari sulbi-sulbi mereka sambil mempersaksikan atas diri mereka sendiri bahawa Allah swt adalah Tuhan (Rabb) dan pemilik mereka dan bahawasanya tidak ada yang berhak di ibadahi melainkan hanya Allah swt.

Ada juga ulama tafsir yang berpendapat bahawa, perjanjian yang dimaksudkan ialah wasiat Allah swt kepada makhluknya agar mereka mentaati perintahNya dan larangan buat mereka agar jangan melakukan maksiat sepertimana yang telah termaktub di dalam kitab-kitabNya.

Begitu juga ada ulama tafsir yang berpendapat perjanjian itu ialah janji yang diambil Allah swt dari orang-orang yang telah diberi Kitab. Janji buat mereka agar jangan menyembunyikan kebenaran kerasulan Nabi Muhammad saw. Allah swt telah mengambil janji dari mereka agar tidak mengingkari Nabi saw sepertimana Allah swt juga telah mengambil janji buat para Nabi dan orang-orang yang mengikuti mereka. Sepertimana yang difirmankanNya :

Maksudnya : Dan (ingatlah), ketika Allah mengambil Perjanjian dari Para nabi: "Sungguh, apa saja yang aku berikan kepadamu berupa kitab dan Hikmah kemudian datang kepadamu seorang Rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, niscaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya". Allah berfirman: "Apakah kamu mengakui dan menerima perjanjian-Ku terhadap yang demikian itu?" mereka menjawab: "Kami mengakui". Allah berfirman: "Kalau begitu saksikanlah (hai Para Nabi) dan aku menjadi saksi (pula) bersama kamu". Ali Imran ayat 81.

Ayat ini menjelaskan bahawa para Nabi berjanji kepada Allah s.w.t. bahawa apabila telah datang seorang Rasul bernama Muhammad mereka akan beriman kepadanya dan menolongnya. Perjanjian Nabi-nabi ini mengikat pula para ummatnya. Daripada uslub bahawa dalam ayat ini, ayat ini menunjukkan sifat bagi orang kafir dan bukannya orang mukmin. Kerana seorang yang mukmin tidak akan melanggar segala perintah larangan Allah swt dan beramal soleh dalam melaksanakan segala perintah suruhanNya.

Ayat ini juga dapat dikaitkan dengan ayat 25 dalam surah ar-Rad dengan firmanNya :

Maksudnya : Orang-orang yang merusak janji Allah setelah diikrarkan dengan teguh dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan mengadakan kerusakan di bumi, orang-orang. Itulah yang memperoleh kutukan dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk (Jahannam).

Ulama menafsirkan bahawa, ayat ini dikaitkan dengan semua orang kafir, orang musyrik dan orang munafiq. Janji Allah swt buat mereka adalah mengenai masalah Tauhid, masalah perintah dan laranganNya serta mengenai masalah Rasul yang wajib buat mereka beriman dan mengikutinya. Oleh itu, barangsiapa yang mengingkari dan menolak perkara tersebuat maka di akhirat kelak mereka akan dimasukkan kedalam neraka dan mendapat kutukan di atas dunia lagi.

Secara kesimpulannya, maksud ayat “(yaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh”, sifat orang fasiq sentiasa melanggar dan mengkhianati manhaj agama Allah swt. Oleh itu orang mukmin tidak dapat menerima dan mempercayai mereka buat selama-lamanya.

Maksud ayat “dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya”, yakni silaturahim atau hubungan manusia sesama manusia, sepertimana sabda Nabi saw, “Kamu seluruhnya adalah anak Adam dan Adam diciptakan daripada tanah”. Hadis ini menjadi panduan buat manusia bahawa, manusia mempunyai ikatan antara satu sama lain. Oleh itu Allah swt mahu manusia ini mempunyai hubungan persaudaraan agar sesama manusia dapat memperingatkan tentang kebenaran dan risalah Wahyu. Dengan wujudnya hubungan silaturahim maka manusia akan saling bantu-membantu dan memudahkan hubungan kemasyarakatan. Akan tetapi ayat ini jelas menunjukkan sifat orang fasiq yang menolak hubungan silaturahim ini diwujudkan. Mereka menolaknya dengan alasan bahawa kehidupan ini wujud mengikut aturan sendiri tanpa perlu mengikut aturan Allah swt. Ada juga ulama yang mengatakan bahawa, mereka yang mengingkari kebenaran telah memutuskan hubungan kerabat (keluarga) mereka sendiri sepertimana yang difirman Allah swt :

Maksudnya : Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan?. Surah Muhammad ayat 22.

Menurut pendapat yang lain, ayat ini menjelaskan lafaz maksud secara umum yakni mencakupi semua perkara yang diperintahkan Allah swt agar menghubungkan dan mengerjakannya, akan tetapi sifat orang fasiq tetap menutuskan dan meninggalkannya. Ada juga ulama yang mengatakan bahawa, Allah swt memerintahkan agar manusia menyambung perkataan dengan amalan. Akan tetapi di kalangan manusia telah memutuskan antara keduanya dengan hanya mengatakan tetapi tidak mengamalkan apa yang mereka katakan itu.

Maksud ayat “dan membuat kerusakan di muka bumi” yakni mereka telah menyembah selain Allah swt dan melampaui batas dalam perbuatan disebabkan mereka lebih berminat menolak kebenaran menurut hawa nafsu mereka sendiri. Oleh kerana itu, barangsiapa yang membuat maksiat dan kejahatan di bumi Allah swt ini, maka ia termasuk di kalangan orang yang telah membuat kerosakkan di bumi ini. Oleh itu, kerosakkan dan keburukan yang wujud dan berlaku di bumi ini adalah disebabkan perbuatan jahat yang dilakukan oleh manusia sendiri, sepertimana firmanNya :

Maksudnya : Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia…Ar-Rum ayat 41.

Maksud ayat “Mereka itulah orang-orang yang rugi”, yakni perbuatan yang mereka lakukan adalah sia-sia, tidak mempunyai keuntungan buat mereka di dunia dan di akhirat. Ulama juga mengatakan bahawa kerugian buat mereka adalah buat selama-lamanya dan seumur hidup mereka. Pastinya orang yang rugi tidak mendapat kebahagian hidup di dunia dan di akhirat. Mereka hidup tanpa berkah dan rahmat daripada Allah swt. Di akhirat pula mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Ini menunjukkan orang-orang yang rugi pasti mendapat kecelakaan dan kebinasaan di akhirat. Mereka adalah golongan yang menolak dan berminat mencari agama selain dari Islam. Sepertimana firmanNya :

Maksud : Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, Maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu)daripadanya, dan Dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. Ali Imran ayat 85.

Begitu juga barangsiapa yang taat kepada orang-orang kafir nescaya ia akan menjadi orang yang rugi. FirmanNya :

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang yang kafir itu, niscaya mereka mengembalikan kamu ke belakang (kepada kekafiran), lalu jaDialah kamu orang-orang yang rugi. Ali Imran ayat 149.

Oleh itu, barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab ketaatannya) maka dia lah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi. Orang yang rugi pasti akan hilang segala-galanya, sama ada kebahagian mahupun ketenteraman diri. Wa Allahu `Alam.


Ringkasan Tafsir Surah al-Baqorah ayat 26


إِنَّ اللَّهَ لاَيَسْتَحْيِي أَنْ يَضْرِبَ مَثَلًا مَا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا فَأَمَّا الَّذِينَ آَمَنُوا فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَذَا مَثَلًا يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا وَمَا يُضِلُّ بِهِ إلاَّ الْفَاسِقِينَ
Maksudnya :
Ayat 26 : Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, Maka mereka yakin bahwa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: "Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?." dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberi-Nya petunjuk. dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasiq.
Penafsiran ayat 26 surah al-Baqarah.

Ayat 26 :

Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa Dia tidak keberatan untuk membuat perumpaan dengan seekor nyamuk dan seumpamanya, sama ada kecil atau lebih kecil lagi. Justeru itu, kehebatan sebenarnya terletak pada satu perkara iaitu keupayaan dan kuasa mencipta. Perumpamaan hanyalah ditampilkan untuk menjelaskan suatu mesej dan pengertian melalui apa yang diketahui dan disaksikan. Sabda Nabi saw : “Sesungguhnya al-Quran itu turun dengan lima aspek, iaitu yang halal, yang haram, yang muhkam (yang mudah difahami), yang mutasyabihat (yang sukar difahami) dan perumpamaan-perumpamaan. Maka kerjakanlah yang halal dan jauhilah yang haram. Ikutilah yang muhkam dan percayalah pada yang mutasyabihat dan ambillah pelajaran dari perumpamaan-perumpamaannya”. Firman Allah swt :
Maksudnya : Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu. al-`Ankabut ayat 43.
Yakni tiadalah yang dapat memahami hikmah disebalik setiap perumpamaan ayat-ayat al-Quran melainkan orang-orang yang mendalami ilmu pengetahuan mengenai Kitabullah. Pastinya setiap daripada perumpamaan itu perlu direnungi untuk di ambil pengiktibaran daripadanya. Dikatakan juga bahawa, dengan perumpamaan seseorang itu akan mendapat manfaat yang besar dan sangat-sangat berguna buat kehidupan. Tentunya orang-orang yang berilmu itu adalah orang yang benar kefahaman dan sentiasa mengikut petunjuk kebenaran.

Allah swt menyebut “Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk….” , yakni Allah membuat perumpamaan buat mengambarkan dunia. Kata ulama tafsir, nyamuk tetap hidup selagi dalam keadaan lapar tetapi apabil aia telah kekenyangan maka ia pun mati. Demikian buat kaum yang lalai dengan harta benda mereka. Dengan kata lain, apabila mereka merasa puas dengan harta dunia yang melimpah itu, maka saat itulah Allah swt mengazab mereka. Sepertimana Firman Allah swt,
Maksudnya : Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kamipun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekeras-kerasnya. Maka ketika itu mereka terdiam berputus asa. Al-`An`am ayat 44.

Disebutkan bahawa, ketika Allah swt membuat perumpamaan berupa nyamuk, kaum kafir memahaminya dengan pengertian tersurat tanpa memahami maksud yang tersirat, maka mereka berkata : “Apa maksud dan tujuan perumpamaan yang dikaitkan dengan nyamuk yang kecil, yang bila dipukul maka akan matilah nyamuk itu. Mengapa tidak buat perumpamaan binatang yang lebih besar dan kuat?”. Ini juga membawa maksud bahawa orang-orang kafir itu merendah-rendahkan dan meremehkan apa yang dibawa oleh Nabi saw padahal yang disampaikan dan dibacakan Nabi saw itu adalah Kitabullah saw. Dari sudut bahawa “malu” bermaksud, berasa aib, hina dan rendah kerana membuat sesuatu yg salah atau yg tidak sopan. Akan tetapi tidak mungkin Allah swt bersifat aib dan rendah dan membuat yang salah. Oleh itu ayat ini untuk panduan manusia seluruhnya.
Disebutkan dalam ayat lain yang berkaitan seperti ayat ini, firman Allah swt :
Maksudnya : Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalatpun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah. Al-Haj ayat 74.

Dalam ayat ini disebutkan “Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan” yakni tentang apa yang disembah oleh orang-orang yang mempersekutukanNya, “maka dengarlah olehmu perumpamaan itu”, yakni perhatikanlah dan dengarkanlah baik-baik serta fahamilah dengan benar. Maksud “Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalatpun, walaupun mereka bersatu menciptakannya” yakni sekalipun semua berhala yang disembah mereka itu bersatu untuk menciptakan seekor lalat nescaya mereka tidak akan mampu melakukannya. Maksud “dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu”, yakni mereka tidak akan mampu menciptakan seekor lalat pun. Bahkan lebih jelas daripada itu mereka tidak mampu mempertahankan diri lalat itu dan tidak dapat menolong dirinya sendiri seandainya lalat itu merampas sesuatu yang ada padanya. Maksud “Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah”, yakni amat lemahlah puak musyrikin yang menyembah berhala-berhala itu dan begitu juga amat lemahlah berhala-berhala yang mereka jadikan Tuhan.

Dalam hadith al-Bukhari dan Muslim, Nabi saw telah bersabda, “Allah swt telah berfirman : Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang sengaja menciptakan sesuatu seperti ciptaanKu?, maka hendaklah mereka menciptakan semut kecil dan hendaklah mereka menciptakan sebiji gandum”.

Lafaz yang selanjutnya Allah swt menyebut, Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahwa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka”, sifat orang beriman sentiasa membenarkan apa yang disampaikan oleh Nabi saw, lebih-lebih lagi berupa wahyu Allah swt yakni al-Quran. Orang-orang beriman sentiasa yakin dan percaya bahawa Allah swt itu pencipta semua makhluk, sama ada yang kecil mahupun yang besar. Pastinya setiap perumpamaan yang dibuat Allah swt pasti mempunyai hikmah dan tujuan bagi meningkatkan lagi keimanan dan kepercayaan mengenai sifat kebesaran dan keagungan Allah swt.

Pada lafaz “tetapi mereka yang kafir mengatakan: Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?”, yakni sikap orang-orang kafir yang memandang hina terhadap perumpamaan Allah swt dengan benda-benda kecil dan remeh. Mereka mempertikai serta mempersoalkannya, sambil berkata: Apakah yang Allah mahu dengan kiasan kepada benda-benda yang remeh ini?. Mereka adalah orang-orang yang keliru dan akhirnya mereka menjadi semakin kufur dan rugi. Mereka tidak memahami rahsia dan hikmah di sebaliknya sepertimana orang-orang beriman. Allah swt berfirman dalam surah a-Mudatsir ayat 31.
Maksudnya : Supaya orang-orang yang diberi Al-Kitab menjadi yakin dan supaya orang yang beriman bertambah imannya dan supaya orang-orang yang diberi Al kitab dan orng-orang mukmin itu tidak ragu-ragu dan supaya orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan orang-orang kafir (mengatakan): "Apakah yang dikehendaki Allah dengan bilangan ini sebagai suatu perumpamaan?.

Lafaz yang seterusnya disebutkan “dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberi-Nya petunjuk”, yakni dengan perumpamaan banyak orang munafiq dan orang kafir semakin bertambahnya kekufuran dan kesesatan mereka dan orang-orang mukmin semakin bertambah keimanan mereka. Kufur dan iman bukanlah satu warisan tetapi ia dari kemahuan dan pilihan bebas atas bimbingan akal. Ia rentetan penggunaan segala pancaindera, perasaan dan pemikiran manusia. Tidak mungkin Allah swt membuat suatu perumpamaan untuk mempecah-belahkan manusia.

Lafaz yang terakhir Allah swt menyebut “dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasiq”, tatkala Allah swt membuat perumpamaan, segolongan manusia menjadi sesat dan segolongan yang lain pula mendapat petunjuk, perumpamaan tersebut secara tidak langsung menjadi sebab sebahagian manusia menjadi sesat dan segolongan yang lain mendapat petunjuk. Namun disebabkan kesesatan mereka sebenar ialah sifat fasiq, yakni mereka telah memilih untuk keluar daripada petunjuk Allah swt dan enggan tunduk kepada tuntutan sunahNya (aturan dan undang-undang Allah swt). Orang fasiq juga disebutkan sebagai orang yang telah melanggar perjanjian Allah swt. Mereka digelar sebagai fasiq kerana mereka telah keluar daripada manhaj agama Allah swt, oleh kerana itulah orang-orang fasiq mudah menjadi sesat akibat tidak berpegang teguh terhadap jalanNya. Fasiq bukan semata-mata dengan perkataan akan tetapi dengan perbuatan. Perbuatan mereka menyembah berhala-berhala menjadi bukti atas perbuatan fasiq mereka. Wa Allahu `lam.